Mar 12

Umar Al-Khattab Memeluk Islam Apabila Hatinya Disapa Al-Quran

 Umar Al Khattab Memeluk Islam Apabila Hatinya Disapa Al Quran

Siapa yang yang tidak kenal Saiyyidina Umar Al-Khattab , khalifah kedua umat Islam selepas wafatnya Saiyyidina Abu Bakar. Umar Al-Khattab memeluk Islam pada tahun ke 6 Rasulullah dilantik menjadi rasul.

Sebelum keislamannya beliau adalah salah seorang daripada pembesar Quraisy yang amat disegani. Disiplin, berkemahuan yang tinggi dan berjiwa tegas dan keras menjadikan beliau seorang yang ditakuti kawan maupun lawan.

Setelah 6 tahun kenabian Muhammad S.A.W, Umar Al-Khattab telah melihat semakin ramai yang telah menyatakan keislaman samada secara terang-terangan maupun secara sembunyi. Ini amat membuatkan jiwa tegas Umar semakin terangsang dengan kemarahan.

Lantas terfikir olehnya bahawa satu-satunya usaha untuk menghentikan penghijrahan orang ramai kepada Islam ialah dengan menamatkan nyawa manusia yang bernama Muhammad.

Dengan pedang yang tersisip di pinggang, beliau berjalan pantas mencari Muhammad yang pada ketika itu sedang berada di rumah Al-Arqam bersama para sahabat yang lain. Namun di tengah perjalanan ke rumah Al-Arqam beliau telah bertemu dengan Nu’aim bin Abdillah lalu Nu’aim bertanya: “Mau kemana kamu ya Umar?”

Lantas dijawab dengan tegas oeh Umar: “Mau membunuh Muhammad…”

“Mau membunuh Muhammad?” balas Nu’aim dengan nada mengejek.

“Adakah kau fikir Bani ‘Abdu Manaf akan membiarkan engkau berjalan bebs di atas muka bumi ini jika Muhammad sudah engkau bunuh? Sudahlah, lebih baik kau balik dan memperbaiki keluarga mu dahulu. Tidakkah kau tahu bahawa ipar mu Sa’id bin Zaid dan adik mu Fatimah sudah memeluk agama Islam?” Sindir Nu’aim lagi.

Mendengar kata-kata Nu’aim itu maka merah padamlah wajah Umar marah berserta malu lantas beliau terus ke rumah adiknya. Fatimah pada ketika itu sedang belajar Al-Quran dengan Khubbab bin Aral.

Menyedari kedatangan Umar, Khubbab segera bersembunyi sementara Fatimah membukakan pintu menyambut kedatangan Umar sambil tangannya tergesa-gesa melipat naskhah Al-Quran yang sedang dibaca dan dipelajarinya tadi.

“Wahai Fatimah, suara apakah yang telah ku dengari tadi?” Tanya Umar dengan nada marah.

“Tiada apa-apa, wahai Umar” Jawab Fatimah cuba menyembunyikan sesuatu.

Umar lalu membentak: “Aku tahu bahawa kamu berdua telah menjadi pengikut Muhammad!” Tangan beliau diangkat tinggi bertujuan untuk memukul iparnya Sa’id.

Fatimah lantas kedepan demi mempertahankan suaminya lalu tangan Umar hinggap di mukanya menyebabkannya berdarah.

Melihat kesungguhan adiknya itu hatinya timbul rasa menyesal dan sedikit insaf.

“Apa di tangan mu itu?” tanya Umar.

“Aku bimbang engkau akan hinakan”, jawab Fatimah dengan kebimbangan.

Setelah Umar berjanji tidak akan berbuat apa-apa apabila ditunjukkan naskhah Al-Quran itu barulah Fatimah bersetuju untuk menunjukkannya tetapi dengan syarat Umar terlebih dahulu membersihkan dirinya.

Selepas itu dibacakannya beberapa ayat Al-Quran dihadapan Umar. Umar amat terpegun seraya berkata: “Sungguh indah ayat-ayat ini. Tidak pernah ku jumpai tuturnya, tidak tertanding bait-baitnya oleh syair-syair yang tertinggi serta luhur sekalipun”.

Ayat-ayat Al-Quran yag dibacakan kepada Umar itu ialah ayat-ayat daripada surah Thuha: ayat 1 – 6:

  1. Taa. Haa.
  2. Kami tidak menurunkan A-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.
  3. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut yang melanggar perintah Allah.
  4. Al-Quran diturunkan dari tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
  5. Ia-itu Allah Ar-Rahmaan,yang bersemayam diatas ‘Arasy.
  6. KepunyaanNyalah semua yang ada di langit semua yang di bumi, semua diantara keduanya dan semua yang di bawah tanah.

Mendengar ucapan Umar Khubbab lantas keluar daripada tempat persembunyiannya dan dengan gembira ia berkata:

“Hai Umar saya harap engkaulah yang telah ditentukan Allah dalam do’a Nabi dan Rasulullah Muhammad SAW. Kelmarin saya mendengar Nabi berdo’a, “Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Umar Abul Hakam bin Hisyam atau dengan Umar bin Khatab”

Sesudah itu berjalanlah Umar menuju ke rumah Al-Arqam untuk berjumpa nabi dan menyatakan keislamannya.

Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata:

“Apabila Umar Al-Khattab memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata: “Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar”

Dengan Umar Al-Khattab memeluk Islam, Islam terus berkembang pesat dan seterusnya menjadi satu kuasa besar pada masa itu. Ikuti kisah lanjut di sini.

Itulah kisah Umar Al-Khattab memeluk Islam yang berjaya disentuh hatinya oleh Al-Quran. Namun bagi kita, kenapa kita membaca Al-Quran tetapi sedikit pun tidak terkesan di hati kita?

Nota:
Seminar ini merungkai rahsia bagaimana hati Umar terkesan disapa oleh ayat-ayat Al-Quran. Sila daftarkan diri anda dengan segera.

Oct 10

Riwayat Hidup Imam Al-Ghazali Dan Zikir Amalannya

zikir imam alghazali Riwayat Hidup Imam Al Ghazali Dan Zikir Amalannya

 

Zikir-zikir di atas adalah zikir-zikir yang selalu diamalkan oleh Imam Al-Ghazali, seorang ulama yang terkenal kerana kesolehannya dan ilmunya yang tinggi. Kita juga boleh mengamalkan zikir ini. Moga kita mendapat keberkatan dariNya.

Berikut saya sertakan riwayat hidup Imam Al-Ghazali yang amat masyhur itu:
Imam Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 Hijrah bersamaan dengan 1058 Masihi di at-Taabiran/Ghazalah di bandar Tus, Khurasan (Iran). Nama sebenarnya Imam Al-Ghazali ialah Abu Hamad Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali.

Imam Al-Ghazali digelar “Al-Ghazali” bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Ada yang mengatakan mengambil sempena kampung kelahirannya, Ghazalah.

Imam Al-Ghazali berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya merupakan seorang ahli Sufi yang sangat warak. Bapa beliau mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi orang alim dan soleh.

Imam Al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir dan ahli falsafah Islam yang terkemuka hingga kini.

Imam Al-Ghazali meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah ( 1111M) di Tus dan jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya.

Imam Al-Ghazali mempunyai daya hafalan dan ingatan yang kuat dan bijak berhujah. Beliau menguasai berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Imam Al-Ghazali sangat mencintai ilmu pengetahuan. Beliau juga sanggup meninggalkan segala kemewahan hidup untuk bermusafir demi untuk mencari
dan menuntut ilmu pengetahuan.

Imam Al-Ghazali terkenal sebagai ahli falsafah Islam yang telah mengharumkan nama ulama Islam di Eropah melalui hasil-hasil karyanya yang bermutu tinggi.

Pada peringkat awalnya Imam Al-Ghazali mendapat pendidikan secara percuma kerana keluarganya miskin. Beliau mempelajari ilmu fikah pada waktu itu. Beliau seterusnya mempelajari tauhid, mantiq, usul fikah dan falsafah serta menyelidik dan mengkaji segala pendapat empat mazhab hingga mahir dalam bidang-bidang tersebut.

Selepas itu Imam Al-Ghazali menyambung pelajarannya dengan seorang guru yang bernama Ahmad Al-Razkani, kemudian berguru pula dengan Abu Nasr Al-Ismail di Jorjan.

Oleh sebab Al-Imam Al-Ghazali memiliki ketinggian ilmu beliau telah dilantik menjadi mahaguru di Madrasah Nizamiah di Baghdad. Beliau juga telah mengembara ke beberapa tempat seperti Makkah, Madinah, Mesir dan Jerusalem untuk mendalami ilmu falsafah yang dipelajarinya.

Sewaktu dalam pengembaraan, beliau telah menulis kitab “Ihya Ulumiddin” yang memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat dan pemikiran Islam dalam semua masalah yang mana masih menjadi rujukan pada masa kini.
Sumbangan.

Imam Al-Ghazali berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana Allah S.W.T.

Imam Al-Ghazali adalah seorang merupakan ahli fikir Islam yang telah meninggalkan jasa yang dapat di nilai melalui hasil-hasil karyanya. Beberapa hasil karya Imam Al-Ghazali telah diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Hasil karya beliau yang terkenal ialah Ihya Ulumiddin yang merangkumi ilmu akidah, fikah,falsafah, akhlak dan tasawuf.

Segala hasil-hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan Syah Waliyullah. Kebanyakkan hasil-hasil karya Imam Al-Ghazali berbentuk falsafah. Oleh hal yang demikian pengkaji-pengkaji Barat menganggap, Imam Al-Ghazali adalah seorang ahli falsafah. Antara hasil-hasil karya beliau yang lain termasuklah:

  1. Ihya Ulumiddin. ii. Al-Munqiz Min ad-Dalal
  2. Mizanul-amal. iii.Tahafut al-Falasifah
  3. Hidayah Al-Salikin v.Jawahir Al-Quran.
  4. Minhaj al-Abidin vii. Asma Allah al-Husna
  5. Ayyuha al-Walad ix. Kimia as-Sa’adah.

Wallahua’lam.

Sumber

May 28

Ketabahan Iman Zunairah Terhadap Allah

zunairah Ketabahan Iman Zunairah Terhadap AllahSatu diantara hamba muslim adalah Zunairah, hamba Abu Jahal. Karena keyakinannya itulah dia diinterogasi Abu Jahal. “Benarkah kamu telah menganut agama Islam?” tanya Abu Jahal. “Benar. Aku percaya pada seruan Muhammad, kerana itu aku mengikutinya.” Jawab Zunairah. Untuk menggoyahkan keyakinan hambanya, Abu Jahal bertanya kepada kawan-kawannya. “Hai kawan-kawan, apakah kalian juga mengikuti seruan Muhammad?” “Tidaaak,” jawab mereka serempak. “Nah, sekira apa yang dibawa Muhammad itu baik, tentu mereka akan lebih dulu mengikutinya” kata Abu Jahal melecehkan hambanya.

Maka dipukullah Zunairah itu secara keji hingga matanya luka parah dan akhirnya menjadi buta. Melihat mata hambanya menjadi buta, Abu Jahal membujuknya. “Matamu menjadi buta itu akibat kau masuk Islam. Coba kau tinggalkan agama Muhammad itu, matamu akan sembuh kembali,” katanya.Betapa sakit hati Zunairah mendengar olok-olokan itu. “Kalian semua adalah pembohong, tak bermoral. Lata dan Uzza yang kalian sembah itu tak akan bisa berbuat apa-apa. Apalagi memberi manfaat dan mudarat,” katanya.

Mendengar itu, Abu Jahal semakin naik pitam. Maka dipukullah hamba itu sekeras-kerasnya dan berkata, “Wahai Zunairah. Ingatlah kepada Lata dan Uzza. Itu berhala sembahan kita sejak nenek moyang kita. Tak takutkah jika mereka nanti murka kepadamu? Tinggalkan segera agama Muhammad yang melecehkan kita.” Kata Abu Jahal.”Wahai Abu Jahal. Sebenarnya Latta dan Uzza itu buta. Lebih buta daripada mataku yang buta akibat siksaanmu ini. Meski mataku buta, Allah tak akan sulit mengembalikannya menjadi terang, tidak seperti tuhanmu Latta dan Uzza itu” kata Zunairah.

Berkat kekuasaan Allah. Esoknya mata Zunairah yang buta akibat siksaan Abu Jahal itu kembali sembuh sperti sedia kala. Abu Jahal yang menyaksikannya menjadi sangat heran. Namun dasar orang tak beriman, dia malah berkata “Ini pasti kerana sihir Muhammad” katanya sambil kembali menyiksa hambanya. Untunglah datang Abu Bakar yang lalu memerdekakan Zunairah setelah memberi tebusan kepada Abu Jahal.

Sumber

Apr 17

Uwais Al-Qarni Hidup Biasa di Bumi Namun Masyhur di Langit

uwais alqarny Uwais Al Qarni Hidup Biasa di Bumi Namun Masyhur di Langit

Gambar hiasan

Uwais al-Qarni merupakan satu contoh anak yang sangat soleh sehingga namanya disebut oleh Nabi SAW kepada para sahabat baginda.

pixel Uwais Al Qarni Hidup Biasa di Bumi Namun Masyhur di Langit

Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada Sayyidina Umar r.a. dan Sayyidina Ali k.w.:

Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. Kamu berdua pergilah mencari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.

Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali lalu sama-sama menanyakan kepada Rasulullah S.A.W:

Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, ya Rasulullah?

Rasulullah S.A.W menjawab:

Mintalah kepadanya agar dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.

Memang benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Rasulullah S.A.W maksudkan kerana di kalangan orang awam, Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras.

Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak, badannya putih, yakni putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa belia meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji. di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni  tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan.Selesa namun perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian. Beliau tidak memiliki unta dan juga tidak mampu untuk membayar sewa.

Pada suatu hari, ibu Uwais Al-Qarni yang semakin uzur berkata kepada anaknya:

Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.

Uwais Al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah kecil di atas sebuah ‘Tilal’ iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.

Selepas lapan bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan beliau juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:

Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?

Uwais Al-Qarni menjawab:

Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.

Ibunya bertanya lagi:

Bagaimana pula dengan dosa kamu?

Uwais Al-Qarni menjawab:

Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.

Ibunya berkata lagi:

Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.

Uwais Al-Qarni berkata:

Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.

Ibunya menambah:

Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.

Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya, dia berdoa:

Tolonglah ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkanlah sedikit.

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah S.A.W kepada Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali:

“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”

Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.

Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali, beliau berkata:

“Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”

Maka Uwais Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.

Setelah itu Sayyidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, bertanya kepadanya:

“Anda hendak pergi ke mana?

“Kufah”, jawab Uwais.

Sayyidina Umar bertanya lagi:

“Mahukah aku tuliskan surat kepada Gabenor Kufah agar melayanimu?”

Uwais Al-Qarni menjawab:

“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”

Diriwayatkan semasa kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.

Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.

 

Sumber

Apr 10

Khalifah Umar Abdul Aziz

umar abd aziz Khalifah Umar Abdul AzizKhalifah Umar bin Abdul Aziz jadikan rakyatnya semua kaya, tiada miskin

Nama sebenar beliau ialah Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam, lahir pada tahun 63H (682M) dan meninggal dunia pada 101H (720M). Beliau adalah pemimpin @ khalifah kepada Bani Umaiyyah yang ke 6, dan telah memerintah selama 2 tahun 5 bulan.

Ayahnya adalah Abdul-Aziz bin Marwan, gabenor Mesir dan adik kepada Khalifah Abdul Malik. Ibunya adalah Ummu Asim binti Asim. Umar adalah cicit kepada Khulafa Ar-Rasyidin kedua Umar bin Khattab.

Umar bin Abdul Aziz dibesarkan di Madinah dengan bimbingan Ibnu Umar, iaitu salah seorang sahabat nabi yang paling banyak meriwayat hadis. Umar telah menghafaz al-Quran sejak masih kecil lagi serta bergaul dengan para pemuka ahli feqah dan ulama. Merantau ke Madinah untuk menimba ilmu pengetahuan. Beliau telah berguru dengan beberapa tokoh terkemuka seperti Imam Malik bin Anas, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar, Yusuf bin Abdullah dan sebagainya. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dengan beberapa tokoh terkenal di Mesir.

Beliau telah dipanggil balik ke Damsyik oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan apabila bapanya meninggal dunia dan dikahwinkan dengan puteri Khalifah, Fatimah binti Abdul Malik (sepupunya).

Sifat-Sifat Peribadi

Beliau mempunyai keperibadian yang tinggi, disukai ramai dan warak yang diwarisi dari datuknya Saidina Umar bin Al-Khattab. Baginda amat berhati-hati dengan harta terutamanya yang melibatkan harta rakyat. Sesungguhnya kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri tentunya telah diketahui umum dan tidak perlu diulang-ulang.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Umar bin Abdul Aziz Sebagai Khalifah

Beliau dibai’ah / dilantik menjadi Khalifah pada tahun 98H (717M) setelah kematian sepupunya, Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik atas wasiat khalifah tersebut. Padahal sebenarnya dia tidak mahukan jawatan itu.

Oleh kerana itu dia mengumpulkan orang-orang di masjid untuk solat berjamaah lalu berpidato. Setelah menyampaikan pujian kepada Allah dan bersalawat kepada Nabi, dalam pidatonya dia mengatakan,

“Wahai manusia! Saya telah diuji untuk menjalankan tugas ini tanpa diminta pendapat, permintaan dari saya, atau musyawarah kaum Muslimin. Maka sekarang ini saya membatalkan bai’ah yang kalian berikan kepada diri saya dan untuk selanjutnya pilihlah khalifah yang kalian suka!”

Tetapi orang-orang yang hadir dengan serempak mengatakan, “Kami telah memilih engkau wahai Amirul Mukminin. Perintah lah kami dengan kebahagiaan dan keberkatan!”

Setelah itu dia lalu menyuruh semua orang untuk bertakwa, untuk tidak menyukai dunia dan menyukai akhirat, kemudian berkata, “Wahai manusia! Barang siapa mentaati Allah, wajib ditaati, siapa yang mendurhakai-Nya tidak boleh ditaati oleh seorang pun. Wahai manusia! Taatilah saya selama saya mentaati Allah dalam memerintahmu dan jika saya mendurhakai-Nya tidak ada seorang pun yang boleh mentaati saya.” Lalu dia turun dari mimbar.

Kenyataan Khalifah Abdul Aziz yang terakhir di atas iaitu agar taat kepadanya selagi dia taat pada Allah, dan jangan taat padanya jika dia tidak taat kepada Allah, adalah sama sepertimana yang diucapkan oleh Saidina Abu Bakar ketika beliau dilantik menjadi khalifah. Kata-kata Saidina Abu Bakar seperti berikut;

“…..Patuhilah aku selama aku mematuhi Allah dan rasulnya. tetapi jika aku tidak mematuhi keduanya maka tiada kewajipan taat atas kalian terhadapku……” (Al Bidayah Wan Nihayah – Imam Ibnu Katsir, mengatakan sanadnya adalah sahih).

Hari kedua dilantik menjadi khalifah, beliau menyampaikan khutbah umum. Dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad s.a.w dan tiada kitab selepas alQuran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa di sisi Allah”

Beliau kemudian duduk dan menangis “Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku” sambung Umar Ibn Abdul Aziz.

Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau menjawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ (orang-orang fakir) kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah s.a.w.” Isterinya juga turut mengalirkan air mata.

Setelah mengambil-alih tampuk pemerintahan, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengubah beberapa perkara yang lebih mirip kepada sistem feudal. Di antara perubahan awal yang dilakukannya ialah :

1) Menghapuskan cacian terhadap Saidina Ali bin Abu Thalib dan keluarganya yang disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan digantikan dengan beberapa potongan ayat suci al-Quran

2) Merampas kembali harta-harta yang disalah-gunakan oleh keluarga Khalifah dan mengembalikannya ke Baitulmal

3) Memecat pegawai-pegawai yang tidak cekap, menyalah-gunakan kuasa dan pegawai yang tidak layak yang dilantik atas pengaruh keluarga Khalifah

4) Menghapuskan pegawai peribadi bagi Khalifah sebagaimana yang diamalkan oleh Khalifah terdahulu. Ini membolehkan beliau bebas bergaul dengan rakyat jelata tanpa sekatan tidak seperti khalifah dahulu yang mempunyai pengawal peribadi dan askar-askar yang mengawal istana yang menyebabkan rakyat sukar berjumpa.

Selain daripada itu, beliau amat mengambil-berat tentang kebajikan rakyat miskin di mana beliau juga telah menaikkan gaji buruh sehingga ada yang menyamai gaji pegawai kerajaan.

Beliau juga amat menitik-beratkan penghayatan agama di kalangan rakyatnya yang telah lalai dengan kemewahan dunia. Khalifah umar telah memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjamaah dan masjid-masjid dijadikan tempat untuk mempelajari hukum Allah sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan para Khulafa’ Ar-Rasyidin. Baginda turut mengarahkan Muhammad bin Abu Bakar Al-Hazni di Mekah agar mengumpul dan menyusun hadith-hadith Rasulullah s.a.w.

Dalam bidang ilmu pula, beliau telah mengarahkan cendikiawan Islam supaya menterjemahkan buku-buku kedoktoran dan pelbagai bidang ilmu dari bahasa Greek, Latin dan Suryani ke dalam bahasa Arab supaya senang dipelajari oleh umat Islam.

Dalam mengukuhkan lagi dakwah Islamiyyah, beliau telah menghantar 10 orang pakar hukum Islam ke Afrika Utara serta menghantar beberapa orang pendakwah kepada raja-raja India, Turki dan Barbar di Afrika Utara untuk mengajak mereka kepada Islam. Di samping itu juga beliau telah menghapuskan bayaran Jizyah yang dikenakan ke atas orang yang bukan Islam dengan harapan ramai yang akan memeluk Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Beliau mahu semua rakyat dilayan sama adil tidak mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna. Keadilan yang beliau perjuangan adalah menyamai keadilan di zaman datuknya, Khalifah Umar Al-Khatab, yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat yang selalu ditindas oleh pembesar yang angkuh dan zalim sebelumnya.

Hari-hari terakhir Umar bin Abdul Aziz

Ketika menjelang sakaratul mautnya, umat Islam datang berziarah melihat kedhaifan hidup khalifah sehingga ditegur oleh menteri kepada isterinya, “Gantilah baju khalifah itu”, dibalas isterinya, “Itu saja pakaian yang khalifah miliki”.

Apabila beliau ditanya “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mau mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu?”

Umar Abdul Aziz menjawab: “Apa yang ingin kuwasiatkan? Aku tidak memiliki apa-apa.”

“Mengapa engkau tinggalkan anak-anakmu dalam keadaan tidak memiliki?”

“Jika anak-anakku orang soleh, Allah lah yang menguruskan orang-orang soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak mahu meninggalkan hartaku di tangan orang yang mendurhakai Allah lalu menggunakan hartaku untuk mendurhakai Allah.”

Pada waktu lain, Umar bin Abdul Aziz memanggil semua anaknya dan berkata: “Wahai anak-anakku, sesungguhnya ayahmu telah diberi dua pilihan, pertama: menjadikan kamu semua kaya dan ayah masuk ke dalam neraka, kedua: kamu miskin seperti sekarang dan ayah masuk ke dalam syurga (kerana tidak menggunakan wang rakyat). Sesungguhnya wahai anak-anakku, aku telah memilih syurga.” (beliau tidak berkata : aku telah memilih kamu susah)

Anak-anaknya ditinggalkan tidak berharta dibandingkan anak-anak gabenor lain yang kaya. Setelah kejatuhan Bani Umayyah dan masa-masa selepasnya, keturunan Umar bin Abdul Aziz adalah golongan yang kaya berkat doa dan tawakkal Umar bin Abdul Aziz.

Beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah memerintah selama 2 tahun 5 bulan. Menurut riwayat, beliau meninggal kerana dibunuh (diracun) oleh pembantunya.

2 tahun 5 bulan satu tempoh yang terlalu pendek bagi sebuah pemerintahan, tetapi Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah membuktikan sebaliknya. Dalam tempoh tersebut, kerajaan Umaiyyah semakin kuat tiada pemberontakan dalaman, kurang berlaku penyelewengan, rakyat mendapat layanan yang sewajarnya dan menjadi kaya-raya hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada lagi orang yang mahu menerima zakat. Kebanyakannya sudah kaya ataupun sekurang-kurangnya boleh berdikari sendiri.

Semua ini adalah jasa Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat masyhur, adil dan warak yang wajar menjadi contoh kepada pemerintahan zaman moden ini. Hanya dalam masa 852 hari dapat mengubah sistem pemerintahan ke arah pemerintahan yang diredhai Allah dan menjadi contoh sepanjang zaman. satu rekod yang sukar diikuti oleh orang lain melainkan orang yang benar-benar ikhlas!

- Facebook Page Dunia Macam-Macam