Aug 13

Solat Sunat Tarawih Perbezaannnya Di Zaman Rasulullah Dan Zaman Khalifah Umar Al-Khattab

tarawih di masjidil haram 300x240 Solat Sunat Tarawih Perbezaannnya Di Zaman Rasulullah Dan Zaman Khalifah Umar Al KhattabMalam tadi selepas solat sunat tarawih di Surau Alam Suria, ada tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Dr Shihabudin.

Antara yang menarik bagi saya di dalam ceramah alfadhil ustaz adalah tentang sejarah solat sunat tarawih itu sendiri.

Rupa-rupanya pada zaman nabi S.A.W solat ini dikenali sebagai Qiam Ramadhan. Ia mula dilakukan oleh Rasulullah bersama para sahabat di Masjid Nabawi. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aishah r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah melakukan solat terawih di masjid untuk beberapa malam sahaja (ada yang mengatakan selama empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat.

Diriwayatkan selepas melakukan solat sunat tarawih pada malam pertama bersama-sama para sahabat, baginda melakukannya lagi pada malam yang kedua. Di malam ketiga, semakin ramai para sahabat yang turut serta untuk solat sunat tarawih bersama-sama nabi. Mereka ini menunggu-nunggu akan kedatangan Rasulullah untuk mengimami mereka. Namun tiada kelibat Rasulullah sehingga subuh menjelang. Baginda sebenarnya melakukan solat sunat sunat tarawih di rumah baginda pada malam itu. Keesokan harinya Baginda Rasul bersabda kepada mereka: “Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu”. Jika solat sunat tarawih ini difardhukan tentunya akan memberatkan ummat Islam.

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah yang ertinya:

“Rasulullah s.a.w. telah bersolat dengan kami di bulan Ramadhan lapan rakaat dan witir. Maka pada malam berikutnya kami telah berkumpul di masjid, dan kami mengharapkan baginda keluar tetapi baginda tidak turun di masjid sehinggalah waktu Subuh. Kemudian kami masuk menemuinya dan kami berhimpun di masjid dan mengharapkan Rasulullah s.a.w. bersolat dengan kami.” Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya aku takut ia (solat sunat tarawih) diwajibkan ke atas kamu.”

Pada malam kelima dan seterusnya nabi tidak lagi menghadiri solat sunat tarawih di masjid. Baginda hanya melakukannya di rumah sahaja. Baginda bimbang para sahabat tersalah anggap dan menganggap solat sunat tarawih sebagai solat fardhu.

Di zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah melakukan perubahan pada solat sunat tarawih ini. Nama asalnya Qiam Ramadhan telah ditukar kepada Tarawih. Bilangan rakaatnya juga telah diubah daripada 8 rakaat yang dilakukan oleh Rasulullah kepada 20 rakaat dan diikuti dengan solat sunat witir 3 rakaat. Waktunya juga berlainan. Jika pada zaman Rasulullah dilakukan di tengah malam, di zaman Umar solat sunat Tarawih ini dilakukan selepas solat fardhu Isya’.

Perubahan yang dilakukan oleh Umar Al-Khattab ini ada sebabnya. Pada zaman pemerintahan beliau semakin ramai umat Islam yang mula mengamalkan solat sunat tarawih ini. Kebanyakan daripada ummat Islam pada zaman ini telah kukuh pegangan agamanya.

Diceritakan oleh Abdul Rahman bin Ubaid Al-Qari, pada suatu malam di bulan Ramadhan beliau telah pergi ke masjid bersama-sama Umar Al-Khattab. Setibanya di masjid, beliau melihat ummat Islam melakukan solat sunat tarawih secara berkelompok-kelompok. Masing-masing bersolat sunat tarawih mengikut imam kelompok masing-masing.

Umar Al-Khattab melihat ketidakseragaman dalam melakukan solat sunat tarawih perlu diubah. Maka beliau telah mengumpulkan mereka dan menyuruh mereka bersolat dengan mengikut seorang imam yang dilantik yang paling baik bacaannya. Untuk ini beliau telah melantik Ubai bin Ka’ab sebagai imam dan orang ramai diseru supaya mengikut imam yang dilantik. Ini dapat menyatukan ummat Islam supaya melakukan solat sunat tarawih di dalam satu jamaah yang lebih besar dan bersatu di bawah satu pimpinan imam yang baik bacaannya.

Tindakan Umar Al-Khattab ini tidaklah disalah anggap bahawa solat ini wajib. Begitu juga dengan nama yang diubah dan bilangan rakaat yang ditambah. Ini adalah kerana di zaman ini ummat Islam sudah berilmu dan mengetahui yang mana wajib dan yang mana sunat.

Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah berkata tentang solat sunat tarawih secara berjamaah ini:

“Ini termasuk bid’ah yang baik; tetapi orang yang tidur mendapat pahala lebih besar daripada mereka yang beramai-ramai bersolat tarawih itu.”

Maksud beliau ialah orang yang mengerjakan solat Tarawih pada akhir malam (setelah tidur lebih dahulu) seperti yang pernah dilakukan di zaman Rasulullah S.A.W. mendapat pahala yang lebih besar daripada yang solat Tarawih pada awal malam.

Bida’ah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar ialah solat sunat tarawih ini sebenarnya sama sahaja seperti yang dilakukan oleh Rasulullah, cuma ia diubah sedikit untuk kebaikan dengan menghimpunkan orang ramai untuk berjamaah dengan diketuai oleh seorang imam yang baik bacaannya.

Wallahua’lam.

Aug 10

Ramadhan: 2 Pilihan Baca Al-Quran

tadarus alquran Ramadhan: 2 Pilihan Baca Al QuranAntara intipati tazkirah Nuzul Quran oleh Ustaz Mohd Ramadhan yang disampaikan di Surau Sunway Alam Suria baru-baru ini ialah dilema antara 2 pilihan pembacaan Quran di bulan Ramadhan.

Ada orang apabila masuk sahaja bulan Ramadhan, dia akan berusaha bersungguh-sungguh membaca Al-Quran.Sasarannya ialah untuk khatam Al-Quran pada bulan Ramadhan. Ini bermakna setiap hari dia akan berusaha menghabiskan satu juzuk daripada Al-Quran.

Ada orang yang lain, apabila masuknya bulan Ramadhan dia akan membanyakkan membaca Al-Quran sambil meneliti tafsirnya. Cara ini akan menjadikan dia lambat untuk khatam Al-Quran. Dan mungkin tidak sempat untuk khatam satu Al-Quran dalam bulan Ramadhan tu.

Ustaz Mohd Ramadhan ada bertanya, yang sebenarnya antara pilihan diatas (membaca Al-Quran tanpa tafsir dan membaca Al-Quran dengan tafsir) yang mana lebih utama?

Ustaz Mohd Ramadhan memberi satu perumpamaan orang yang membaca Al-Quran tanpa mengetahui maknanya seperti dua orang yang bercinta. Yang lelaki dari Malaysia dan yang perempuan dari Perancis. Yang lelaki tak tau berbahasa Perancis dan yang perempuan tak tau berbahasa Melayu. Walaubagaimanapun disebabkan rasa cinta, kedua-duanya saling sering mengutuskan surat menyatakan rasa cinta. Namun apabila dibaca kedua-duanya tidak faham apa yang ditulis. Mereka ada rasa cinta antara masing-masing tapi hanya rasa cinta tetapi tidak faham dalam erti kata sebenar. Dengan erti kata lain sungguh payah keadaannya perhubungan cinta ini. Begitulah keadaannya dengan orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak memahami isi kandungannya.

Jadi jika kita berbalik kepada objektif mengapa Al-Quran diturunkan iaitu untuk menjadi panduan hidup dan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam maka opsyen yang kedua iaitu membaca sambil memahami tafsir itu lebih utama. Jadi menurut Ustaz Mohd Ramadhan, jika diberi pilihan diatas, pilihlah pilihan kedua.

Membaca dan mengkhatamkan Al-Quran tanpa membaca makna juga satu amalan yang baik. Ia juga sangat hampir kepada sunnah nabi. Tetapi jika berbalik kepada tujuan utama Al-Quran diturunkan maka opsyen kedua lebih afdhal walaupun mungkin kita tidak akan berjaya menghabiskan satu Al-Quran dalam masa sebulan bulan Ramadhan.

Ini kerana menurut Ustaz Mohd Ramadhan, kita tidak mau menjadi orang yang “sambilewa dengan Al-Quran”. Siapakah orang yang sambilewa dengan Al-Quran ini? Menurut Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah, orang yang sambilewa dengan Al-Quran ini ialah:

  1. Orang yang membaca Al-Quran tetapi tidak memahami maknanya
  2. Orang baca Al-Quran, tau maknanya tetapi tidak beramal denga isinya

Jadi pilihlah yang lebih utama. Ataupun boleh juga kita membahagikan masa. Baca dan baca dengan tafsir. Kerana membaca Al-Quran ini amat besar pahalanya. Nabi S.A.W bersabda

“Siapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan akan dilipatkan gandakan sepuluh, saya tidak mengatakan (آلـم) satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf“

(HR Bukhari)

 

Masalahnya dengan kita bukan masalah opsyen pertama dan kedua tetapi tiadanya kesempatan masa akibat kesibukan dunia untuk membaca Al-Quran. Astaghfurllahaladziim.

 

Aug 08

Lailatul Qadar: Hadith-hadith Tentangnya

lailatul qadar ayat quran Lailatul Qadar: Hadith hadith TentangnyaBanyak hadith-hadith nabi yang membicarakan tentang malam “Lailatul Qadar” iaitu malam yang penuh keberkatan dan beridadat pada malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan (lebih 83 tahun). Firman Allah dalam Surah Al-Qadar:

1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.

2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).

 

Di bawah adalah antara hadith-hadith yang menyebut tentang malam Lailatul Qadar:

Hadith 1

Daripada Hazrat Abu Hurairah رضي الله عنه berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah bersabda, “Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisab (berniat untuk mendapatkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim – Targhib)

 

Hadith 2

Hazrat Anas رضي الله عنه berkata “Telah masuk bulan Ramadhan, lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi.”
(Hadith riwayat Ibnu Majah, sanadnya ‘hasan’ sebagaimana dalam Kitab at-Targhib dan al-Misykah)

 

Hadith 3

Daripada Hazrat Anas رضي الله عنه beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda “Apabila tiba Lailatul Qadar, turunlah Jibrail عليه السلام bersama sekumpulan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba yang sedang berdiri atau duduk mengingati Allah سبحانه وتعالى dan apabila tiba Hari Raya mereka, iaitu Hari Raya Fitrah, maka Allah سبحانه وتعالى akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikatNya.
Dia berfirman “Wahai malaikatKu! Apakah balasan seorang pekerja yang telah menyempurnakan kerjanya?” Mereka berkata “Wahai Tuhanku, balasannya ialah disempurnakan ganjarannya.”
Allah سبحانه وتعالى berkata lagi “Wahai malaikatKu, hamba-hambaKu lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan fardhuKu ke atas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa. Demi kemuliaan dan kehebatanKu, kemurahan dan ketinggianKu dan demi kedudukanKu pasti aku menerima doa-doa mereka.
Kemudian Allah سبحانه وتعالى berfirman (kepada hamba-hamba itu) “Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Ku tukarkan segala keburukan kamu kepada kebaikan.”
Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Lalu mereka pun pulang dalam keadaan telah terampun.”
(Hadith riwayat al-Baihaqi dalam Syu’abul Iman sebagaimana dalam al-Misykah)

 

Hadith 4

Daripada Hazrat ‘Aishah رضي الله عنها beliau berkata bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda “Carilah Lailatul Qadar pada yang ganjil dari sepuluh malam terakhir Ramadhan.”
(Hadith riwayat Bukhari – Misykah)

 

Hadith 5

Daripada Hazrat ‘Ubadah Bin Samit رضي الله عنه beliau berkata Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah keluar untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadar, kemudian ada dua orang lelaki daripada kalangan orang-orang Islam telah bergaduh.
Maka Baginda telah bersabda, “Aku telah keluar untuk memberitahu kamu tentang Lailatul Qadar kemudian si fulan dan si fulan telah bergaduh, oleh kerana itu ia telah diangkat kembali. Mudah-mudahan itu lebih baik bagi kamu.
Maka carilah Lailatul Qadar pada malam ke 9, 7 dan ke 5.”
(Hadith riwayat Bukhari – Misykah)

 

Hadith 6

Hazrat ‘Ubadah Bin Samit رضي الله عنه telah bertanya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم tentang Lailatul Qadar. Lalu Baginda bersabda, “lanya berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh yang akhir. Sesungguhnya ia berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam ke 21,23, 25, 27 atau 29 ataupun pada malam terakhir dari bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat padanya dengan iman dan niat untuk mendapatkan ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan.

Di antara tanda-tandanya ialah keadaannya terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, lidaklah terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar (kerana banyak Nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Di antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. la terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama. Allah سبحانه وتعالى telah mengharamkan syaitan keluar bersamanya pada hari itu. (Sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul di tempat matahari terbit.)
(Hadith riwayat Ahmad, al-Baihaqi, Muhammad bin Nasr dan lain-lain – Durrul Manthur)

 

Hadith 7

Hazrat ‘Aishah رضي الله عنها berkata, “Ya Rasulullah! Beritahulah kepada saya sekiranya saya tahu malam manakah Lailatul Qadar, apakah doa yang sepatutnya saya pohon?” Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda, “Katakanlah:
اللهـُــمّ َ إ ِنـّـَـكَ عـَــفـُــوّ ٌ تـُــحـِــبّ ُ الـْـعـَــفـْــوَ فـَــاعـْـفُ عـَــنـِّـى
“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Engkau sukakan pengampunan maka ampunilah daku.”
(Hadith riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan at-Turmuzi dan disahihkannya sebagaimana dalam al-Misykah)

 

Sama-sama kita berusaha mencari Lailatul Qadar di 10 malam terakhir terutama pada malam-malam yang ganjil seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas. Semoga kita diberi kesempatan oleh Allah bertemu malam yang penuh dengan kenerkatan itu. Amiin.

Aug 07

Lailatul Qadar: Tips Untuk 10 Malam Terakhir Ramadhan

lailatulqadar1 Lailatul Qadar: Tips Untuk 10 Malam Terakhir RamadhanRamadhan sudah beransur pergi. Hari ini hari yang ke 18 Ramadhan tahun ini. Allahuakbar! Cepatnya masa berlalu.

Dua hari lagi akan masuk lah kita di fasa terakhir Ramadhan iaitu fasa terpenting. 10 hari terakhir inilah yang terkandung malam yang berkat, malam “Lailatul Qadar”. Padanya diturunkan Al-Quran daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah, Langit Dunia.

Ada banyak hadith yang menyuruh untuk kita mencari malam Lailatul Qadar ini di dalam sepuluh malam-malam yang terakhir di bulan Ramadhan, antaranya:

Hadith nabi:

Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.”
(al-Bukhari)

Daripada Aishah r.a telah berkata: “Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan, baginda menghidupkan malam (Qiam dan membantu ahli keluarga untuk merebut kebaikan), mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat pakaiannya (bersungguh-sungguh dalam beribadat dan melakukan kebaikan)” . ( Muttafaqun alaih)

Malam tadi saya mendengar tazkirah selepas solat terakwih yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Elias. Antara yang menarik perhatian saya ialah tips yang dikongsi daripada ulama besar Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :

”Barangsiapa yang bersolat Isya’ berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami’ Saghir – 6341).

Jadi menurut Ustaz Mohd Ramadhan, pastikan bahawa kita menjaga kedua-dua perkara tersebut di 10 malam terakhir Ramadhan ini. Itu adalah antara syarat yang paling utama.

Jika kita mampu bersolat dan berqiam sepanjang malam, alhamdulillah. Lakukanlah!. Namun bagi yang bukan ahli qiam seperti saya ini mungkin ia tidak dapat dilakukan dengan sebaiknya. Jadi orang yang sebegini, pastikan jangan tinggalkan solat isyak dan solat subuh berjemaah. Kerana mengikut hadith nabi di atas, jika kita melakukan kedua-dua solat tersebut secara berjemaah, ia seolah-olah melakukan solat di sepanjang malam. Bayangkan kita buat seperti yang disarankan pada malam Lailatul Qadar, ia seolah-olah kita melakukan solat sepanjang malam selama lebih daripada 83 tahun. Allahuakbar! Besarnya rahmat Allah kepada kita! Sayangnya Allah pada hambanya.

Ayuh, rakan-rakan…! Kita sematkan azam dan kuatkan semangat untuk berusaha supaya tidak meninggalkan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Itu adalah syarat paling rendah untuk menghadapi Malam Al-Qadar. Jika dapat melakukan ibadat yang lebih lagi alhamdulillah. Lagi besar ganjaran yang akan diperolehi.

Wallahua’lam

Aug 03

Bazar Ramadhan Atau Bazir Ramadhan

bazir ramadhan Bazar Ramadhan Atau Bazir RamadhanBulan Ramadhan dikenali sebagai bulan pesta ibadat ataupun bulan pesta mencari pahala. Sebab itu kita dapat lihat di surau-surau atau di masjid-masjid tempat kita, akan ada muka yang selama ini kita macam tidak pernah lihat. Tetapi di bulan Ramadhan muka ini selalu sahaja hadir untuk solat terawih. Tak pe lah. Ini sudah bagus. Sekurang-kurangnya dia mengambil peluang menambahkan ibadat di bulan Ramadhan. Apa yang kita harapkan adalah supaya selepas Ramadhan ini pun muka-muka ini akan terus datang ke surau ataupun masjid.

Selain itu, bulan ini juga terkenal di kalangan rakyat Malaysia sebagai bulan Bazar Ramadhan. Tiba sahaja bulan Ramadhan akan muncullah tapak-tapak bazar Ramadhan di sana sini. Sambutannya amat menggalakkan sekali. Antara faktornya mungkin kita tidak sempat menyediakan makanan untuk berbuka puasa kepada keluarga dek kerana waktu kerja yang habis lewat. Jadi ini adalah alternatif terbaik.

Bazar Ramadhan juga membuka peluang-peluang berniaga kepada orang ramai. Ini akan sedikit sebanyak menolong mereka untuk mendapatkan duit lebih untuk persediaan menyambut Syawal. Wang yang lebih ini juga mungkin membuka ruang untuk mereka bersedeqah dengan kadar yang lebih sedikit dari hari-hari biasa.

Tetapi dalam pada itu ada yang tak bagusnya. Orang ramai yang pergi ke bazar Ramadhan ini ramai (tetapi bukan semua ya…) yang tidak dapat mengawal nafsu melihat makanan yang pada dasarnya enak di mata mereka. Hasilnya mereka membeli lebih daripada yang diperlukan oleh perut mereka. Natijahnya lagi bila waktu berbuka hanya sedikit yang disentuh dan banyak yang dibuang. Ini mengundang kepada tabiat membazir. Dan membazir ini adalah amalan Syaitan. Jadi orang ramai yang pergi ke bazar Ramadhan hendaklah mengawal nafsu membeli mereka. Ini jihad yang pertama.

Oleh kerana ramainya orang di bazar Ramadhan, akan ada berbagai cara berpakaian. Yang menjadi masalahnya apabila mereka yang pergi itu adalah yang tidak menutup aurat. Banyak yang terdedah di sana sini apabila kain atau seluar dan baju yang dikenakan tidak cukup ukurannya. Maka berlakulah pembaziran pahala. Jadi orang yang pergi ke bazar Ramadhan perlu juga melawan nafsu mata ini. Ini jihad yang kedua.

Untuk peniaga bazar Ramadhan pula, makanan yang disediakan terhias indah. Namun bila dijamah semasa berbuka lain pula ceritanya. Kalau terlebih masin atau tawar sedikit mungkin kita boleh bertolak ansur, ini tidak.. Kadang-kadang memang qualitinya hancur! Nasi keras tidak cukup masak adalah perkara biasa. Lauk yang hampir basi (mungkin lauk semalam yang tak habis) juga dijual.Akibatnya sakit perut pula yang datang. Dan yang paling penting ialah, harga lauk pauk dan kuih muih di bazar ini bukan murah! Mahal semacam je! Jadi di sini berlaku pembaziran duit. Peniaga perlu jujur dan memberi yang terbaik untuk pelanggan biar setimpal dengan harga makanan. Ini bukan dilakukan oleh semua peniaga ya. Nanti ada pulak yang marah icon smile Bazar Ramadhan Atau Bazir Ramadhan . Ini jihad yang ketiga ditujukan khas buat peniaga.

Bulan Ramadhan ini juga sebenarnya melatih kita supaya berjimat cermat. Berbelanjalah sekadarnya. Lebih baik duit yang lebih itu kita sedeqahkan. Lagi banyak pahala yang kita dapat.

Sedarlah disaat kita bermewah-mewah berbuka puasa ada insan yang masih berpuasa kerana tiada makanan untuk dimakan.

Artikel ini bukanlah mengajak kita memboikot bazar Ramadhan. Tetapi menyeru kita supaya lebih berhati untuk ke bazar Ramadhan. Banyak perkara yang harus dijaga di sana seperti berjimat cermat dalam membeli, menjaga padangan mata dan lain-lain.

Jom sama-sama kita mengelakkan bazar Ramadhan daripada menjadi bazir Ramadhan. Wallahua’lam.

 

Komen sohoque:

Baru sekali menjejaki bazar Ramadhan setakat ini. Itu pun bazar Ramadhan yang kecil jer. Ada lebih kurang 10 gerai jer kot. Beli nasi dagang sebab tengok kuah ikan tongkolnya agak mantap. Tapi bila berbuka nasi dagangnya keras!!! langsung tak boleh makan icon evil Bazar Ramadhan Atau Bazir Ramadhan

Aug 02

Muhasabah Diri Di Ramadhan Ini

ramadhan Muhasabah Diri Di Ramadhan IniRamadhan semakin meninggalkan kita. Hari ini dah hari ke 13 kita berada di bulan Ramadhan. Dah hampir separuh dah pun. Alhamdulillah dan tahniah untuk amalan-amalan baik yang dilakukan sepanjang Ramadhan setakat ini.

Tetapi adakah kita rasa itu mencukupi? Pernahkah kita muhasabah diri, setakat ni banyakkah amalan kita di bulan Ramadhan? Terasa menyesal tak sebab tak buat amal betul-betul? Sebabnya Ramadhan ini mungkin Ramadhan terakhir kita. Kita tak tau apakah kita diberi kesempatan lagi untuk bersua Ramadhan tahun hadapan. Sayu rasanya kan?

Ramadhan ini bulan yang penuh dengan rahmat dan keampunan Allah kepada hambaNya. Bulan ini bulan pesta pahala. Kalaulah kita tidak bersungguh-sungguh dalam beribadat, alangkah ruginya. Berdoa di bulan Ramadhan ini sama sekali tidak sama dengan berdoa di bulan lain. Bulan ini kadar kemakbulan doa lebih tinggi berkali-kali ganda. Hadith nabi:

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini.”

Ditambah pula dengan hadiah Allah yang amat hebat yang hanya diberi pada bulan Ramadhan dan diberi hanya kepada ummat nabi Muhammad S.A.W. iaitu malam yang digelar “lailatul Qadar”. Pahala beribadat pada malam ini menyamai pahala beribadat selama seribu bulan (83 tahun). Subhanallah!!!

Itu dari segi amalan baik. Amalan buruk pula mamana? Di bulan kita senang untuk mengenal pasti adakah amalan-amalan buruk yang kita buat itu adalah hasutan Syaitan atau timbul dari nafsu kita sendiri. Ini kerana Syaitan semuanya dirantai pada bulan ini. Jadi kalau kita berterusan melakukan amal buruk, maka ianya datang dari nafsu diri sendiri. Jadi di bulan ini kita kena perangi nafsu kita sendiri. Itu jihad kita di bulan Ramadhan ini.

Buan Ramadhan juga adalah bulan latihan. Selama sebulan kita berdisiplin melakukan ibadah secara “latih tubi”. Hasil latihan tersebut diharpkan akan boleh diterap ke bulan-bulan selepas Ramadhan.

Jadi, jom kita muhasabah diri pada saat ini. Hari-hari Ramadhan yang berlalu sudah berlalu dan tidak boleh dipanggil kembali. Apa yang disia-siakan selama 12 hari yang lepas kita insafi. Untuk baki hari-hari Ramadhan yang mengdatang kita selami dengan bersungguh. Beribadatlah dengan bersungguh-sungguh. Tetapkan sasaran kita untuk bersedeqah, bertarawih, Qiam, zikir dan sebagainya. Dan berusahalah untuk mencapai sasaran yang kita tetapkan. Jadikan Ramadhan ini solah-olah ianya Ramadhan terakhir buat kita.

Jul 21

Niat Puasa Ramadhan

Ulangkaji niat puasa di bulan Ramadhan. Kot-kot ada orang sudah lupa icon biggrin Niat Puasa Ramadhan :

niat pose Niat Puasa Ramadhan

Ada 2 jenis niat:

  • Niat puasa sebelum waktu imsak untuk puasa keesokan harinya.
  • Niat puasa untuk berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. Niat ini terpakai jika kita lupa berniat untuk berpuasa untuk keesokan harinya.

Jadi untuk kita “play safe” takut-takut kita terlupa untuk ber niat puasa’, eloklah diniatkan dengan niat kedua-dua di atas.

Seperkara lagi, niat adalah lintasan dalam hati untuk melakukan amalan. Bukanlah tidak membaca lafaz di atas bermakna puasa tidak sah. Seseorang yang bangun bersahur namun tidak membaca lafaz niat tetap sah puasanya kerana memang tujuan dia bangun sahur itu adalah untuk melakukan ibadat puasa. Ramai juga orang yang keliru tentang perkara ini.

Moga kita semua dapat menunaikan ibadat puasa dengan penuh kesabaran. Moga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik pernah kita lalui. Ameen.

 

Jul 16

Tarikh Dan Tempat Melihat Anak Bulan Ramadan

tengok anak bulan Tarikh Dan Tempat Melihat Anak Bulan RamadanBernama melaporkan tarikh bagi melihat anak bulan Ramadhan pada tahun ini ditetapkan pada hari Khamis ini (19 Julai 2012)

Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebanyak 30 tempat yang telah ditetapkan untuk tujuan melihat anak bulan ini. Tempat-tempat tersebut ialah:

  1. Pontian Kecil Johor;
  2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka;
  3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan;
  4. Bukit Melawati, Kuala Selangor;
  5. Pulau Angsa, Kuala Selangor;
  6. Bukit Jugra, Banting Selangor;
  7. Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam;
  8. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak;
  9. Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang;
  10. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah;
  11. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi;
  12. Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah;
  13. Bukit Besar Kuala Terengganu;
  14. Bukit Geliga, Kemaman;
  15. Pulau Perhentian, Besut;
  16. Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Setiu, Terengganu;
  17. Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan;
  18. Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan;
  19. Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan;
  20. Tanjung Lubang Miri, Sarawak;
  21. Teluk Bandung, Kuching Sarawak;
  22. Tanjung Batu, Bintulu Sarawak;
  23. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah;
  24. Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang;
  25. Gunung Berincang Cameron Highlands;
  26. Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang;
  27. Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan;
  28. Menara Kuala Lumpur;
  29. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya;
  30. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Melihat anak bulan Ramadhan adalah salah satu cara untuk mengetahui tarikh bermula bulan puasa iaitu 1 Ramadhan. Cara yang lain yang pernah digunakan ialah mengikut Rukyah dan Hisab.