May 16

Selamat Hari Guru Kepada Guru Segala Guru

Aku rasa ramai yang buat entri pasal Hari Guru hari ini. Pada mulanya aku tak mau buat entri pasal ini. Cukup lah aku buat ucapan di Facebook aku, di page sohoque[dot]com dan page Synergy Khalifs Advisor. Tapi memikirkan kata kunci Hari Guru yang akan menjadi kata kunci organik di setiap tahun maka aku terbitkan juga entri ini walaupun agak terlewat.

Namun ucapan aku, Selamat Hari Guru Kepada Guru Segala Guru ditujukan lebih kepada ibu dan bapa. Mereka lah guru kita yang pertama. Merekalah guru kepada guru. Merekalah yang mengajar kita perkataan pertama. Merekalah yang mengajar kita merangkak dan berjalan.

Jadi apabila tanggal 16 Mei pada setiap tahun, tatkala semua sibuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada cikgu tadika, sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti, jangan kita lupa belikan juga hadiah dan ucapkan dengan semanis-manis ucapan Selamat Hari Guru kepada ibu dan bapa kita.

Harapan kita agar mereka berdua redha dengan kita. Harapan kita moga amalan kita tersebut termasuk dalam amalan yang disebut berulang kali di dalam Al-Quran iaitu “wa bil waalidaini ihsaana” (dan berbuat baiklah dengan kedua ibubapa). Moga perbuatan baik kita ini mendapat balasan di dunia dan balasan jannah di akhirat.

Walaupun kewajipan berbuat baik kepada kedua ibubapa ini wajib dilakukan pada setiap masa namun di hari ini mungkin kita boleh buat kejutan dengan hadiah yang lebih khusus berbanding dari hari biasa.

Selamat Hari Guru kepada guru segala guru iaitu ibubapa kita dan guru-guru khas kita cikgu, cikgi dan pensyarah kita. Moga kamu semua yang telah dijanjikan Allah dengan balasan pahala tanpa putus walaupun telah meninggal dunia dirahmati dunia dan akhirat.

Ameen

Posted from WordPress for Android

May 01

Ini Kali lah Ke Lain Kali lah?

pru 13 apa yang rakyat mahukan Ini Kali lah Ke Lain Kali lah?

“Yang mana satu nak pangkah? BN ke PR? Ini kali lah ke lain kali lah?!!!”

Teringat masa sembang dengan seorang kawan, Anuar (bukan nama sebenar icon wink Ini Kali lah Ke Lain Kali lah? ) masa sesi ngeteh di restoren mamak petang tadi. Anuar memang buntu nak pilih parti mana. Soalan itulah yang ditanya kepada ku.

Aku jawab, sebaik-baiknya mintalah hidayah dan petunjuk dari Allah.

Sebenarnya bukan Anuar seorang yang aku jumpa yang konfius nak pangkah parti yang mana. Ramai golongan digelar “golongan atas pagar” yang sukar untuk membuat keputusan.

Berdasarkan perbualan dengan mereka (bukan aku yang kata ya icon wink Ini Kali lah Ke Lain Kali lah? ), Ini adalah antara fakta-fakta yang membuatkan mereka berbelah bahagi:

  1. Orang kata sesetengah pemimpin parti kerajaan sekarang amalkan korupsi, kronisme dan lain-lain. Tapi bila nak pilih pembangkang sesetengah pemimpin mereka juga dikhabarkan mengamalkan perkara yang sama.
  2. Orang kata sesetengah pemimpin kerajaan sekarang tidak bermoral. Tapi bila nak pilih pembangkang, dikhabarkan pemimpin mereka juga sesetengahnya tidak bermoral.
  3. Kami nak ikut ulamak pembangkang yang nak menegakkan hukum Allah. Tapi ada juga ulamak yang kami ikuti pengajarannya menyokong kerajaan.

mmmpphhh.. Aku jelaskan pada mereka:

  • jangan dengar orang kata. Dapatkan kesahihan dulu. Zaman sekarang zaman fitnah.
  • Kita ambil keputusan nak ikut ulamak adalah keputusan yang terbaik. Kerana ulamak adalah pewaris nabi, tetapi kita tengok lah sendiri pegangan ulamak itu selaras ke tidak dengan kehendak Islam
  • Yang paling penting, kita minta bantuan Allah. Minta pertunjuk supaya kita dibimbing dalam membuat keputusan yang tepat. Solat Istikharah dan berdoalah banyak-banyak supaya kita dikurniakan hidayah.

Selamat mengundi. Tunaikan hak anda sebagai rakyat Malaysia. Yang pasti undilah dengan bijak.

Parti mana pun yang akan menang kita sama-sama doakan supaya Malaysia kita tetap aman sejahtera. Ameen.

Ini kali lah ke lain kali lah? Tepuk dada tanya iman.

Wallahua’lam.

 

Apr 27

Tempe Yang Belum Menjadi Rupanya Di Dalam Perancangan Allah

tempe Tempe Yang Belum Menjadi Rupanya Di Dalam Perancangan Allah

Kisah ini aku dapat daripada perkongsian seorang sahabat Facebook. Amat rugi aku rasa jika aku tidak mengabadikan kisah yang penuh dengan pengajaran ini kepada pembaca blog aku. Moga sama-sama mendapat pengajaran:

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah memang kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu.Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Tuhan yang menyatakan bahawa Tuhan dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagi Tuhan tiada yang mustahil.

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , “Tuhan , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin“

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Tuhan pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Tuhan. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Tuhan, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin”.

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul.

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. Dia berfikir mungkin keajaiban Tuhan akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.

Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Tuhan, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia punmembuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Tuhan kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil.Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Tuhan, pasti Tuhan akan menolongnya.

Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Tuhan, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. “Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.”

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya” Tuhan, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”.

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Tuhan. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum menjadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…

Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Allah s.w.t sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Allah s.w.t lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah s.w.t akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Subhanallah…

Apr 26

Jom Jadi Pengurus Bolasepak Di Top Eleven

manager details Jom Jadi Pengurus Bolasepak Di Top Eleven

Top Eleven Online Game

Siapa pernah main game Football Manager (FM) ataupun Championship Manager (CM)?

Game ini ialah game mengurus pasukan bolasepak pilihan kita. Yang seronoknya data-data pemain yang terdapat di dalam game tersebut hampir sama dengan pemain-pemain bolasepak yang sebenar di seluruh dunia.

kita boleh juga membeli dan menjual pemain pasukan kita. Boleh membina stadium dan lain-lain kelengkapan sebuah kelab bolasepak seolah-olah kita pengurus bolasepak yang sebenar. Itulah antara sebab mengapa ramai yang menggilai permainan video ini terutama peminat bolasepak.

Aku dulu memang hantu game Championship Manager ni. aku ingat lagi masa belajar kat universiti dulu. Tak boleh berenggang dengan PC dek penangan CM ni. Rela tak makan selagi misi mengurus pasukan bolasepak belum terlaksana.

Yang bestnya lagi, besok final exam tapi malam tu main CM sampai subuh. Hahahaha.. Nasib baik dapat score ok. B rasanya untuk subjek tu.

Top Eleven ni lebih kurang sama la dengan game CM dan FM, cuma game ini dimainkan di talian (online). Kita boleh menggunakan PC tau laptop. Atau install sahaja application di Play Store (untuk pengguna android) dan Apps Store (untuk pengguna iOS)

Game ini boleh dimainkan bersama kawan-kawan facebook kita. Kalau kita invite kawan-kawan kita, kita akan dapat token transfer free. Kawan kita invite tadi pula bila dah daftar dan menyempurnakan beberapa aktiviti, kita akan dapat lagi token transfer.

Apa pentingnya token transfer ini. Gunanya ialah semasa kita hendak membeli pemain baru di kelab kita. Tanpa token pemain baru tidak dapat dibeli walaupun kelab ada banyak wang. Token ini jika terdesak boleh dibeli secara online. Di sinilah pemaju permainan ini akan mendapat bayaran.

token Jom Jadi Pengurus Bolasepak Di Top Eleven

Token di Top Eleven

Oleh kerana game ini adalah live game, maka bukan senang kita nak menang kerana lawan kita pun adalah orang sebenar, bukan komputer. Oleh kerana itu, ada yang cuba mencari jalan untuk menipu. Jika kita buat carian di google, ada banyak link yang menawarkan cheat code untuk bermain secara tipu. Tapi awas!!!. Ada di antaranya yang menipu. Jangan jadi macam mamat ni. Setakat ini aku belum lagi jumpa cheat code yang betul-betul untuk game Top Eleven ni.

Jom main Game Top Eleven. Nak cerita secara details pun panjang sangat. Hehehe.

 

Mar 26

Betul Ke Kereta Pun Pandai Merajuk?

 Betul Ke Kereta Pun Pandai Merajuk?

Orang-orang lama selalu berpesan, jangan berbincang  untuk mejual kereta di dalam kereta yang hendak dijual itu tersebut. Nanti kereta itu merajuk.

Betul ke pesan tu?

Aku rasa macam tak nak percaya. Dan aku rasa tak baik percaya benda macam tu kerana semuanya atas kehendak dan perancangan Allah.

Tapi pernah tak anda alami perkara ini? Tengah enak bercakap dan merancang nak jual kereta tiba-tiba kereta meragam. Tiba-tiba kereta rosak. Tiba-tiba kereta terlibat dalam kemalangan.

Baru-baru ini aku memandu kereta aku yang aku beli 4 tahun yang lepas. Tiba-tiba dapat sms dari isteri tersayang mencadangkan untuk menukar kereta yang aku sedang pandu ketika itu dengan kenderaan 7 seaters. Aku pun membalas sms tersebut dengan cadangan-cadangan model-model kereta yang aku berkenan.

Tiba-tiba kereta tersebut terlanggar belakang kereta di hadapan aku. Volkswagen Passat pulak tu. Aku hentikan kereta dan keluar dari kereta untuk melihat keadaan keretanya.

Tuan punya kereta tersebut berketurunan cina keluar. Nasib baik belaknag keretanya tercalar sedikit sahaja. Dan perkara tersebut dapat diselesaikan pada masa itu juga.

Itulah persoalannya. Adakah kemalangan itu berlaku sebab kereta merajuk kerana ia tahu ianya hendak dijual? Pada perkiraan mengikut kepercayaan orang-orang lama, puncanya ialah sebab kita bercakap hendak menjual kereta tersebut lah.

Tapi tidakkah kita terfikir bahawa kejadian tersebut adalah disebabkan kita tidak berhati-hati semasa memandu. Bermain dengan sms adalah perkara serius semasa memandu.

Jadi masihkah kita memegang pendapat dan kepercayaan orang-orang lama tersebut?

Feb 26

Kata Kunci Yang Sedang Hangat Masa Kini

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ingat tak entri daripada Denaihati pasal kata tentang penjanaan trafik melalui kata kunci? (Anda boleh rujuk di sini). Saya telah pun mencuba dengan memasukkan kata kunci bermusim di dalam entri ini. Dan hasilnya telah saya bincangkan di dalam entri ini.

Tahu tak apa kata kunci yang sedang hangat masa kini? Apa peristiwa besar yang sedang dinantikan oleh rakyat Malaysia? Ya Pilihan Raya ke 13 (PRU 13).

Seperti yang kita semua ketahui Pilihan Raya ke 13 sudah semakin hampir. Ia akan diumumkan tarikhnya pada sebarang masa sekarang.

Di dunia nyata, kita sudah nampak tanda-tanda ianya semakin dekat. Suratkhabar terutama pro kerajaan sudah mula menekankan isu-isu yang agak kontroversi membabitkan pembangkang. Perang bendera juga mula kelihatan. Isu-isu sensitif yang melibatkan lawan masing-masing di antara parti pro kerajaan dan pembangkang mula di mainkan.

Kepada rakyat jelata, mereka mula tercari-cari bilakah masa akan diumumkan tarikh sebenar pilihan raya. Apakah langkah-langkah yang perlu mereka buat untuk menghadapi pilihan raya. Mereka juga mula menyemak tempat di mana mereka seharusnya mengundi.

Jadi, salah satu kata kunci yang sedang hangat masa kini selain daripada Pilihan Raya ke 13 ialah “semak tempat mengundi”.

Buktinya hampir 3 suku keyword yang singgah di blog saya adalah semak tempat mengundi. Entri ini memang saya buat khas untuk cara-cara menyemak tempat mengundi.

 Kata Kunci Yang Sedang Hangat Masa Kini

Graf menunjukkan kata kunci yang paling hangat masa kini adalah “semak tempat mengundi”

 Kata Kunci Yang Sedang Hangat Masa Kini

Kata kunci “semak tempat mengundi” menduduki carta teratas

Jadi terbukti “semak tempat mengundi” adalah kata kunci yang sedang hangat masa kini. Itulah kehebatan kata kunci bermusim. Ia akan menjadi hangat bila tiba musimnya.

 

Jan 16

Kalau Dah Rezeki Kita Memang Tak Kemana

kalau dah rezeki kita takkan kemana Kalau Dah Rezeki Kita Memang Tak Kemana

Kalau dah rezeki kita memang tak kemana

Rezeki untuk kita memang telah Allah tetapkan. Namun kita kena berusaha untuk dapatkannya. Burung kena keluar berpagi-pagi dari sarangnya untuk mencari rezeki. Jika ia tunggu di sarangnya rezeki tak akan datang kepadanya. Begitu jug kita.

Kalau dah rezeki kita memang ia takkan ke mana. Kalau ia ditetapkan bukan rezeki kita, makanan yang disuap ke dalam mulut pun akan termuntah kembali.

Dua hari lepas, aku ada set appointment dengan prospek klien yang baru untuk berjumpa dan berbincang berkenaan Perancangan Kewangan Islam secara am dan pelaburan jangka masa panjang Unit Trust khasnya.

Prospek klien ini dicadangkan oleh referral aku yang sudah lama menjadi klien Unit Trust aku. Sebelum ini pun dah ramai yang referral aku ni bagi nombor telefon rakan-rakannya untuk aku hubungi dan berbincang tentang ilmu Unit Trust ini. Rata-rata kawan-kawannya ini terlebih dahulu mendapat penerangan secara ringkas tentang Unit Trust. Ini memang amat menyenangkan kerja aku. Dan setakat ini orang yang beliau refer kepada aku semuanya bersetuju menjadi klien aku.

Appoinment yang ditetapkan dengan prospek klien tersebut adalah pada pukul 10.30 pagi di kilang tempat beliau berkerja di Bangi.

Namun pada waktu yang dijanjikan itu aku menghadapi masalah di pejabat Takaful Malaysia di Darul Takaful, Jalan Sultan Sulaiman. Ini adalah kerana borang autodebit Bank Islam yang telah ditandatangani oleh klien telah ditukar kepada borang yang baru. Oleh itu aku perlu mendapatkan semula tandatangan klien tersebut pada borang yang baru.

Oleh kerana klien hendakkan borang permohonannya dihantar pada hari itu juga maka aku terpaksa selesaikan hal-hal yang berkaitan pada hari itu juga.

Menyedari kelewatan yang bakal aku hadapi, aku lantas menghubungi prospek klien tadi dan menangguhkan masa pertemuan kami. Prospek klien tersebut meminta pukul 12.30 tengahari kerana masa tersebut beliau boleh keluar makan tengahari.

Kita hanya mampu merancang. Tetapi yang Maha Mengatur adalah Allah swt. Pukul 12.30 tengahari aku masih di KL kerana urusan Takaful tersebut masih belum selesai.

Sekali lagi aku dengan rasa bersalah menghubungi prospek klien tadi meminta tangguhkan perjumpaan kami. Aku mencadangkan keesokan harinya sahaja. Namun beliau tetap berkeras mahu menyelesaikannya pada hari itu juga. Ini kerana katanya beliau telah siapkan cek untuk pelaburan pertama. Aku terpaksa akur. Client is always right.

Urusan di Darul Takaful selesai pada pukul 3 petang. Pukul 3.10 petang aku sudah berada di Highway Kl- Seremban. Syukur, pada masa itu jalan agak tenang. Aku memecut laju tanpa menghiraukan AES. Aku pasrah. Malu sangat dah aku dengan prospek klien yang aku belum pernah jumpa ni.

aku sampai di Plaza Tol Bangi tepat pada pukul 3.30 petang. Lepas jer Plaza Tol bangi aku dengar macam ada bunyi yang pelik kat depan bumper kereta aku. Aku hentikan kereta untuk memeriksa. Nah! Bumper kereta aku terlondeh dan bergesel pada tayar. Aduuh. Ini memang benar-benar dugaan, detik hati kecilku.

Aku terpaksa mengikat bumper yang tercabut skru tadi dengan tali tag nama yang ada di dalam kereta aku. Kemudian aku teruskan perjalanan.

tali tag nama Kalau Dah Rezeki Kita Memang Tak Kemana

Nasib baik ada tali ni…

Aku sampai di depan kilang tempat prospek klien aku berkerja tepat jam 3.45 petang. Dan alhamdulillah beliau sedia menanti aku dengan sebuah senyuman mesra. Aku serta merta menjadi lega seleganya kerana aku tau mungkin aku tidak akan dimarahi.

Kami ambil tempat untuk berbincang. Perbincangan hanya mengambil masa 15 minit sahaja sebelum beliau menyerahkan cek bernilai RM10,000 untuk melabur di dalam dana Islamik dengan syarikat Unit Trust aku bernaung. Alhamdulillah.

Sambil bersetuju dengan penerangan aku tentang pentingnya membuat simpanan pelaburan secara berdisiplin untuk memaksimakan lagi keuntungan, beliau lantas bersetuju untuk membuat potongan secara tetap daripada akaun simpanan Maybanknya.

kalau dah rezeki kita memang tak kemana. Itu memang tuhan telah tetapkan. Namun jika aku ambil keputusan untuk tidak pergi dan berjumpa klien tersebut, memang rezeki itu tak akan datang kepadaku.

Selepas itu itu baru berkesempatan tunaikan solat Zohor. Waktu Z0hor sudah akhir sangat dah. Sesudah solat sempat aku buat sujud syukur kerana di atas rezeki yang dikurniakanNya. Yang paling penting syukur kerana aku masih sempat tunaikan kewajipan terbesar aku sebagai seorang Islam iaitu solat Zohor.

Alhamdulillah. Kalau dah rezeki kita memang tak kemana. Aku syukur pada mu Ya Allah.

 

Nota:

Cuba renungkan, ini mungkin balasan Allah kepada kita di atas amalan murah rezeki kita iaitu bersedeqah. Memang jika kita selalu bersedeqah Allah akan tolong kita dapatkan rezeki dari sumber dan keadaan yang tidak disangka-sangka. Mungkin juga kerana amalan ini. Ataupun Amalan ini. Wallahua’lam. Itu semua Allah punya kuasa.