lulus cemerlang

Amalan Ibubapa Semasa Anak Dalam Dewan Peperiksaan

sedang-jalani-peperiksaan

Anak-anak yang sedang berjuang dalam dewan peperiksaan

Sekarang musim peperiksaan. Usai peperiksaan UPSR baru-baru ini, sekarang menjelang pula PMR yang akan berlangsung pada esok hari.

Bila anak-anak sedang menduduki peperiksaan, ibubapa juga turut terheret sama. Resah gelisah, risau takut anak tak dapat jawab soalan dan sebagainya sering menghantui.

Ada ibubapa yang mengambil cuti daripada kerja kerana untuk memberi sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan ini. Banyak dilihat di dalam status Facebook dan Twitter ibubapa yang berkongsi perasaan gementar dan takut mereka. Seolah-olah ibubapa pula yang menduduki peperiksaan.

Sebenarnya selain daripada sokongan moral, sokongan dalam bentuk spiritual juga boleh membantu anak-anak kita menduduki peperiksaan dengan tenang. Kita juga insyaAllah akan terasa tenang kerana sokongan spiritual ini adalah dalam bentuk kita berusaha meminta doa daripada Allah.

Ia juga adalah bentuk tawakkal setelah usaha kita membantu anak kita belajar dan usaha anak kita belajar dengan bersungguh. Apa-apa yang berlaku sebagai natijah kita serahkan semuanya kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha merancang dan maha mengetahui atas segala sesuatu.

Antara sokongan spiritual dan amalan yang boleh ibubapa lakukan semasa anak – anak di dalam dewan peperiksaan tidak kiralah peperiksaan UPSR, PMR, SPM ataupun peperiksaan-peperiksaan lain yang penting untuk anak-anak  ialah:

1. Berpuasa sunat pada hari anak-anak menduduki peperiksaan.

Antara doa yang paling dimakbulkan oleh Allah ialah doa ibubapa. Doa orang yang berpuasa juga amat mudah dimakbulkan oleh Allah. Jadi jika ibubapa yang berpuasa dan mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya pastilah lebih makbul.

2. Lakukan solat taubat dan solat hajat.

Lakukan solat sunat taubat dan solat hajat memohon agar anak tenang serta dapat jawab semua soalan peperiksaan dengan cemerlang.

Allah amat suka hambaNya yang seringkali bertaubat. Jadi pastinya doa yang tulus ikhlas daripada orang yang bertaubat akan mudah diperkenankan Allah.

3. Baca Quran dan hadiahkan pahala kepada anak.

Baca Quran dan pahalanya diniatkan untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan agar terang hati dan tenang fikiran.

4. Lakukan solat Dhuha

Lakukan solat dhuha di pejabat, di rumah ataupun di surau sekolah sewaktu menunggu anak-anak yang sedang berjuang di dewan peperiksaan. Doalah untuk kejayaan anak di dalam solat dan selesai solat.

5. Sedekah di masjid, rumah anak yatim dan hadiahkan pahala untuk anak.

Semoga amalan ini akan memudahkan doa ibubapa untuk kejayaan anak-anak dalam peperiksaan akan mudah termakbul. Ini adalah kerana amalan sedeqah amat disukai Allah. Orang yang menerima sedeqah ini juga mungkin akan mendoakan kejayaan dan kesejahteraan pemberi sedeqah.

6. Berterusan berzikir dan berdoa.

Samada anda berada di pejabat, di rumah ataupun di sekolah menunggu anak-anak yang sedang berada di dewan peperiksaan, jangan putus-putus berzikir dan berdoa kepada Allah untuk kejayaan anak-anak di dewan peperiksaan.

Allah akan mengingati kepada hambaNya yang mengingati lebih daripada hambaNya mengingatiNya. Moga amalan berzikir dan berdoa dengan berterusan ini akan memudahkan Allah memakbulkan doa kita supaya anak-anak berjaya dalam peperiksaan.

7. Hantar gelombang positif kepada anak.

Ini adalah law of attraction dan law of vibration. Kita yakin dan bayangkan yang positif. Bayangkan wajah anak dan yakin dia dapat jawab semua soalan dengan tepat. InsyaAllah mereka berjaya di dewan peperiksaan.

Hadith Qudsi, Allah berfirman:

“Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku tentang Aku, dan Aku bersama-nya ketika ia menyebut Aku. Bila ia menyebut Aku dalam dirinya, Aku menyebut dia dalam Diri-Ku. Bila ia menyebut Aku dalam khalayak, Aku menyebut dia dalam khalayak yang lebih baik dari itu. Bila ia mendekat kepada-Ku satu jengkal, Aku mendekat kepadanya satu hasta. Bila ia mendekat kepada-Ku satu hasta, Aku mendekat kepadanya satu depa. Bila ia datang kepada-Ku berjalan kaki, Aku datang kepadanya berlari-lari”.
(HR. Al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, At-Tirmidzi, Ibn Hanbal)

8. Benar-benar bertawakkal kepada Allah dan redha dengan segala ketentuanNya.

Setelah segala usaha kita dan anak kita buat sepanjang tahun sebagai usaha untuk menghadapi peperiksaan ini, inilah masanya kita bertawakkal kepada Allah yang maha mengetahui.

lulus cemerlang

selain inginkan kejayaan anak-anak dalam peperiksaan, kejayaan mereka menjadi anak yang soleh dan solehah juga sesuatu yang ibubapa dambakan

Moga amalan oleh ibubapa semasa anak di dalam dewan peperiksaan ini ataupun peperiksaan-peperiksaan lain akan memberi kejayaan yang didambakan. Ia juga akan dapat memberi ketenangan kepada anak yang sedang berjuang di dalam dewan peperiksaan dan juga kepada ibubapa yang menunggu di luar.

Segala hasilnya nanti kita serahkan kepada Allah jua. Moga Allah jayakan semua anak-anak yang sedang meduduki peperiksaan. Aameen,

Nota:
Amalan ini saya kongsikan daripada Ustaz Don Daniyal dengan sedikit penambahan

29 comments

  1. normaihainiza 8 September, 2014 at 14:38 Reply

    semoga dijadikan amalan untuk ibubapa . kalau boleh selalu dilakukan sebab kita dan anak – anak sentiasa belajar…

  2. puan Fauziah 11 March, 2015 at 08:14 Reply

    Alhamdulillah, sumber info yang sangat bermanafaat. teruskan beramal. terima kasih. mohon share untuk diamalkan.

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

%d bloggers like this: