Berbuat Baik Kepada Isteri Adalah Sunnah Nabi

suami cinta isteri Berbuat Baik Kepada Isteri Adalah Sunnah Nabi

Suami isteri bahagia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri saya kali ini adalah tentang akhlak kita sebagai suami dan pembimbing kepada isteri kita. Perlu saya jelaskan bahawa dengan menerbitkan entri ini bukanlah bermakna saya merupakan orang yang terbaik dikalangan kita. Tetapi harapan saya agar entri ini dapat memberikan peringatan kepada saya terutamanya dan juga sahabat-sahabat pembaca secara amnya.

Kita seringkali membaca dan mendengar kisah balasan kepada isteri-isteri yang derhaka dan tidak menghormati suami. Balasan tersebut ada yang diterima semasa di dunia ini lagi dan ada yang bakal diterima diakhirat kelak. Kita juga tahu melalui hadith bahawa ramai penghuni neraka adalah daripada golongan wanita:

Rasulullah saw bersabda:
“Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah golongan wanita.

- Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim

Tetapi kita jarang mendengar balasan kepada seorang suami yang berakhlak buruk dan tidak berbuat baik kepada isteri. Adakah suami boleh berbuat sesuka hati kepada isteri? Tidak. Suami juga ada akhlak-akhlak yang harus dijaga terhadap seorang isteri. Suami mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam menjaga dan mendidik isteri dan rumahtangganya. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan di akhirat kelak jika tidak dijaga. Antara hadith yang membicarakan tentang tanggungjawab ini adalah:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekelian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. “(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Isteri adalah orang yang paling rapat dengan kita. Pengorbanannya untuk keluarga adalah amat besar. Selain daripada pengorbanannya mengambil risiko semasa melahirkan anak, isteri juga mengambil sebahagian besar tugas suami. Lihat sahaja kepada seorang surirumah. Kerjanya bermula seawal pagi menyediakan keperluan keluarga sebelum suami dan anak-anak keluar rumah untuk ke tempat kerja dan ke sekolah. Kerjanya bersambung lagi sehingga anak-anak dan suami balik ke rumah malah bersambung lagi sehingga waktu tidur. Kadang dialah yang paling lambat tidur.

Rahsia Rumahtangga Bahagia! Klik Disini!

Begitu juga bagi isteri yang berkerja. Dari pagi hingga habis waktu kerja dia berkerja demi membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Balik daripada kerja pula dia kena kerja lagi melayan anak-anak dan suami sehingga waktu tidur.

Begitulah besarnya pengorbanan seorang isteri. Ada suatu kisah tentang Saidina Umar Al-Khattab melayan isterinya:

Seseorang yang sudah tidak tertahan lagi dengan karenah isterinya mendatangi Saidina Umar untuk mengadu.

Apabila dia sampai di muka pintu terdengar olehnya suara isteri baginda marah-marah dan tidak kedengaran suara Saidina Umar menjawab. Berkatalah dia di dalam hatinya: “kalau beginilah keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, betapalah lagi keadaanku”.

Tiba-tiba Syaidina Umar keluar lalu memanggilnya, “Apakah hajat kamu?”  tanya baginda.

“Ya Amirul Mukminin. Aku datang untuk mengeluh keberanian dan cerewetnya isteriku, mendadak aku dengar isterimu juga begitu.Malah terfikir olehku, kalau begitu keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, begitu lebih-lebih keadaanku.”

Kata Saidina Umar: “Hai saudaraku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteriku padaku; dia seorang tukang masak makananku dan pencuci pakaianku, dan yang menyusu anakku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hatiku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”

Setelah agak lama terdiam berkatalah orang itu; “Kalau begitu, aku pun begitu juga mengenangkan hidup kita di dunia ini pun tidaklah lama.”
– Dari kitab Irsyadul’Ibad IIasabilirrasyad

Renungi kisah Saidina Umar ini. Beliau yang terkenal dengan sifat keras dan bengis terhadap musuh-musuh Islam sedikit pun tidak menjawab bila dileteri isteri. Bandingkan dengan diri kita.

Sebenarnya kejayaan seorang suami adalah juga disebabkan oleh sokongan isterinya. Kita biasa mendengar ungkapan disebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita dibelakangnya. Wanita itu ialah seorang isteri. Sebab itu dalam bab pusaka isteri dibolehkan menuntut harta sepencarian. Harta itu ialah harta yang suami kumpulkan semenjak berkahwin dengan isterinya. Ada peratus-peratus tertentu yang isteri berhak tuntut daripada harta peninggalan suaminya.

Isteri juga menjadi tempat untuk suami meraih pahala dan membersihkan diri daru dosa-dosa kecil. Bayangkan dengan melihat wajah isteri dengan penuh kasih sayang kita dapat pahala. Pegang tangannya dosa kecil terampun. Bergaul dengannya akan mendapat pahala sedeqah dan banyak lagi.

Marilah kita berbuat baik kepada isteri kita. Isteri adalah insan yang amat penting dalam hidup kita. Dia adalah asset yang amat berharga. Orang yang menyenangkan hidup kita di dunia dan akhirat.

Rasulullah S.A.W suka berbuat baik kepada isteri-isteri baginda. Beliau amat menggalakkan ummatnya berbuat baik kepada isteri sepertimana hadith baginda:

“Seseorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik akhlaknya adalah yang paling baik terhadap isterinya. Sesungguhnya akulah suami yang paling baik terhadap isteri.”
(HR al-Tirmizi, Ibnu Majah)

Ayuh kita para suami berbuat baik kepada isteri kita. Moga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Moga kita mendapat syafaat Rasullullah S.A.W kerana mengambil cakna akan sunnah-sunnah baginda. Ameen.

1,639 total views, 1 views today

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge
Protected by WP Anti Spam