Solat Sunat Tarawih Perbezaannnya Di Zaman Rasulullah Dan Zaman Khalifah Umar Al-Khattab

Malam tadi selepas solat sunat tarawih di Surau Alam Suria, ada tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Dr Shihabudin.

Antara yang menarik bagi saya di dalam ceramah alfadhil ustaz adalah tentang sejarah solat sunat tarawih itu sendiri.

Rupa-rupanya pada zaman nabi S.A.W solat ini dikenali sebagai Qiam Ramadhan. Ia mula dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabat di Masjid Nabawi. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aishah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah melakukan solat terawih di masjid untuk beberapa malam sahaja (ada yang mengatakan selama empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat.

Diriwayatkan selepas melakukan solat sunat tarawih pada malam pertama bersama-sama para sahabat, baginda melakukannya lagi pada malam yang kedua. Di malam ketiga, semakin ramai para sahabat yang turut serta untuk solat sunat tarawih bersama-sama nabi. Mereka ini menunggu-nunggu akan kedatangan Rasulullah untuk mengimami mereka. Namun tiada kelibat Rasulullah sehingga subuh menjelang. Baginda sebenarnya melakukan solat sunat sunat tarawih di rumah baginda pada malam itu. Keesokan harinya Baginda Rasul bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu”. Jika solat sunat tarawih ini difardhukan tentunya akan memberatkan ummat Islam.

Kerjaya Dari Rumah

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah yang ertinya:

“Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir. Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh. Kemudian kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah s.a.w. bersolat dengan kami.” Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku takut ia (solat sunat tarawih) diwajibkan ke atas kamu.”

Pada malam kelima dan seterusnya nabi tidak lagi menghadiri solat sunat tarawih di masjid. Baginda hanya melakukannya di rumah sahaja. Baginda bimbang para sahabat tersalah anggap dan menganggap solat sunat tarawih sebagai solat fardhu.

Di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah melakukan perubahan pada solat sunat tarawih ini. Nama asalnya Qiam Ramadhan telah ditukar kepada Tarawih. Bilangan rakaatnya juga telah diubah daripada 8 rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah kepada 20 rakaat dan diikuti dengan solat sunat witir 3 rakaat. Waktunya juga berlainan. Jika pada zaman Rasulullah dilakukan di tengah malam, di zaman Umar solat sunat Tarawih ini dilakukan selepas solat fardhu Isya’.

Perubahan yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab ini ada sebabnya. Pada zaman pemerintahan beliau semakin ramai umat Islam yang mula mengamalkan solat sunat tarawih ini. Kebanyakan daripada ummat Islam pada zaman ini telah kukuh pegangan agamanya.

Diceritakan oleh Abdul Rahman bin Ubaid Al-Qari, pada suatu malam di bulan Ramadhan beliau telah pergi ke masjid bersama-sama Umar Al-Khattab. Setibanya di masjid, beliau melihat ummat Islam melakukan solat sunat tarawih secara berkelompok-kelompok. Masing-masing bersolat sunat tarawih mengikut imam kelompok masing-masing.

Umar Al-Khattab melihat ketidakseragaman dalam melakukan solat sunat tarawih perlu diubah. Maka beliau telah mengumpulkan mereka dan menyuruh mereka bersolat dengan mengikut seorang imam yang dilantik yang paling baik bacaannya. Untuk ini beliau telah melantik Ubai bin Ka’ab sebagai imam dan orang ramai diseru supaya mengikut imam yang dilantik. Ini dapat menyatukan ummat Islam supaya melakukan solat sunat tarawih di dalam satu jamaah yang lebih besar dan bersatu di bawah satu pimpinan imam yang baik bacaannya.

Tindakan Umar Al-Khattab ini tidaklah disalah anggap bahawa solat ini wajib. Begitu juga dengan nama yang diubah dan bilangan rakaat yang ditambah. Ini adalah kerana di zaman ini ummat Islam sudah berilmu dan mengetahui yang mana wajib dan yang mana sunat.

Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah berkata tentang solat sunat tarawih secara berjamaah ini:

“Ini termasuk bid’ah yang baik; tetapi orang yang tidur mendapat pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.”

Maksud beliau ialah orang yang mengerjakan solat Tarawih pada akhir malam (setelah tidur lebih dahulu) seperti yang pernah dilakukan di zaman Rasulullah S.A.W. mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat Tarawih pada awal malam.

Bida’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah solat sunat tarawih ini sebenarnya sama sahaja seperti yang dilakukan oleh Rasulullah, cuma ia diubah sedikit untuk kebaikan dengan menghimpunkan orang ramai untuk berjamaah dengan diketuai oleh seorang imam yang baik bacaannya.

Wallahua’lam.

6 comments

  1. slamet sugiharto 26 June, 2013 at 13:14 Reply

    saya sangat suka dg info ilmu fiqih yang benar,karena saya ingin beribadah dengan kwalitas yg tinggi di sisi Allah dari tuntunan yg benar

  2. Aiman Mat Asin 7 July, 2013 at 15:23 Reply

    Ada tak kisah2 yg mengatakan sahabat2 Rasulullah buat tazkirah pendek selepas 4 rakaat terawih ataupun selepas 8 rakaat terawih?

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

You might be interested

%d bloggers like this: