pembentangan belanjawan 2014

Merangka Bajet Peribadi Terbaik Untuk Tahun 2014

pembentangan bajet terbaik

walau apa pun bajet yang akan dibentangkan nanti, diharap ianya adalah yang terbaik dan akan memberikan keuntungan rakyat dan negara

Seperti yang kita sedia maklum, Perbentangan Bajet 2014 akan diumumkan oleh perdana menteri Malaysia Dato Seri Mohd Najib Tun Razak pada 25 Oktober 2013 iaitu pada hari ini. Banyak agakan serta telahan yang berdasarkan fakta dan sembang kedai kopi yang tidak disandarkan kepada ilmu ekonomi telah hangat didebatkan sejak seminggu ini. Semua ini menunjukkan keperihatinan rakyat Malaysia yang inginkan keadaan yang terbaik untuk rakyat dan negara di tahun 2014.

Pandangan aku? Aku bukanlah seorang yang mahir sangat tentang perancangan ekonomi sebuah negara walaupun aku bergelar Perancang Kewangan. Skop perancangan kewangan aku adalah lebih sempit dan tertumpu iaitu perancangan kewangan peribadi.Aku juga tidak ingin mengulas tentang apa harapan rakyat Malaysia ataupun tentang GST yang saban hari diperbincangkan.

Tugas aku hanyalah memberi pandangan dan nasihat kepada pelanggan individu yang inginkan cadangan untuk memantapkan perancangan kewangan mereka. Biasanya nasihat yang akan diberikan lebih kepada perancangan daripada 3 aspek utama iaitu perlindungan, simpanan dan pelaburan serta perancangan selepas mati atau lebih dikenali sebagai perancangan pusaka.

asas perancangan kewangan

perancangan kewangan peribadi harus berasaskan 3 perkara utama iaitu perlindungan assets, simpanan serta pelaburan dan perancangan pusaka

Walau apa pun yang akan diisytiharkan kepada bajet 2014 nanti, perancangan kewangan peribadi adalah amat penting dirancang dengan segera tanpa bertangguh. Ianya boleh dibuat dan dibaiki sedikit nanti untuk diselaraskan dengan pembentangan bajet 2014 yang bakal dibuat jika ia melibatkan gangguan kepada perancangan yang telah dirancangkan. Apa yang penting buat perancangan kewangan peribadi terlebih dahulu untuk hidup yang lebih baik dari segi kewangan di masa mendatang.

Untuk memulakan proses merancang kewangan sendiri, kita perlu kenali keadaan kesihatan kewangan kita. Sihatkah ia atau sakitkah ia? Daripada situ barulah kita boleh tahu di mana kita hendak mulakan perancangan kewangan yang terbaik buat kita bukan sahaja di tahun 2014 malah pada tahun-tahun yang berikutnya.

perancangan pendidikan anak

Dalam merangka bajet peribadi, pendidikan anak harus dirancang seawal mungkin supaya dana pendidikan yang semakin melonjak naik dari tahun ke tahun boleh diraih. Tindakan awal dalam merancang pelan pendidikan akan menjadikan perancangan bajet peribadi sebagai yang terbaik

Perkara seperti aliran tunai, hutang, pendapatan, perbelanjaan adalah beberapa perkara asas yang perlu diambil kira untuk tentukan tahap kesihatan kewangan peribadi. Kemudian perancangan masa hadapan yang bersifat jangka masa panjang seperti perancangan pendidikan anak dan perancangan persaraan perlu di ketahui.

Pelan persaraan

Perancangan persaraan harus dirangka dengan teliti supaya ianya akan menjadi perancangan yang terbaik untuk kita.

Tidak lupa juga kepada perancangan kewangan jangka masa sederhana seperti menyediakan dana untuk membuat bayaran muka pembelian rumah (jika belum ada), dana untuk mengerjakan haji, dana untuk kahwin (jika belum ataupun merancang untuk tambah isteri), dana untuk melancong ke luar negara dan lain lain.

Perancangan jangka masa pendek seperti menyediakan tabung untuk memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta, dana untuk perbelanjaan hari raya tahun hadapan, belanja keperluan sekolah anak di awal tahun hadapan dan lain-lain yang agak segera harus juga dirancang. Jika tidak kacau bilau juga jadinya kepada aliran tunai kita nanti.

Apabila tahap kesihatan kewangan sudah dikenal pasti barulah perancangan yang perlu dibuat boleh dirangka dengan bijak, berkesan dan terbaik.

 

Perancangan perlindungan kewangan (takaful)

perlindungan assets dengan pelan takaful

pelan takaful yang bebas dari unsur gharar, riba’ dan maisir menjadi pilihan masa kini sebagai alat perancangan perlindungan assets

Ini adalah yang perancangan kewangan paling asas yang perlu ada bagi setiap individu. Assets yang kita ada harus kita lindungi nilainya terutama bila berlaku sebarang musibah yang tidak terduga kepada kita dan ahli keluarga yang lain.

Apabila berlaku musibah kepada individu, pasti segala yang dirancang akan terjejas. Contohnya jika berlaku musibah kepada individu yang bergelar ayah. Pasti segala perancangan kewangan untuk keluarga akan terjejas. Tambah-tambah lagi dia adalah pencari rezeki utama di dalam keluarga tersebut.

Bayangkan jika berlaku kematian ataupun kecacatan yang kekal kepada si ayah, siapa yang akan mencari rezeki untuk menyara keluarga? Dari manakah dana pendidikan untuk anak akan diperolehi apabila anak memasuki menara gading nanti.

Jika berlaku musibah berupa sakit yang memerlukan kemasukan ke wad, siapakah yang akan membayar bil hospital tersebut. Memang ada hospital kerajaan yang menerima kemasukan kita ke sana untuk rawatan tanpa bayaran ataupun dengan bayaran yang minima. Tetapi cuba bayangkan jika ramai daripada kita yang hanya mengharapkan hospital kerajaan, tidakkah ianya akan menyebabkan ketidakcukupan tempat. Tidakkah ia akan menyebabkan kelambatan dalam proses kemasukan hospital. Tidakkah ia akan menyebabkan kakitangan hospital tidak cukup tangan untuk menangani pesakit yang boleh menyebabkan perkhidmatan yang perlahan dan  tidak cekap?

Dengan adanya pelan takaful, semua keadaan yang terhasil rentetan daripada musibah yang berlaku boleh dikurangkan. Contohnya jika musibah kematian ataupun cacat kekal yang menimpa, keluarga kita akan terselamat daripada masalah mencari duit keperluan untuk meneruskan kehidupan tanpa pendapatan daripada kita yang telah tiada maupun cacat kekal.

Dengan adanya pelan takaful juga, perbelanjaan yang kita tidak rancang dan sangka seperti kemasukan ahli keluarga ke hospital akan dapat kita atasi. Dengan adanya kad perubatan takaful segala perbelanjaan hospital akan diuruskan oleh pihak takaful.

Takaful juga boleh bertindak sebagai alat penyelesai hutang kita. Sewaktu hidup mungkin kita belum berkesempatan melangsaikan hutang kita dengan orang perseorangan ataupun institusi kewangan. Dengan perancangan takaful, hutang boleh dilangsaikan dengan menggunakan wang pampasan yang bakal diterima setelah berlaku musibah kematian dan cacat kekal ke atas diri kita.

Jadi setiap individu mestilah mempunyai alat perancangan yang paling asas ini iaitu pelan takaful.

 

Perancangan Simpanan dan Pelaburan

bajet yang terbaik dengan menabung dan melabur

menyimpan sedikit sedikit, lama-lama jadi bukit

Perkara ini juga amat penting. Tanpa keduanya kehidupan kita di masa hadapan akan menjadi sukar dari segi kewangan.

Assets berupa wang tunai jika dibiarkan begitu sahaja ataupun disimpan ditempat yang memberi pulangan yang sedikit akan menyebabkan ia menjadi semakin kurang nilainya di masa akan datang. Ini adalah disebabkan oleh musuh wang yang paling utama iaitu inflasi.

 

kenaikan harga barang

kadar inflasi hanya boleh dilawan dengan kadar keuntungan yang lebih tinggi. Perancangan kewangan atau bajet yang terbaik ialah yang mengambil kira kadar inflasi.

Musuh duit nombor satu ini bertindak seperti anai-anai di dalam kayu. Ia memakan kayu secara senyap untuk menjadikannya tidak bernilai. Walaupun luaran kayu tersebut mungkin masih elok tetapi bahagian dalamannya tentu sudah rosak.

Oleh itu, jika hendak menyimpan duit, pilihlah pelaburan yang boleh memberi kita kadar keuntungan yang sekurang-kurangnya sekali ganda daripada kadar inflasi. Barulah kita boleh menikmati nilai simpanan dan pelaburan kita di masa akan datang dengan sebaiknya.

Perancangan kewangan yang memerlukan jumlah wang yang banyak dalam jangkamasa panjang seperti perancangan pendidikan dan perancangan persaraan pastinya memerlukan simpanan secara berterusan dan berkala. Pulangan tahunan amat penting kerana ia akan menentukan nilai yang akan kita perolehi di dalam jangkamasa yang panjang tadi.

Jadi amalan menyimpan dan melabur wang sejak dari usia muda adalah amat baik untuk kita. Ia akan menentukan jumlah yang akan diperolehi nanti. Dengan konsep interes berkompaun, semakin lama kita ambil masa untuk menyimpan sebenarnya semakin banyak pulangan yang kita perolehi walaupun jumlah yang kita keluarkan untuk simpanan tidak banyak.

bermula awal ni memang menguntungkan

semakin awal semakin banyak pulangan yang akan terkumpul

Ini berbeza dengan orang yang memulakan simpanan dan pelaburan agak lewat. Ia akan menjadikan tempoh simpanan dan pelaburan agak pendek. Pulangan yang bakal diperolehi nanti adalah jauh lebih sedikit daripada orang yang memulakan simpanan awal tadi walaupun jumlah yang dikeluarkan untuk simpanan dan pelaburan jauh lebih banyak daripada orang tadi.

 

Perancangan Pusaka

perancangan pusaka

perancangan pusaka ataupun wasiat sudah menjadi semakin popular untuk menjadikan perancangan kewangan peribadi yang terbaik bukan sahaja di tahun 2014 malah untuk sepanjang hayat

Perancangan kewangan ini juga tidak kurang pentingnya kepada kita. Selepas berpuluh tahun hidup dengan berkerja dan menyimpan serta melabur, tibalah masanya kita mengundur diri daripada dunia yang fana ini. Harta berupa hartanah, wang tunai, simpanan, pelaburan yang dibuat mestilah kita mahukan yang terbaik untuk diagihkan kepada ahli keluarga kita yang berhak. Kita tidak mahu ada ahli keluarga kita yang akan teraniaya dengan kesilapan kita tidak membhagikan harta semasa kita masih hidup.

Isteri ada haknya ke atas harta kita. Harta sepencarian dan hibah adalah cara yang terbaik untuk mengagihkan harta kepadanya disamping hak faraid yang telah ditetapkan di dalam Quran. Isteri ditetapkan haknya hanya satu per enam sahaja daripada jumlah harta si mati selepas di tolak segala perbelanjaan kematian dan hutang. Hak seperenam ini pula terpaksa dibahagikan sama rata diantara isteri-isteri si mati jika si mati mempunyai isteri lebih daripada seorang. Masalah yang lebih mendalam akan timbul jika isteri pertama tidak tahu bahawa suaminya berpoligami.

Anak angkat tidak mempunyai hak faraid langsung ke atas harta ayah atau emak angkatnya. Namun dia sudah dianggap sebagai anak kandung sewaktu ibu atau bapa angkat masih hidup. Adalah *dfn kurang bijak jika setelah kematian ibu atau bapa angkat dia tidak mendapat sebarang harta. Pasti anak angkat tadi merasa kecewa. Di sinilah fungsi hibah sekali lagi memainkan peranan yang penting untuk meyelesaikan masalah anak angkat ini.

Banyak masalah yang timbul dalam pembahagian harta pusaka akan dapat diselesaikan jika ianya dirancang terlebih awal iaitu semasa tuan punya harta masih hidup.

Antara masalah pertama yang berlaku apabila berlakunya kematian ialah semua harta si mati akan dibekukan. Ini termasuklah akaun simpanan di bank, unit trust, takaful dan sebagainya. Ini pastinya akan menyulitkan ahli keluarga si mati kerana duit perbelanjaan perlu dikeluarkan daripada simpanan bank.

Yang paling penting sekali, dengan adanya perancangan pusaka, proses penyelesaian harta pusaka yang boleh menjadi bertahun-tahun lamanya  akan menjadi lebih cepat kerana semua dokumen sudah ada dalam simpanan penyelesai harta pusaka.

Ini akan memudahkan waris yang ditinggalkan untuk menjalani kehidupan seperti biasa tanpa terputus wang perbelanjaan. Anak-anak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa tanpa merasai kesukaran akibat tiada wang belanja, isteri juga dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan adanya pendapatan hasil peningglan suami tercinta. Memang kesedihan tak dapat disisihkan apabila berlaku kematian. Namun ianya tidak bertambah tenat dengan kesukaran akibat lambatnya proses penyelesaian harta pusaka.

Dengan perancangan pusaka sebeum mati, insyaAllah perkara-perkara sebegini akan dapat dihindari.

Kesimpulannya, perancangan kewangan amat penting dalam kehidupan kita. Perancangan takaful amat penting untuk perlindungan assets, penyelesaian hutang dan perbelanjaan hospital. Simpanan dan pelaburan suatu kemestian untuk kita memperolehi kehidupan yang selesa sewaktu usia semakin lanjut. Pembahagian pusaka yag terancang sewaktu masih hidup dapat menolong waris yang ditinggalkan tanpa sebarang penganiayaan. Yang paling penting kita pergi dengan aman setelah mengetahui segalanya telah kita uruskan diatas dunia ini untuk keluarga kita.

Perancangan kewangan yang bijak menjadikan kita insan terbaik dan sentiasa dikenang selepas kita meninggal dunia. InsyaAllah doa daripada mereka iaitu anak dan isteri yang soleh dan solehah akan sentiasa mengiringi kita di alam barzakh. InsyaAllah kubur kita akan lapang dan sejuk kerana sentiasa disirami dengan doa. Doa anak yang soleh adalah salah satu daripada 3 amalan yang pahalanya akan terus mengalir kepada kita walaupun kita sudah tiada dan segala amalan lain sudah terputus.

Jadi rangkalah bajet untuk diri sendiri. Jadikan ia bajet yang terbaik untuk hidup kita bukan sahaja di dalam tahun 2014 malah pada sepanjang tahun sehingga perancangan kewangan dan sasaran kewangan kita tercapai. Yang paling penting, perancangan kewangan mestilah dimulakan daripada sekarang. Jangan bertangguh.

Perbentangan bajet untuk diri sendiri juga amat penting. Ia juga harus dibuat bukan hanya untuk tahun 2014 malah pada setiap tahun seperti perbentangan bajet untuk negara yang dilakukan oleh perdana menteri. Dengan cara itu perancangan serta bajet tahunan kita akan menjadi yang terbaik untuk kita.

Wallahualam.

Selamat menonton dan menganalisa pembentangan bajet 2014 nanti.

12 comments

  1. Bajet Terbaik 2014 | shakiddo.com 4 November, 2013 at 05:57 Reply

    […] Perancangan kewangan peribadi bermula dengan pelan awal yang berdasarkan keadaan kewangan semasa anda. Pelan ini kemudiannya dipantau supaya ia berubah bersama-sama dengan perubahan dalam gaya hidup anda serta pasaran. Ia adalah lebih daripada membantu anda membuat keputusan sama ada atau tidak untuk meletakkan wang anda di dalam keadaan yang tidak perlu. Keperluan atau kehendak. Mana lebih didahulukan? […]

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

You might be interested

%d bloggers like this: