More

    Istidraj – Orang Buat Maksiat Tapi Dapat Habuan Dunia

    Assalamualaikum. Salam Jumaat untuk semua.

    Pernah anda terfikir, mengapa kita yang solat tanpa tinggal, jaga adab-adab Islam, buat perkara kebaikan, tapi doa kita masih belum dimakbulkan. Tetapi ada orang yang buat maksiat, solat kadang-kadang buat kadang-kadang tidak, senang pulak mendapat rezeki daripada Allah. Malah berlebihan pula rezekinya.

    Usah negatif dengan Allah. Allah maha mengetahui. Ada banyak hikmahnya Allah menjadikan sesuatu itu. Kita hanya manusia yang lemah. Terkadang minda tiada upaya memikirkan sesuatu di luar fikiran manusia. Lalu musuh yang satu iaitu syaitan laknatullah lantas membisikkan hasutan secara halus supaya bersangka buruk dengan Allah.

    foto istidraj
    ada kekayaan yang diberi oleh Allah dengan tidak diredhaiNya.

    Ada satu istilah yang diberikan kepada orang yang berbuat dosa tetapi mendapat rezeki dari Allah dengan melimpah ruah. Ia dipanggil Istidraj. Ia adalah pemberian Allah kepada hambaNya tetapi pemberian tersebut dengan tanpa keredhaanNya.

    Rasullulah SAW bersabda:

    “Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.” (Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi

    Manusia yang istidraj ialah manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal.

    “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Ternyata Allah sayangkan aku.”

    Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

    “Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)

    Mari kita lihat contoh pada anai-anai. Semasa peringkat ia masih anai-anai, masih belum punya sayap, ia akan mendiami busut dan sebagainya. Ia berkerja dengan tekun membina sarang dan mencari makanan untuk permaisuri untuk proses pembiakan seterusnya.

    gambar anai-anai
    Anai-anai yang rajin berkerja

    Tetapi apabila Allah hendak membinasakan mereka, Allah memberikan sayap untuk mereka terbang. Lantas mereka bertukar menjadi kelkatu. Kelkatu ini apabila ia mendapat nikmat (sayap) ia akan cuba melawan api ataupun tertarik kepada cahaya. Lalu keadaan ini akan membinasakan mereka.

    Itulah ibaratnya manusia yang mendapat nikmat dengan tidak diredhai Allah (istidraj). Semakin mereka mendapat nikmat semakin mereka angkuh, sombong, riak dan lupa pada Yang Maha Memberi Rezeki iaitu Allah.<

    Contoh yang dinyatakan di dalam kitab al-Quran, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga. Sangat panjang umurnya. Lantas ini menimbulkan rasa angkuh dan besar diri sehingga sanggup mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

    raja firaun
    Firaun (gambar hiasan)

    Lagi contoh di dalam Al-Quran. Tiada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja terpaksa dibawa oleh 40 ekor unta. tapi lihatlah apa kesudahan cerita Qarun ini. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali ditelan bumi akibat terlalu takbur.

    gampa bumi telan qarun
    gambaran suasana Qarun ditelan bumi

    Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

    Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang kita perolehi nikmat yang diredhai Allah atau istidraj? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.

    Tentang doa kita yang belum Allah makbulkan itu, positiflah dengan Allah. Banyak hikmah disebaliknya. Antara hikmah-hikmahnya ada aku bincangkan di dalam artikel Limpahan Rezeki di dalam blog ini sebelum ini.

    Yang penting kita sentiasa beristiqamah dan ikhlas dalam beribadat. InsyaAllah, Allah akan cukupkan keperluan kita di dunia dan juga di akhirat.

    Latest articles

    Related articles

    13 Comments

    Leave a Reply to titan Cancel reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    CommentLuv badge