Pasukan Johor Dan T-Team Mendapatkan Pemain Bintang Untuk Musim 2013

liga super malaysia

Nampaknya Malaysian Super League semakin berprestij. Pasukan-pasukan berstatus negeri dan kelab sudah semakin berani mengeluarkan bajet besar demi untuk menaikkan pasukan masing-masing.

Musim 2012 kita tengok pasukan ATM telah berbelanja besar membeli pemain tempatan dan luar negara sehinggakan mereka digelar Manchester City Malaysia. Musim depan pula kita dapat lihat pasukan Johor yang dipimpin oleh Tunku Mahkota Johor bersungguh-sungguh ingin menaikkan pasukan mereka. Ini dapat dilihat apabila mereka sanggup menawarkan kontrak yang lumayan kepada bintang-bintang bolasepak tempatan.

Antara pemain-pemain yang sudah sah meyertai mereka pada musim 2013 ialah Safiq Rahim, Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Muslim Ahmad dan Azmi Muslim. Manakala proses mendapatkan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dari Kelantan sudah 90 peratus berjalan apabila Johor telah menyatakan kesanggupannya memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh pasukan Kelantan.

Pasukan Johor juga telah berjaya mendapatkan Daniel Guiza pemain dari kelab Getafe secara pinjaman. Khabarnya pemain ini bernilai 2 juta euro.

Pasukan T-Team juga tidak ketinggalan. Walaupun tidak mengeluarkan perbelanjaan yang besar seperti pasukan Johor, namun mereka dilihat cuba berbuat sesuatu apabila telah berjaya membawa masuk nafas baru dari pasukan luar. Beberapa orang pemain dari pasukan abang iaitu Terengganu turut menyatakan kesanggupan untuk menyertai T-Team.

george boateng ke t-team

T-Team juga telah memilih Peter Butler sebagai ketua jurulatih mereka. Peter Butler bakal menandatangani kontrak pada besok (Ahad). Turut sama menandatangani kontrak besok ialah bekas penyerang antarabangsa Belanda, George Boateng (gambar).

Keputusan pasukan Johor dan T-Team mendapatkan pemain bintang dari dalam dan luar negara membuktikan mereka serius untuk memberi cabaran pada musim baru nanti. Diharap mereka ini akan menjadi antara pasukan yang akan menduduki tangga teratas liga.

Usaha pasukan Johor dan T-Team mendapatkan pemain bintang ini dilihat sebagai satu petanda positif dalam arena bolasepak profesional Malaysia. Kesanggupan bintang ternama luar negara bermain di Malaysia juga menandakan mereka melihat mutu bolasepak kita semakin maju.

Jika pasukan-pasukan lain di Malaysia Super League turut mencontohi pasukan Johor dan T-Team mendapatkan pemain bintang, pasti kancah bolasepak di Malaysia akan lebih berwarna warni dan menarik. Namun begitu keadaan kewangan pasukan harus juga diambil kira. Jangan sampai berbelanja besar sehinggakan kehabisan duit untuk membayar gaji pemain dan staf. Jika ini terjadi, ia akan memberi impak negatif pula.

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

%d bloggers like this: