Hati-Hati Menyebarkan Berita Di Musim PRU 13

katakan tidak pada fitnah

katakan tidak pada fitnah

Tinggal seminggu sahaja lagi untuk berkempen. Di dalam masa yang singkat ini pihak BN dan PR maupun Parti Bebas sibuk menyusun strategy dalam berkempen. Semuanya untuk menjamin kemenangan masing-masing.

Kempen konvensional seperti menampal poster dan memasang bendera sudah menjadi tradisi sejak dulu lagi. Sekarang cara berkempen sudah bertambah advance apabila media sosial menjadi penyumbang utama di dalam strategy berkempen. Facebook, Twitter, Instagram, Blog menjadi senjata utama dalam kempen PRU 13 kali ini.

Selain daripada kelebihan dalam kepantasan menyampaikan maklumat, media sosial ini juga mempunyai keburukannya yang tersendiri.

Setiap maklumat yang diterima melalui media sosial sewajarnya ditapis terlebih dahulu. Ini kerana terlalu banyak fitnah-fitnah yang sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu untuk melemahkan pihak lawan. Jadi, berhati-hatilah menyebarkan berita di musim PRU 13 ini.

Maklumat yang tidak bermoral seperti cerita keaiban pihak lawan, video lucah dan sebagainya seharusnya tidak dipanjangkan kepada orang lain melalui fungsi sharing. Ini dikhuatiri akan memanjangkan fitnah yang direka (jika berita itu adalah fitnah). Menyebar fitnah ini adalah suatu dosa besar yang disebut di dalam Al-Quran:

“… fitnah itu besar (dasyat) dari melakukan pembunuhan……” (al-Baqarah:217)

Jika berita itu benar sekalipun, menyebarkannya bererti kita membuka pekung orang lain. Menceritakan keburukan orang lain juga dilarang di dalam Islam. Ada sebuah hadith yang menegah perkara ini:

“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” (HR. Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Pihak polis pun sudah memberi amaran keras di musim PRU 13 ini kepada sesiapa yang menyebarkan fitnah. Pihak polis akan mengambil tindakan keras untuk mencari dan membuat tangkapan kepada golongan ini.

Mengikut undang-undang Malaysia, sesiapa yang didapati bersalah dalam menyebarkan fitnah, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang berupa penjara 2 tahun atau denda RM5000 ataupun kedua-duanya sekali.

Jadi, kita sebagai penerima maklumat, hendaklah menapis terlebih dahulu jika hendak menyebarkan maklumat tersebut:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat:6)

Moga kita semua dihindari daripada menjadi ejen penyebar kepada fitnah, video lucah dan berita yang tidak bermoral yang lain yang bisa menyumbangkan dosa percuma kepada kita. Hati-hati menyebarkan berita di musim PRU 13!!!.

Allahua’lam.

12 comments

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

%d bloggers like this: