featured image

Kenapa Aku Belum Berjaya Seperti Yang Aku Impikan

gambar al quran

Dua tiga hari yang lepas, masa tu lepas solat Isyak kalau tak silap, aku termenung seketika. Terfikir kenapa aku belum berjaya seperti yang aku impikan. Kenapa ada kejayaan yang aku dambakan belum datang.

Bukan aku tak bersyukur dan aku tak nafikan telah banyak yang aku minta dan aku doa telah Allah makbulkan. Dan aku juga sedar perkara-perkara yang aku minta yang belum aku dapat itu bukan Allah tidak kabulkan tetapi Dia tangguhkan untuk menguji aku dan untuk aku lebih mengingatiNya. Dan aku juga faham bahawa apa yang aku minta itu sebenarnya ada yang telah diperkenankan tetapi di dalam bentuk kenikmatan yang lain seperti terselamat dari bala bencana dan sebagainya yang mana itu adalah lebih utama bagiku. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha bijaksana.

Subhanallah walhamdulillah. Namun akal manusia kadang-kedang terfikir juga. Bukan mempersoalkan tapi hanya untuk muhasabah diri demi mencari dimana kekurangan dalam usaha, tawakkal dan doa yang telah diamalkan.

Selepas itu terdetik hati kecil ini untuk membaca Al-Quranul Kareem yang sudah beberapa hari aku tinggalkan dek kerana kesibukan duniawi. Aku lantas membuka secara rambang surah yang hendak dibaca. Subhanallah. Allahuakbar! Surah yang tertera bila aku membuka Al-Quran yang aku beli di Makkah sewaktu mengerjakan umrah dahulu adalah Surah Al-Mukminun. Terkesima aku seketika.

Allah telah berikan jawapan dengan segera apa yang berlegar di fikiranku tadi tentang kenapa aku belum berjaya. Aku hanya sempat membaca sedikit sahaja daripada Surah Al Mukminun tersebut kerana ingin segera mencari makna ayat-ayat yang sudah aku ingat-ingat lupa itu.

Makna ayat 1 – 11 Surah Al Mukminun:

[1]Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta );
[5]Dan mereka yang menjaga kehormatannya, –
[6]Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: –
[7]Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10]Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi –
[11]Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
(AL MUKMINUN Surah 23: 1-11)

Itulah jawapannya kepada persoalan kenapa aku belum berjaya yang berlegar di benakku tadi. Sebenarnya Allah sudah berjanji akan memberikan kejayaan kepada orang yang “beriman”. Dan Allah adalah suci daripada memungkiri janji.

Aku tidak mahu memberikan tafsir yang panjang kepada ayat-ayat ini kerana ilmu yang sejengkal cuma.Cuma apa yang aku faham di sini ialah takrif orang yang “beriman” yang Allah janjikan kejayaan itu ialah orang yang khusyuk dalam solatnya. Mereka yang menjaga solatnya. Aspek ini aku terkadang tewas. Adakalanya solat tidak di awal waktu. Adakalanya solat dengan kurang khusyuk kerana mengejar hal-hal keduniaan.

Sifat orang “beriman” juga ialah orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Aku juga selalu terbabas dengan perkara dan percakapan yang lagha. Sementelah lagi kerja aku yang memang kena bercakap banyak dengan orang. Kadang-kadang lepak di kedai kopi dan berbual kosong.

Orang beriman juga membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat, menjaga kehormatan, dan yang menunaikan amanah dan janji. Adakah aku jaga perkara itu semua.

Jika kita memelihara itu semua, bukan sahaja kejayaan di dunia, malah Allah juga akan mengurniakan Syurga Firdaus di akhirat kelak. Itulah Al-Falah, sasaran bagi setiap orang yang beriman.

Allahuakbar. Tiba-tiba terasa hina diri ini. Hendakkan kejayaan dari Allah tetapi syaratNya tidak sempurna diikuti.

3 comments

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

%d bloggers like this: