Feb 22

Doa Untuk Keluarga Bahagia

Saya baru terbaca kisah pergolakan keluarga ini dari blog SweetKurma. Sedih la kalau berlaku macam tu pada family kita. Na’udzubillah.. Moga kita dan keluarga kita dihindarkan oleh Allah daripada kebejatan masalah sebegitu.

Lalu saya terpanggil untuk berkongsi satu doa yang selalu kita dengar, tapi saya tak pasti selalu ke tidak kita amalkan. Doa ini ialah doa untuk keluarga bahagia.

Berikut adalah doanya:

 Doa Untuk Keluarga Bahagia

Ayat 74 daripada surah Al-Furqan dipetik daripada www.tanzil.net

Untuk mendapatkan bacaan Al-Quran secara online, sila ke sini.

Doa untuk keluarga bahagia ini adalah juga ayat Al-Quran iaitu daripada Surah Al-Furqan ayat 74. Kelebihan membaca dan mengamalkan doa daripada ayat Al-Quran adalah kita akan mendapat pahala tambahan kerana yang kita baca itu adalah ayat Al-Quran yang pada setiap hurufnya akan diganjari dengan pahala.

Tambahan pula doa untuk keluarga bahagia ini disaran untuk kita membaca dan mengamalkannya. Berdasarkan awal ayat tersebut menyatakan Allah meredhai orang-orang yang berdoa dengan doa di atas.

Selain diamalkan untuk dikurniakan keluarga bahagia, doa ini juga diamalkan untuk meminta pertolongan daripada Allah supaya menjadikan kita ketua bagi orang-orang yang bertaqwa.

Kita meminta supaya kita dikelilingi (menjadi ketua) oleh orang-orang yang baik-baik ataupun bertaqwa. Supaya kita dipertemukan dengan kawan-kawan yang baik-baik, supaya kita dipertemukan dengan pelanggan perniagaan kita yang baik-baik dan tidak menyusahkan kita.

Jom jadikan doa ini sebagai amalan! Bacalah ia di mana-mana sahaja (kecuali di tempat-tempat yang tidak dibenarkan membacanya). Jangan nanti lepas solat sahaja. Di dalam kereta di dalam kesesakan lalulintas pun boleh baca dan hayati.

Moga kita dikurniakan keluarga yang mendamaikan jiwa dan kawan-kawan yang baik-baik. Ameen…

 

 

Jan 09

Saya Bukanlah Seorang Ustaz

qna ustaz Saya Bukanlah Seorang UstazSalam.

Pada entry yang INI yang lalu, saya ditanya oleh seorang pembaca blog sohoque.com tentang bagaimanakah cara dan doa supaya orang yang membenci kita suka kepada kita.

gambar orang dengki Saya Bukanlah Seorang Ustaz

Ini sedutan daripada soalannya:

assalamualaikum ustaz ….. saya tertekan dgn rakan sepejabat yg sangat bencikan saya… dia menulis dalam wall FB nya mengatakan saya sering tunjuk berlagak , mengampu boss dan sebagainya , ibarat setiap apa yang saya lakukan menyakiti pandangan mata dan hatinya , sedangkan saya tidak berniat apa-apa , saya hanya melakukan tugas harian saya di pejabat , dan beranggapan dia tidak ada di pejabat utk mengelak hati saya yang sakit kerana setiap percakapan pasti ada sindiran untuk saya , apa doa yang perlu saya baca untuk menyejukkan hati saya dan supaya dia lupa untuk memikirkan saya…

Errrmmm. Terima kasih kepada saudara/ri Hamba Allah kerana sudi terjah blog saya.

Sebelum saya mengulas lanjut, saya nak tegaskan di sini bahawa saya bukanlah seorang Ustaz. Panggilan tersebut amatlah tidak layak bagi saya yang masih belajar ini.

Adapun entri-entri tentang agama sebelum ini saya terbitkan hanya dengan niat untuk berkongsi. Jauh sekali untuk saya menunjukkan ilmu dan sebagainya. Objektif INI lah yang menjadi agenda saya.

Saya pernah dituduh berlagak alim dan sebagainya di dalam komen yang saya terima. Sehinggakan ada komen yang saya tidak terbitkan kerana ingin menjaga sensitiviti semua. Artikel INI yang banyak mendapat komen sebegitu sehinggakan trafik blog saya naik secara mendadak, tertinggi sejak saya menceburi bidang penulisan blog ini. Kalaulah dapat CPUV pada masa itu alangkah bahagianya.

Berbalik kepada persoalan Hamba Allah. Saya amat menghormati Hamba Allah kerana beliau masih lagi bersabar dan tidak melenting walaupun dilayan sebegitu rupa oleh rakan sepejabat.

Antara yang saya boleh nasihatkan ialah Hamba Allah perlu lebih banyak bersabar. Jangan dilayan mereka itu. Buat-buat tak tau saja. Lama kelamaan mungkin mereka akan diam dan berubah.

Jangan dibalas perbuatan mereka, malah jika ada kekuatan di dalam diri Hamba Allah, balas perbuatan mereka dengan kebaikan. Kesannya akan lebih dirasai.

Hamba Allah perlu ingat bahawa apa yang terjadi semuanya adalah ujian daripada Allah. Dia nak menguji kesabaran hambaNya yang terpilih. Jika hambaNya itu dapat bersabar, maka amat besar pahala bagi hambaNya itu.

Hamba Allah kena cari tempat untuk mengadu untuk meringankan beban perasaan. Dan tempat yang paling baik sekali mengadu adalah kepada Allah. Dia Maha Mendengar aduan hambaNya.

Bercakaplah dengan Allah. Adukan masalah kita. Di dalam solat (terutama ketika sujud, tapi awas jangan terkeluar suara nanti batal solat kita), di dalam doa, semasa bersendirian, semasa memandu dan sebagainya. Mengadulah dengan cara kita berdoa.

Berdoa ini bagus jika kita tahu doa yang diajar oleh para Nabi dan Rasul. Tetapi jika kita tidak tahu ataupun tidak menghafal maka berdoa dalam bahasa melayu sudah memadai. Allah Maha Memahami.

Selalulah solat hajat untuk meminta mereka berubah dan menerima kita.

Jangan lupa doakan juga supaya Allah bersihkan hati kita daripada kejahatan hati seperti dengki, ujub, takabbur dan sebagainya.

Untuk kekuatan diri, Hamba Allah boleh lah selalu bermunajat kepada Allah di malam yang hening. Dirikanlah solat malam (qiamullail).

Telah terbukti orang yang selalu melakukan qiamullail hatinya begitu tabah dan beroleh semangat yang kental. Lihat sahaja tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad Al-fateh. Mereka ini di malamnya menunaikan qiamullail, di siang harinya berperang. Dan mereka beroleh kemenangan yang diidam.

Akhir kata daripada saya, ( walaupun saya bukanlah seorang ustaz ), bersabarlah. Sesungguh Allah bersama orang yang sabar. Mudah-mudahan mereka sedar yang menerima semula Hamba Allah semula dengan hati yang lapang.

Nota:- boleh cari dalam internet tentang doa-doa pelembut hati, seperti artikel INI, ataupun INI dan banyak lagi.

 

Dec 07

Tips Murah Rezeki: Tunaikan Hajat Orang Lain

tolong menolong Tips Murah Rezeki: Tunaikan Hajat Orang Lain

Tunaikan hajat orang lain, inshaAllah Allah akan tunaikan hajat kita

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Episod tips murah rezeki saya teruskan lagi.

Untuk kita dikurniakan rezeki yang murah oleh Allah S.W.T dari punca yang tidak disangka-sangka, salah satu caranya ialah kita selalu menunaikan hajat orang lain. Di dalam hidup ini ramai orang yang berhajat tetapi tidak mampu memperolehi hajat mereka kerana kekangan kewangan, masa dan sebagainya. Di sinilah adanya kita sebagai insan yang membantu mereka mencapai hajat mereka.

Tunaikan hajat orang lain ini amat digalakkan di dalam Islam sehinggakan nabi S.A.W bersabda di dalam hadithnya yang bermaksud:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Riwayat Muslim)

Demikian Islam mengajar penganutnya supaya tunaikan hajat orang lain untuk memudahkan kehidupan sesama insan. Mereka yang memerlukan berdoa supaya hajat mereka ditunaikan. Dan allah mengabulkan doa mereka dengan menggerakkan hati kita untuk menghulurkan bantuan.

Sebagai ganjaran dengan sebab kita tunaikan hajat orang lain tadi, Allah menunaikan juga hajat kita. Ini akan disokong pula dengan kekuatan doa orang yang ditolong tadi kepada kita kerana membantunya.

Pertolongan dari Allah akan datang dari pelbagai punca. Mungkin ada orang lain pula yang akan menolong kita, ataupun daripada perkara yang tidak terfikir oleh kita.

Ayuh saudaraku. Kita amalkan sikap menolong saudara kita dengan tunaikan hajat mereka. Moga hajat kita tertunai sama.

Nov 29

Tips Murah Rezeki: Berbuat Baik Dan Mendoakan Kepada Ibubapa

doa untuk ibubapa Tips Murah Rezeki: Berbuat Baik Dan Mendoakan Kepada Ibubapa

Antara amalan yang boleh membuatkan Allah membuka pintu rezeki kita seluas-luasnya ialah berbuat baik dan mendoakan kepada ibubapa. Suruhan berbakti serta berbuat baik dan mendoakan kepada ibubapa ini dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran:

17:23: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya ataupun kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah kamu berkata kepada mereka  (sebarang perkataan yang kasar) sekalipun perkataan “Ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)

17:24: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil

Allah dengan jelas menyuruh kita berbuat baik dan mendoakan kepada ibubapa. Apabila sesuatu suruhan itu ditaati maka pahala adalah imbuhannya. Jika ianya dibelakangi dosa pasti akan ditulis.

Malah bukan sahaja pahala yang merupakan bekal kita ke akhirat akan dicatit jika berbuat baik kepada ibubapa ini. Imbuhan dunia juga akan diberi.

Ini telah disebut di dalam beberapa buah hadith Rasulullah S.A.W:

  1. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
  2. “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
    (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
  3. “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.”
    (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

Memang benar! Saya telah melihat beberapa contoh kawan-kawan sekerja saya yang dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda. Mereka memperolehi pendapatan melebihi RM40K setiap bulan sebagai Unit Trust Consultant. Di samping usaha keras mereka dan sistem agensi mereka yang mantap, ada satu lagi faktor yang saya perhatikan. Kebanyakan mereka ini menjaga ibubapa mereka di rumah mereka. Ibubapa mereka yang telah berusia mereka jemput dan tinggal bersama mereka. Dan mereka memberikan sebahagian daripada pendapatan mereka kepada ibubapa mereka. Ini diceritakan sendiri kepada saya. Subhanallah! Allah tidak akan sesekali memungkiri janjiNya yang telah dinyatakan melalui Al-Quran dan Hadith nabiNya.

Memang betul. Faktor ini amat jelas sekali. Kerana jika dilihatkan kepada beberapa kekurangan (dari segi pemahaman agama) ada diantara mereka kurang kemas pegangannya terutama tentang menutup aurat. Namun disebabkan keikhlasan mereka berbuat baik dan mendoakan kepada ibubapa, rezeki mereka berlipat kali ganda.

Maka beruntunglah kepada sesiapa yang masih lagi ada ibubapa. Sentiasalah memohon maaf kepada mereka walaupun sekecil-kecil kesalahan yang kita buat. Peluklah dan ciumlah tangan mereka. Selalulah minta restu mereka. Selalulah bergurau senda untuk mengembirakan mereka. Sentiasalah berdoa untuk mereka. Mintalah mereka mendoakan supaya cita-cita dimaqbulkan. Beritahu mereka apa yang kita mahukan dalam hidup yang selalu kita doakan. Minta ibubapa kita mendoakan perkara yang sama untuk kita. In syaa Allah… Doa ibubapa yang redha akan anaknya akan dikaqbulkan Allah.

Kepada yang sudah ketiadaan ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali, selalulah sedeqahkan ayat-ayat suci Al-Quran. Amalkan setiap pagi selepas bangun dari tidur ataupun selepas solat subuh bacakan Al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada mereka di alam barzakh. In syaa Allah, ini pun akan dipandang Allah juga untuk dilimpahi rezeki kita.

Jom kita amalkan. Jom kita berbuat baik dan mendoakan kepada ibubapa. Semoga hidup kita diberkati Allah dunia dan akhirat. Ameen.

 

note:

saya sudah tiada ibu dan bapa. Al-Fatihah. Moga roh mereka ditempatkan dikalangan ahli syurga. Ameen.

Nov 28

Petua Supaya Malaikat Doakan Kita

gambar orang berdoa Petua Supaya Malaikat Doakan Kita

Doakan sahabat kita tanpa pengetahuannya, Malaikat akan doakan kita pula


Malaikat adalah hamba Allah yang wajib kita percaya. Kepercayaan kepada Malaikat terkandung di dalam rukun iman. Kita juga wajib mengetahui nama-nama Malaikat yang wajib diketahui serta tugasannya. Antaranya:

  1. Jibril – menyampaikan wahyu
  2. Mikail – mencatat pembahagian rezeki dan menurunkan hujan
  3. Izrail – mencabut nyawa
  4. Israfil – meniupkan trompet sangkakala
  5. Munkar dan Nakir – soal manusia dalam kubur
  6. Raqib dan ‘Atid – catat amal baik dan amal buruk
  7. Malik Zabaniah – ketua malaikat yang menguruskan neraka
  8. Ridhwan – ketua para malaikat yang menjaga syurga

Malaikat ini makhluk yang dicipta oleh Allah daripada cahaya. Mereka ini suci daripada dosa. Sepanjang hayatnya, mereka hanyalah patuh dan beribadat kepada Allah sahaja. Tingkatan imannya mendatar dan tidak sperti manusia yang ada turun naiknya. (klik pada link ini untuk kisah malaikat yang lebih terperinci)

Malaikat ini makhluk mulia. Mereka tidak mempunyai nafsu seperti manusia. Jadi doanya jika dikira diatas dasar suci dari dosa dan dekatnya dengan Allah, akan lebih mudah diperkenankan Allah.

Jadi sebagai sokongan kepada doa kita supaya lebih dipandang Allah, adalah baiknya juga jika malaikat doakan kita. Sebenarnya malaikat juga turut mendoakan orang-orang yang soleh.

Macamana kita harus buat/amalkan untuk membuatkan supaya malaikat doakan Kita. Ada beberapa keadaan malaikat turut sama mendoakan kita. Diantara yang disebut didalam hadith ini:

Ummu ad-Darda’ telah berkata dari Abu Darda’, Nabi saw bersabda:
“Doa seorang muslim kepada saudara seIslamnya  semasa ketiadaanya adalah mustajab. Terdapat malaikat yang mendampinginya. Setiap kali dia mendoakan saudaranya dengan kebaikan maka malaikat tersebut akan berkata: amin, dan bagi kamu sepertinya.”
(HR Muslim)


Hadith ini menyarankan kita mendoakan kebaikan sahabat kita dengan ikhlas. Namun doa kita tadi biarlah diluar pengetahuannya. Kerana yang demikian itu menandakan tahap keikhlasan dan kasih sayang kepada sahabat yang tinggi. Dan dinyatakan juga bahawa doa demikian adalah amat mustajab yakni lebih tinggi tahap pemaqbulannya.

Sewaktu kita mendoakan kebaikan sahabat kita tadi, sebenarnya ada malaikat yang mendampingi kita dan meng”amin”kan doa kita tadi. Dan malaikat ini turut mendoakan supaya apa yang kita doakan kepada sahabat kita tadi turut kita perolehi.

Inilah yang saya maksudkan dengan keadaan ataupun situasi dimana malaikat doakan kita!

 

note:

Lepas baca ni, pembaca jangan lupa doakan supaya saya jadi orang kaya yang pemurah ya.. Ameen

Nov 21

Kenapa Aku Belum Berjaya Seperti Yang Aku Impikan

tafsir surah al mukminun Kenapa Aku Belum Berjaya Seperti Yang Aku Impikan

Dua tiga hari yang lepas, masa tu lepas solat Isyak kalau tak silap, aku termenung seketika. Terfikir kenapa aku belum berjaya seperti yang aku impikan. Kenapa ada kejayaan yang aku dambakan belum datang.

Bukan aku tak bersyukur dan aku tak nafikan telah banyak yang aku minta dan aku doa telah Allah makbulkan. Dan aku juga sedar perkara-perkara yang aku minta yang belum aku dapat itu bukan Allah tidak kabulkan tetapi Dia tangguhkan untuk menguji aku dan untuk aku lebih mengingatiNya. Dan aku juga faham bahawa apa yang aku minta itu sebenarnya ada yang telah diperkenankan tetapi di dalam bentuk kenikmatan yang lain seperti terselamat dari bala bencana dan sebagainya yang mana itu adalah lebih utama bagiku. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dan maha bijaksana.

Subhanallah walhamdulillah. Namun akal manusia kadang-kedang terfikir juga. Bukan mempersoalkan tapi hanya untuk muhasabah diri demi mencari dimana kekurangan dalam usaha, tawakkal dan doa yang telah diamalkan.

Selepas itu terdetik hati kecil ini untuk membaca Al-Quranul Kareem yang sudah beberapa hari aku tinggalkan dek kerana kesibukan duniawi. Aku lantas membuka secara rambang surah yang hendak dibaca. Subhanallah. Allahuakbar! Surah yang tertera bila aku membuka Al-Quran yang aku beli di Makkah sewaktu mengerjakan umrah dahulu adalah Surah Al-Mukminun. Terkesima aku seketika.

Allah telah berikan jawapan dengan segera apa yang berlegar di fikiranku tadi tentang kenapa aku belum berjaya. Aku hanya sempat membaca sedikit sahaja daripada Surah Al Mukminun tersebut kerana ingin segera mencari makna ayat-ayat yang sudah aku ingat-ingat lupa itu.

Makna ayat 1 – 11 Surah Al Mukminun:

[1]Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta );
[5]Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6]Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7]Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10]Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
[11]Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
(AL MUKMINUN Surah 23: 1-11)

Itulah jawapannya kepada persoalan kenapa aku belum berjaya yang berlegar di benakku tadi. Sebenarnya Allah sudah berjanji akan memberikan kejayaan kepada orang yang “beriman”. Dan Allah adalah suci daripada memungkiri janji.

Aku tidak mahu memberikan tafsir yang panjang kepada ayat-ayat ini kerana ilmu yang sejengkal cuma.Cuma apa yang aku faham di sini ialah takrif orang yang “beriman” yang Allah janjikan kejayaan itu ialah orang yang khusyuk dalam solatnya. Mereka yang menjaga solatnya. Aspek ini aku terkadang tewas. Adakalanya solat tidak di awal waktu. Adakalanya solat dengan kurang khusyuk kerana mengejar hal-hal keduniaan.

Sifat orang “beriman” juga ialah orang yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Aku juga selalu terbabas dengan perkara dan percakapan yang lagha. Sementelah lagi kerja aku yang memang kena bercakap banyak dengan orang. Kadang-kadang lepak di kedai kopi dan berbual kosong.

Orang beriman juga membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat, menjaga kehormatan, dan yang menunaikan amanah dan janji. Adakah aku jaga perkara itu semua.

Jika kita memelihara itu semua, bukan sahaja kejayaan di dunia, malah Allah juga akan mengurniakan Syurga Firdaus di akhirat kelak. Itulah Al-Falah, sasaran bagi setiap orang yang beriman.

Allahuakbar. Tiba-tiba terasa hina diri ini. Hendakkan kejayaan dari Allah tetapi syaratNya tidak sempurna diikuti.

Sep 29

Al-Fatihah, Cukupkah Jika Hanya Ditaip Sahaja?

status mati Al Fatihah, Cukupkah Jika Hanya Ditaip Sahaja?

Gambar hiasan. Tidak berkaitan dengan yang masih hidup maupun yang telah meninggal dunia

Kita biasa menerima status di Facebook kita apabila ada sanak saudara, kenalan ataupun sahabat-sahabat kita ada yang meninggal dunia. Kebiasannya kita akan mengesyorkan bacaan Ummul Kitab Al-Fatihah untuk ditujukan kepada simati.

Kita digalakkan membaca Al-Fatihah dan menghadiahkan kepada si mati agar si mati mendapat pahala sedeqah kita tadi. Ini mungkin akan dapat meringankan bebannya di dalam kubur.

Jika kita melihat makna Al-Fatihah itu sendiri adalah satu doa yang amat menyeluruh. Amat besar FAdhilatnya membaca surah ini. Jika tidak masakan tidak ia dinamakan Ummul Kitab (Ibu Al-Quran). Surah Al-Fatihah juga dijadikan bacaan wajib dalam solat baik solat wajib maupun solat sunat. Tanpa bacaan A-Fatihah solat tidak sah.

Amalan ini iaitu menghebahkan kematian di dalam facebook dan menghadiahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada si mati saya lihat adalah satu amalan yang amat baik sekali. setidak-tidaknya ramai yang boleh membacakan Al-Fatihah kepada si mati tadi. Orang yang membacanya juga mendapat pahala, dan si mati juga mendapat pahala yang di sedeqahkan.

Namun persoalan saya di sini, adakah tulisan/taipan al-Fatihah di Facebook itu hanya ditulis sahaja ataupun ditulis dan dibaca samada dengan bersuara maupun di dalam hati sahaja.

Jika hanya tulisan/taipan sahaja saya rasa pahala itu tidak sampai kepada si mati. Si penulis juga tidak mendapat pahala saya rasa. Sebab tiada belaku apa-apa bacaan. Pahala baca Quran iaitu “1 huruf 10 kebaikan” pun tidak dapat.

Jadi, untuk ingatan kepada saya dan sahabat-sahabat pembaca semua, jika menaip perkataan Al-Fatihah itu, sebaiknya berteleku sejenak sambil membaca Al-Fatihah. Harapan kita, kita berdoa semoga pahala bacaan itu akan sampai kepada si mati dan doakan juga kepada Allah, apabila kita meninggal dunia nanti agar orang ramai akan mendoakan kebaikan untuk kita juga.

Wallahualam.

Sep 19

Waktu-Waktu Mustajab Doa

gambar orang sedang berdoa Waktu Waktu Mustajab Doa Berdoa amat digalakkan dalam Islam. Allah berfirman dalam surah Al Ghafir, ayat 60:

Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenan doa permohonan kamu.”

Doa adalah ibadat yang boleh mengeratkan lagi hubungan kita dengan Pencipta kita.Ia juga tanda penyerahan kita kepada Pencipta.

Berdoa juga ada adab-adabnya yang tertentu dan waktu-waktu mustajab doa. Berikut adalah waktu-waktu mustajab doa yang amat digalakkan kita melakukannya yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadith:

1. Sewaktu hujan turun

Hadith nabi:

“Berdo’alah pada waktu mustajab do’a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun”

(Hadis Riwayat Abu Daud).

2. Ketika hendak bersolat

  • berdasarkan hadith daripada Abu Daud di atas

3. Sesudah selesai membaca al-Fatihah dalam solat

  • doa di dalam hati sahaja.Jika tidak akan membatalkan solat.

4. Selepas mengucapkan “Aamiin” apabila membaca surah Al-Fatihah

“Apabila imam mengatakan ‘Amin’, maka ucapkanlah ‘Amin’. Sesiapa yang mengucapkan ‘Amin’ bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Di tengah keheningan malam terutama di sepertiga malam

“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Waktu di antara azan dan iqamah.

Hadith:

“Tidaklah ditolak do’a di antara azan dan iqamah.”

(Hadis Riwayat Tirmizi).

7. Waktu sujud di dalam solat

Hadith:

“Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdo’a.”

(Hadis Riwayat Muslim).

8. Sesudah selesai solat fardhu

Hadith:

“Ditanya kepada Rasulullah s.a.w., ‘Do’a manakah yang didengar (Allah)’ Sabda baginda, “Do’a itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu.”

(Hadis Riwayat Tirmizi).

9. Sewaktu bermusafir

Hadith:

“Tiga bentuk do’a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; do’a orang yang teraniaya, do’a orang yang bermusafir dan do’a ibu bapa terhadap anaknya.”

(Hadis Riwayat Abu Daud).

 

10. Ketika melaksanakan ibadah Haji dan umrah dan juga sewaktu berjihad

Hadith:

“Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdo’a kepada Allah lalu Allah terimanya.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

 

11. Pada 9 Zulhijjah (Hari ‘Arafah)

Hadith:

“sebaik-baik do’a adalah pada hari ‘Arafah, dan sebaik-baik do’a yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : ‘Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’.

(Hadis Riwayat Tirmizi)

 

12. Sepanjang waktu berpuasa.

Hadith:

“Tiga bentuk do’a yang dimustajabkan Allah; do’a ibu bapa terhadap anak, do’a orang yang berpuasa dan do’a orang yang bermusafir.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

 

13. Malam Lailatul Qadar

 

14.  Sepanjang Hari Jumaat.

Hadith:

“Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya”.

(Hadis Riwayat Bukhari).

15. Doa ketika berperang kerana Allah

Hadith:

“Dua jenis do’a yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; do’a sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

 

16. Ketika Khatam 30 Juzuk Al-Quran

17. Sewaktu iman kita sedang meningkat naik kerana mentaati Allah

Hadith:

“…dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Kuberikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Kulindungi.”

 

18. Waktu diuji dengan ujian

Firman Allah:

“Atau siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita apabila ia berdo’a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati  nikmat Allah itu

(Surah al-Naml ayat 62)

19. Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.

Hadith:

Ummu Salamah r.ha. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

20. Selepas saat kematian seseorang

Hadith:

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, “Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata.” lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Janganlah kalian berdo’a untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendo’akan untuk kalian.” Baginda kemudiannya mendo’akan untuk Abu Salamah r.a”.

21. Ketika mendengar ayam berkokok

Hadith:

“Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

22. Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir.

Di samping itu juga jika kita masih lagi mempunyai ibu, suruhlah ibu selalu mendoakan kita mengikut apa hajat kita.

Mengikut Haji Fadhilah Kamsah, sedeqahkan Al-Fatihah kepada ibu pada setiap hari tidak kira ibu masih bernyawa ataupun sudah meninggal dunia.

Semoga artikel waktu-waktu mustajab doa ini dapat memberi gambaran kepada pembaca bilakah masa yang amat sesuai untuk berdoa. Ayuh…! Marilah kita memperbanyakkan doa di waktu-waktu mustajab doa seperti yang disenaraikan di atas.

Wallahua’lam.

Sumber:
101 Do’a daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed
Aug 29

Petua Supaya Orang Yang Degil Lembut Hati

gambar anak yang degil Petua Supaya Orang Yang Degil Lembut Hati

Kadang-kadang kita buntu bila menghadapi situasi di mana anak-anak tidak mahu mendengar nasihat yang baik dari kita. Puas di tegur tetapi tidak diendah dan diikut.

Lebih teruk bila pasangan suami atau isteri sendiri yang degil dan tidak mahu mendengar nasihat.

Kadang-kadang pelbagai usaha yang telah dibuat namun mereka yang degil ini tidak juga menunjukkan sikap ingin berubah. Mereka tidak juga lembut hati.

Macamana caranya untuk membuatkan mereka ini lembut hati?

Di saat begini hanya pada Allah lah yang harus kita berserah. Antara doa-doa untuk membuatkan anak ataupun pasangan yang degil lembut hati ialah dengan membaca ayat ini:

petua degil 300x121 Petua Supaya Orang Yang Degil Lembut Hati

Caranya ialah baca dan hembuskan di ubun anak semasa mereka tidur. Manakala untuk pasangan (suami atau isteri) baca dan hembuskan di tengkuk ketika mereka sedang tidur. Sambil hembus, niatkan dan doa dalam hati semoga Allah jadikan mereka yang degil dan tidak mahu menerima nasihat yang baik ini lembut hati mereka.

Yang paling penting ialah istiqamah dan jangan berputus asa dalam berdoa. Semoga doa kita dimakbulkan Allah

Aug 07

Lailatul Qadar: Tips Untuk 10 Malam Terakhir Ramadhan

lailatulqadar1 Lailatul Qadar: Tips Untuk 10 Malam Terakhir RamadhanRamadhan sudah beransur pergi. Hari ini hari yang ke 18 Ramadhan tahun ini. Allahuakbar! Cepatnya masa berlalu.

Dua hari lagi akan masuk lah kita di fasa terakhir Ramadhan iaitu fasa terpenting. 10 hari terakhir inilah yang terkandung malam yang berkat, malam “Lailatul Qadar”. Padanya diturunkan Al-Quran daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah, Langit Dunia.

Ada banyak hadith yang menyuruh untuk kita mencari malam Lailatul Qadar ini di dalam sepuluh malam-malam yang terakhir di bulan Ramadhan, antaranya:

Hadith nabi:

Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”
(al-Bukhari)

Daripada Aishah r.a telah berkata: “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)

Malam tadi saya mendengar tazkirah selepas solat terakwih yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias. Antara yang menarik perhatian saya ialah tips yang dikongsi daripada ulama besar Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :

”Barangsiapa yang bersolat Isya’ berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami’ Saghir – 6341).

Jadi menurut Ustaz Mohd Ramadhan, pastikan bahawa kita menjaga kedua-dua perkara tersebut di 10 malam terakhir Ramadhan ini. Itu adalah antara syarat yang paling utama.

Jika kita mampu bersolat dan berqiam sepanjang malam, alhamdulillah. Lakukanlah!. Namun bagi yang bukan ahli qiam seperti saya ini mungkin ia tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya. Jadi orang yang sebegini, pastikan jangan tinggalkan solat isyak dan solat subuh berjemaah. Kerana mengikut hadith nabi di atas, jika kita melakukan kedua-dua solat tersebut secara berjemaah, ia seolah-olah melakukan solat di sepanjang malam. Bayangkan kita buat seperti yang disarankan pada malam Lailatul Qadar, ia seolah-olah kita melakukan solat sepanjang malam selama lebih daripada 83 tahun. Allahuakbar! Besarnya rahmat Allah kepada kita! Sayangnya Allah pada hambanya.

Ayuh, rakan-rakan…! Kita sematkan azam dan kuatkan semangat untuk berusaha supaya tidak meninggalkan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Itu adalah syarat paling rendah untuk menghadapi Malam Al-Qadar. Jika dapat melakukan ibadat yang lebih lagi alhamdulillah. Lagi besar ganjaran yang akan diperolehi.

Wallahua’lam

Jul 09

Doa Bila Jumpa Hantu

doa bila jumpa hantu Doa Bila Jumpa Hantu

Siapakah yang pernah dipilih oleh hantu untuk bersemuka face to face. Atau dengan ertikata yang lebih mudah, siapakah yang pernah terjumpa hantu?

Aku pernah sekali kena “tindih” dek hantu. Masa tu aku baru berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak. Masa tu dalam tahun 1996. UIA kampus Gombak baru jer siap pembinaan fasa pertama. Aku yang belajar di Fakulti Economic And Management, Business Administration pada masa itu adalah batch kedua yang kena pindah daripada kampus asal di Petaling Jaya. Batch pertama adalah bebudak Engineering.

Masih aku ingat pada masa tu Sungai Pusu (tempat terletaknya UIA kampus Gombak) masih lagi suci. Belum dicemari. Buktinya kalau di pagi hari, masih terdapat kabus yang agak tebal di jalanan sewaktu aku nak ke kelas. Malam pulak sememangnya sejuk.

Bilik aku di UIA tu dibahagikan kepada 4 bahagian. Bermakna 4 orang sebilik. Di tengah-tengah adalah ruang tamu. Juga dijadikan tempat makan dan tempat tengok tv.

Pada suatu malam, aku di partition aku tertidur kepenatan. Masa tu lepas isyak. Tiba-tiba aku terasa sesak dan susah bernafas. Terasa badan macam kejang dan tak boleh bergerak. Dalam keadaan antara sedar dan tidak itu aku membuka mata. Lalu aku terpandang sekujur tubuh yang kurus kering, sedang bertenggek di atas jendela bilik aku itu. Kepala dan wajahnya yang berbentuk bujur yang berada diantara kedua-dua lutut itu merenung tajam ke arahku. Rambutnya panjang dan kerinting mengurai ke bahu.

Aku dengan keadaan berpeluh akibat meronta-ronta untuk lepaskan diri, cuba melaungkan azan. Tapi memang suara aku tak keluar. Aku rasa aku dah berteriak dengan kuat tapi tidak kedengaran menurut kawan-kawan aku yang sedang menonton tv di ruang tamu. Setelah mencuba azan dan membaca ayat-ayat quran beberapa kali aku dapat rasakan yang “tindihan” semakin ringan dan longgar dan akhirnya terlerai. Lantas aku dengan pantas bangun dan mendapatkan kawan-kawan diluar.

Yang bestnya mereka hairan melihat aku yang berpeluh-peluh. Bila ditanya adakah mereka mendengar jeritan azan aku tadi, mereka dengan selamba menjawab: “tidak!”. Hahahaha. pelik bukan?

So kejadian tu memang aku ingat sampai sekarang. Bila aku fikir, ada 2 kemungkinan:

Pertama: Aku memang ditindih hantu.

Kedua: Aku mungkin berkhayal atau bermimpi memandangkan aku pada masa tu diantara sedar dan tidak.

Wallahua’lam. Aku sendiri pun tak boleh bagi jawapan yang tepat.

Oh ya.. Kat atas tu aku ada sertakan bacaan kalau terserempak dengan hantu. Dikongsi dari facebook Ustaz Azhar Idrus. Selain dari doa tu, eloklah ditambah lagi dengan 3 Qul dan ayat Kursi.

Ayat-ayat Quran ni kita kena selalu amalkan. Setakat bila berjumpa hantu baru nak baca, entah keluar atau tidak nanti ayat-ayat tu dari mulut kita.

Itulah bezanya jika kita membaca ayat Quran depan hantu dan Pengamal perubatan seperti Dato Harun Din baca depan hantu. Kita kalau baca hantu silap-silap haribulan sengih jer. Almaklum la hari tu baru baca ayat tu. Tapi kalau diorang yang ayat-ayat tu selalu meniti dibibir diorang setiap hari tu baca, hantu akan ketakutan terus..

Renung-renungkan dan selamat beramal.

Jun 25

Passive “Income” Sehingga Selepas Mati

Untuk mempercepatkan kita mencapai status financial freedom, ataupun kebebasan kewangan dimana kita tidak perlu lagi berkerja seperti orang kebanyakkan iaitu kerja daripada pukul 9 pagi sehingga 5 petang, kita perlu mencari passive income.

Apakah yang dimaksudkan dengan passive income? Ia adalah income yang berterusan kita dapat hanya dengan melakukan sekali kerja sahaja. Lebih cepat dan banyak passive income, lebih cepat kita mencapai kebebasan masa dan kewangan.

Keadaan yang sama berlaku dalam melakukan kebaikan. Ada beberapa perkara yang kita dapat pahala secara berterusan apabila kita melakukan beberapa kebaikan seperti yang dinyatakan di dalam hadith nabi yang diriwayatkan oleh Anas:

8 pahala berterusan 1 Passive Income Sehingga Selepas Mati

Pahala ini akan kita dapat secara berterusan walaupun kita sudah meninggal dunia. Pahala-pahala inilah yang akan menyejukkan kubur kita nanti.

Ada satu lagi hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah berkenaan pahala yang masih lagi kita dapat walaupun kita sudah mati.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda: Apabila mati anak Adam, putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.

 

Marilah kita ikhlaskan hati kita dalam membuat perkara kebaikan. Berbuatlah amal jariah sebagai passive income/pahala kita untuk kita berehat di alam barzakh kelak. InsyaAllah, amiin.