Bangga Aku Dengan Les’ Copaque…

Siapa yang tak kenal Upin dan Ipin. Dari budak kecil hinggalah orang dewasa. Bermula dengan cerita pendek di TV yang pada permulaannya disiarkan pada bulan Ramadhan 2007 bertujuan supaya anak-anak lebih menghayati bulan Ramadhan, watak Upin dan Ipin dikembangkan lagi melalui filem “Geng The Movie – Pengembaraan Bermula”. Dibantu oleh watak-watak tambahan seperti Jarjit, Fizi, Ehsan, Mei Mei, Mail, Susanti, Kak Ros, Opah, Tok Dalang dan lain-lain, cerita kanak-kanak yang sarat dengan mesej ini menjadi begitu popular. Bukan sahaja di Malaysia malah di Indonesia, Brunei, Philipine, Vietnam dan Singapura juga. Malah turut disiarkan di channel Hilal TV di Turki.

Di Indonesia jenama Upin dan Ipin mendapat sambutan yang hebat. Satu lagu (Original Sound Track) turut dirakam oleh kumpulan Padi khas untuk filem Upin dan Ipin yang ditayangkan di sana.

Melalui laman rasmi Facebook sendiri, pihak Facebook telah mengeluarkan ranking “Fastest growing Pages and most popular media in 2011″ dan Upin Ipin telah mendapat tempat ke 5 di dalam kategori “Fictional Characters” sebaris dengan watak-watak antarabangsa yang lain seperti Mr Bean, Doraemon dan Sponge Bob.

Upin dan Ipin kini bukan lagi sekadar watak di dalam cerita pendek atau filem. Jenama ini telah dikembangkan menjadi satu jenama yang unggul. Sekarang banyak produk-produk berjenama Upin dan Ipin di pasaran. Ada pakaian, digital discs, alat tulis, cenderahati, beg, board games, buku biodata, buku mewarna dan lain-lain.

Di sebalik watak Upin dan Ipin, apa yang mengkagumkan saya ialah pasukan produksi di sebalik Upin dan Ipin itu sendiri iaitu Les’ Copaque. Bunyi sebutan nama seperti “kopak”. Tetapi hakikat sebenarnya “masyuk”. Buktinya syarikat kepunyaan Bumiputera ini (Les’ Copaque Production Sdn. Bhd) telah berjaya mengumpul RM12 juta menerusi karaktor Upin & Ipin sepanjang tahun 2009 dan 2010.

Pengasas Les’ Copaque

Syarikat ini diasaskan oleh Mohd. Nizam Abdul Razak, Mohd. Safwan Abdul Karim, dan Usamah Zaid. Ketiganya merupakan bekas mahasiswa dari Multimedia University Malaysia yang awalnya bekerja sebagai pekerja di sebuah organisasi animasi sebelum akhirnya bertemu dengan bekas pedagang minyak dan gas, Haji Burhanuddin Radzi dan isterinya bernama Hajah Ainon Ariff pada tahun 2005, lalu membuka organisasi Les’ Copaque.

Ahli Lembaga Pengarah

  • Tn. Hj. Burhanuddin Md. Radzi, Managing Director of Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.
  • Hjh. Ainon binti Ariff, Creative Content Director of Les’ Copaque Production Sdn. Bhd.
  • Usamah Zaid bin Yasin, Executive Director

Tahun 2011, Les’ Copaque sibuk menghasilkan Upin & Ipin musim ke 5. Selain itu mereka juga sedang menghasilkan siri animasi baru Pada Zaman Dahulu. Ceritanya berkisar tentang kisah dongeng rakyat Malaysia.

Syarikat ini juga melebarkan jenamanya dengan menyediakan latihan menghasilkan filem animasi di pusat latihannya LCP ANIMATION TRAINING CENTRE Sdn. Bhd. Pusat latihan ini ditubuhkan pada Februari 2008 bertujuan untuk menyediakan latihan profesional kepada pelajar lepasan pengajian tinggi ataupun individu yang berminat untuk melebarkan karier mereka di dalam industri filem dan animasi.

Les’ Copaque juga ada membuka sebuah restoren keluarga yang diberi nama Geng’s Corner. Restoren ini terletak di seksyen 13 Shah Alam.

Perancangan masa hadapan Les’ Copaque ialah mereka kini sedang merancang menubuhkan sebuah taman tema berdasarkan karekter Upin dan Ipin di sebuah kawasan di Sepang, Selangor di mana ia dijangka menelan kos mencecah RM700 juta.

Tahniah Les’ Copaque. Moga terus sukses di masa mendatang. Semoga kejayaan mereka menjadi contoh kepada syarikat bumiputera yang lain bahawasanya bumiputera juga boleh menyerlah dan berjaya.

1 comment

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

%d bloggers like this: