Feb 03

Cara Rasulullah Menghitung Tasbih

Rasulullah mempunyai cara tersendiri dalam menghitung tasbih. Cara Rasulullah menghitung tasbih adalah seperti yang dinyatakan di dalam hadith di bawah:

“Abdullah bin ‘Amr berkata: “Saya melihat cara Rasulullah menghitung tasbih dengan melipat-lipatkan jari-jari dengan menggunakan tangan kanannya”

- diriwayatkan oleh Abu Dawud (1/235) dan At-Tirmidzi (4/255), ia menghasankannya.

Berdasarkan hadith tersebut mungkin cara Rasulullah menghitung tasbih adalah seperti gambarajah ini:

 Cara Rasulullah Menghitung Tasbih

Selama ini saya menyangkakan bahawa cara mengira tasbih menggunakan tangan ini adalah hanya rekaan para salafussoleh dan para ulamak sahaja. Tak sangka ianya adalah sunnah nabi saw.

Jom kita mengikut sunnah. Walaupun amalan yang seringkas seperti cara Rasulullah menghitung tasbih ini, ia akan tetap mendapat ganjaran pahala dari Allah kerana ianya adalah sunnah Rasulullah saw.

Nota sohoque:

Senarai antara 100 amalan nabi semasa hayatnya ada di sini.

 

Feb 02

Sunnah Nabi Mengcakupi Seluruh Aspek Kehidupan

 Sunnah Nabi Mengcakupi Seluruh Aspek Kehidupan

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”.

Surah Al-Ahzab : Ayat 21

Setiap sesuatu yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah selari dengan Al-Quran. Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran.

Setiap yang dilakukan oleh Rasulullah dipanggil sunnah. Barangsiapa yang mengamalkan sunnah nabi, dia akan mudah mendapat syafaat nabi di akhirat kelak.

Sebenarnya begitu banyak sekali sunnah nabi ini. Ini adalah kerana sunnah nabi adalah perbuatan harian biasa yang biasa dilakukan oleh seorang manusia seperti kita. Kerana nabi juga adalah seorang manusia.

Cuma perbuatan harian ini dibuat dengan mengikut landasan Al-Quran. Ilham untuk melakukan sesuatu adalah semuanya daripada Allah jua.

Nabi Muhammad saw adalah seorang yang maksum. Tidak pernah melakukan dosa dan kesalahan. Mana mungkin baginda melakukan kesilapan dan dosa jika ilham untuk melakukan segala sesuatu itu adalah daripada Allah?

Jika segala sesuatu itu dari Allah, maka sudah pasti terselit seribu hikmah kebaikan di belakangnya walaupun terkadang hikmah tersebut tidak dapat terfikir oleh akal kita yang lemah ini. Sebab itu kita amat disaran untuk mengikuti sunnah nabi ini.

Jadi bukan payah sangat nak ikut sunnah nabi sebenarnya kerana apa yang dilakukan oleh nabi dilakukan juga oleh kita. Contohnya: Nabi makan dan minum. Kita pun makan dan minum. Cuma kita kena lah tau macamana nabi makan dan minum. Dengan dimulakan dengan bismillah misalnya. Duduk dengan tertib. Makan tidak gelojoh, menjilat jari dan sebagainya.

Begitu juga dengan melakukan perbuatan ini. Dan amalan ini.

Banyak lagi sunnah nabi ini untuk kita ikuti. Ianya mengcakupi seluruh amalan kehidupan kita selain daripada di dalam ibadah khusus seperti solat, puasa dan sebagainya.

Apa yang kita perlu buat, kena betulkan niat bahawa kita buat perbuatan tersebut sebab kita nak ikut nabi. Sebab kita sayang dan cinta nabi kita.

Jom amalkan sunnah nabi. Moga hidup kita dirahmati dan diberikan syafaat oleh nabi di akhirat nanti.

Ameen.

Posted from WordPress for Android

Dec 10

Rahsia Sunnah Nabi Menyimpan Janggut Terbongkar

gambar hiasan dr yusuf alqardhawi Rahsia Sunnah Nabi Menyimpan Janggut Terbongkar

Gambar Hiasan (Dr Yusof AlQardhawi)

Dulu saya ada menerbitkan satu entri tentang galakan Rasulullah kepada ummatnya supaya menyimpan janggut. Entri INI mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca dan menjadi salah satu entri yang direkomen.

Seperti yang kita ketahui setiap yang dilarang dan disuruh di dalam Islam itu ada hikmah dan rahsia disebaliknya. Kerana larangan dan suruhan yang terdapat di dalam Al-Quran dan hadith adalah daripada Allah belaka. Allahlah yang maha mengetahui akan sesuatu. Kita sebagai manusia biasa terhad aqal fikiran kita. Kadang-kadang kita tidak terfikir akan hikmah di sebalik itu. Jadi sebab itu kita tidak boleh sesekali melanggar arahan dan larangan dari Allah walaupun hikmahnya tidak tercapai dek aqal fikiran kita.

Rahsia sunnah nabi menyimpan janggut terbongkar kini. Galakan menyimpan janggut telah diketahui rahsia dan hikmahnya. Dan ia telah dibuktikan dengan bukti penemuan sains.

Menurut kajian saintis dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat yang berjudul “The Amazing Fact of Human body”, janggut lelaki mengandungi hormon testosteron yang boleh membantu kesuburan wanita. Ia boleh menstabilkan kitaran haid dan menggalakkan pertumbuhan telur wanita.

Dalam kata yang lain, janggut lelaki juga boleh meningkatkan tahap kegalakan pasangannya.

Bagaimana hal ini boleh terjadi? Ianya boleh berlaku hanya melalui sentuhan. Isteri yang banyak menyentuh janggut suaminya ada peluang untuk meningkatkan lagi kesuburannya. Dan ini sekaligus akan dapat membantu pasangan untuk mendapatkan anak.

Rencana ini menurut Dr Jamnul Azhar telah diulang tayang oleh rancangan National Geographic. Inilah bukti ataupun rahsia sunnah nabi menyimpan janggut dan mengapa ia digalakkan kepada kita untuk mengikutinya.

Subhanallah!. Jadi kepada pasangan yang belum dikurniakan zuriat boleh mencuba cara ini. Ini adalah salah satu cara dan usaha untuk dapatkan zuriat juga.

Sarankan kepada suami untuk menyimpan janggut. Isteri bolehlah selalu membelai janggut suaminya. Disamping ianya adalah usaha untuk membantu kesuburan isteri dengan tujuan mendapatkan zuriat, ia juga akan menambahkan lagi kemesraan suami isteri. Dan yang paling penting si suami akan mendapat pahala kerana mengikut sunnah nabi kita Muhammad S.A.W. Dan rahsia sunnah nabi menyimpan janggut ini telah pun dibuktikan oleh sains akan hikmahnya. Wallahua’lam.

Jom berjanggut wahai lelaki.

Dec 10

Berbuat Baik Kepada Isteri Adalah Sunnah Nabi

suami cinta isteri Berbuat Baik Kepada Isteri Adalah Sunnah Nabi

Suami isteri bahagia

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Entri saya kali ini adalah tentang akhlak kita sebagai suami dan pembimbing kepada isteri kita. Perlu saya jelaskan bahawa dengan menerbitkan entri ini bukanlah bermakna saya merupakan orang yang terbaik dikalangan kita. Tetapi harapan saya agar entri ini dapat memberikan peringatan kepada saya terutamanya dan juga sahabat-sahabat pembaca secara amnya.

Kita seringkali membaca dan mendengar kisah balasan kepada isteri-isteri yang derhaka dan tidak menghormati suami. Balasan tersebut ada yang diterima semasa di dunia ini lagi dan ada yang bakal diterima diakhirat kelak. Kita juga tahu melalui hadith bahawa ramai penghuni neraka adalah daripada golongan wanita:

Rasulullah saw bersabda:
“Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penduduknya adalah fuqara (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penduduknya adalah golongan wanita.

- Hadis riwayat imam al-Bukhari dan Muslim

Tetapi kita jarang mendengar balasan kepada seorang suami yang berakhlak buruk dan tidak berbuat baik kepada isteri. Adakah suami boleh berbuat sesuka hati kepada isteri? Tidak. Suami juga ada akhlak-akhlak yang harus dijaga terhadap seorang isteri. Suami mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam menjaga dan mendidik isteri dan rumahtangganya. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan di akhirat kelak jika tidak dijaga. Antara hadith yang membicarakan tentang tanggungjawab ini adalah:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu sekelian akan ditanya perihal kepimpinan kamu. Seorang Imam (ketua) adalah pemimpin dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga suaminya dan dia akan ditanya mengenai tanggungjawab kepimpinannya. Seorang pembantu adalah pemimpin harta majikan dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang anak adalah pemimpin harta bapanya dan dia bertanggungjawab mengenai kepimpinannya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. “ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Isteri adalah orang yang paling rapat dengan kita. Pengorbanannya untuk keluarga adalah amat besar. Selain daripada pengorbanannya mengambil risiko semasa melahirkan anak, isteri juga mengambil sebahagian besar tugas suami. Lihat sahaja kepada seorang surirumah. Kerjanya bermula seawal pagi menyediakan keperluan keluarga sebelum suami dan anak-anak keluar rumah untuk ke tempat kerja dan ke sekolah. Kerjanya bersambung lagi sehingga anak-anak dan suami balik ke rumah malah bersambung lagi sehingga waktu tidur. Kadang dialah yang paling lambat tidur.

Begitu juga bagi isteri yang berkerja. Dari pagi hingga habis waktu kerja dia berkerja demi membantu meningkatkan ekonomi keluarga. Balik daripada kerja pula dia kena kerja lagi melayan anak-anak dan suami sehingga waktu tidur.

Begitulah besarnya pengorbanan seorang isteri. Ada suatu kisah tentang Saidina Umar Al-Khattab melayan isterinya:

Seseorang yang sudah tidak tertahan lagi dengan karenah isterinya mendatangi Saidina Umar untuk mengadu.

Apabila dia sampai di muka pintu terdengar olehnya suara isteri baginda marah-marah dan tidak kedengaran suara Saidina Umar menjawab. Berkatalah dia di dalam hatinya: “kalau beginilah keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, betapalah lagi keadaanku”.

Tiba-tiba Syaidina Umar keluar lalu memanggilnya, “Apakah hajat kamu?”  tanya baginda.

“Ya Amirul Mukminin. Aku datang untuk mengeluh keberanian dan cerewetnya isteriku, mendadak aku dengar isterimu juga begitu.Malah terfikir olehku, kalau begitu keadaan Amirul Mukminin dengan isterinya, begitu lebih-lebih keadaanku.”

Kata Saidina Umar: “Hai saudaraku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteriku padaku; dia seorang tukang masak makananku dan pencuci pakaianku, dan yang menyusu anakku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hatiku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”

Setelah agak lama terdiam berkatalah orang itu; “Kalau begitu, aku pun begitu juga mengenangkan hidup kita di dunia ini pun tidaklah lama.”
– Dari kitab Irsyadul’Ibad IIasabilirrasyad

Renungi kisah Saidina Umar ini. Beliau yang terkenal dengan sifat keras dan bengis terhadap musuh-musuh Islam sedikit pun tidak menjawab bila dileteri isteri. Bandingkan dengan diri kita.

Sebenarnya kejayaan seorang suami adalah juga disebabkan oleh sokongan isterinya. Kita biasa mendengar ungkapan disebalik kejayaan seorang lelaki ada wanita dibelakangnya. Wanita itu ialah seorang isteri. Sebab itu dalam bab pusaka isteri dibolehkan menuntut harta sepencarian. Harta itu ialah harta yang suami kumpulkan semenjak berkahwin dengan isterinya. Ada peratus-peratus tertentu yang isteri berhak tuntut daripada harta peninggalan suaminya.

Isteri juga menjadi tempat untuk suami meraih pahala dan membersihkan diri daru dosa-dosa kecil. Bayangkan dengan melihat wajah isteri dengan penuh kasih sayang kita dapat pahala. Pegang tangannya dosa kecil terampun. Bergaul dengannya akan mendapat pahala sedeqah dan banyak lagi.

Marilah kita berbuat baik kepada isteri kita. Isteri adalah insan yang amat penting dalam hidup kita. Dia adalah asset yang amat berharga. Orang yang menyenangkan hidup kita di dunia dan akhirat.

Rasulullah S.A.W suka berbuat baik kepada isteri-isteri baginda. Beliau amat menggalakkan ummatnya berbuat baik kepada isteri sepertimana hadith baginda:

“Seseorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik akhlaknya adalah yang paling baik terhadap isterinya. Sesungguhnya akulah suami yang paling baik terhadap isteri.”
(HR al-Tirmizi, Ibnu Majah)

Ayuh kita para suami berbuat baik kepada isteri kita. Moga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Moga kita mendapat syafaat Rasullullah S.A.W kerana mengambil cakna akan sunnah-sunnah baginda. Ameen.

Sep 12

Membunuh Cicak Hukum Dan Hikmah Di Sebaliknya

cicak rumah Membunuh Cicak Hukum Dan Hikmah Di SebaliknyaHadith Nabi SAW:

Daripada Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang membunuh cicak dengan satu pukulan baginya seratus kebajikan, jika dua pukulan baginya tidak sebagaimana yang pertama dan jika tiga pukulan tiada baginya sebagaimana dua pukulan.

(HR Muslim)

Dari Ummu Syarik radhiallahu ‘anha; Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk membunuh cicak. Beliau menyatakan, “Dahulu, cicak yang meniup dan memperbesar api yang membakar Ibrahim.”

(HR. Muttafaq ‘alaih).

 

Dari Sa’ad, bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallammemerintahkan untuk membunuh cicak, dan beliau menyebut (cicak) sebagai hewan fasiq (pengganggu).

(HR Muslim)

 

Membunuh cicak sunat hukumnya. Ia adalah sunnah Nabi. Kepada yang tidak peka terhadap sunnah nabi, ada yang mempersoalkan perkara ini. Antara katanya mengapa kita harus membunuh cicak sedangkan ia ada gunanya untuk kita terutama dalam memakan serangga seperti nyamuk dan sebagainya.

Namun setiap kata Nabi adalah dari Allah. Setiap perintah Allah pasti ada hikmahnya samada yang nampak di mata dan fikiran kita maupun yang tersembunyi dan tidak mampu terfikir dek aqal fikiran kita.

Antara hikmah membunuh cicak yang mampu terfikir oleh kita:

  1. Cicak ini binatang yang mengganggu. Lihat sahaja tabiat buruk membuang najisnya. Ia akan berak dan kencing di merata tempat di rumah kita, malah di masjid juga. Tabiat buruk ini amat mengganggu kita terutamanya dalam beribadat kerana najisnya akan menyebabkan ibadah kita seperti solat tidak sah.
  2. Cicak ini haiwan yang jelek perilakunya. Mengikut kisahnya semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh Raja Namrud, semua binatang lain berusaha memadamkan api. Tapi tidak dengan binatang cicak ini. Ia meniup lagi api sehingga api menjadi semakin besar. Akhlak yang buruk ini dikeji oleh Allah.
  3. Allah memberikan bermacam-macam cara untuk kita mendapat pahala sehinggakan membunuh cicak juga diganjariNya.
  4. Untuk kita berfikir bahawa Allahlah yang maha mengetahui kebaikan disebalik suruhan itu.

Jadi, sebagai ummat Islam yang patuh pada ajaran Allah dan ummat Muhammad yang sayangkan Nabinya usahlah dipertikaikan suruhan bunuh cicak ini. Kita buat kita dapat pahala. Jadi apa nak dipersoalkan lagi?

 

Jul 14

Tips: Doa Pelindung Untuk Anak-Anak

anak anak 300x239 Tips: Doa Pelindung Untuk Anak Anak

Gambar Hiasan

 

doa perlindungan anak anak Tips: Doa Pelindung Untuk Anak Anak

Anak-anak kita yang masih kecil masih lemah fizikal dan mental (semangat) nya. Mereka ini amat mudah terkena musibah seperti diganggu oleh Syaitan, gigitan binatang berbisa dan penyakit ‘ain.

Sebab itulah ada hadith tentang larangan anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja:

Rasulullah SAW dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim ada menyebut hadis dari Jabir ra yang bermaksud, ‘apabila sudah tiba waktu petang hampir senja), henti dan himpunkan anak-anak kamu (dari terus bermain) kerana pada waktu itu syaitan akan mula berkeliaran’.

Yang Keduanya anak-anak kecil ini sering terdedah dengan binatang berbisa. Ini adalah kerana mereka belum peka terhadap suasana sekeliling dan tidak dapat membezakan serangga berbisa atau tidak.

Yang ketiganya anak-anak kecil ini ditakuti terkena bencana ‘ain. Apakah bencana ‘ain ini? Ia adalah musibah yang berlaku disebabkan pandangan mata.

Hadith Rasulullah tentang penyakit ‘ain:

“‘Amir bin Rabi’ah pernah melewati Sahl bin Hunaif yang sedang mandi, lalu ia berkata, ‘Aku tidak pernah melihat seperti hari ini dan aku tak pernah melihat kulit seperti kulit wanita yang dipingit.’ Tidak berapa lama, Sahl terjatuh. Kemudian dia didatangkan ke hadapan Nabi. Orang-orang pun mengatakan kepada beliau, ‘(Wahai Rasulullah), segera selamatkan Sahl, ia telah terbaring.’ Nabi bertanya, ‘Siapa yang kalian tuduh dalam hal ini?’ Mereka menjawab, ‘Amir bin Rabi’ah.’ Beliau pun berkata, ‘Atas dasar apa salah seorang di antara kalian hendak membunuh saudaranya? Apabila seseorang melihat sesuatu yang menakjubkan dari diri saudaranya, hendaknya ia mendoakan kebaikan padanya.’ Kemudian beliau meminta air dan memerintahkan ‘Amir untuk berwudhu’, maka ‘Amir pun membasuh wajahnya, kedua tangan hingga sikunya, kedua kaki hingga lututnya, serta bagian dalam sarungnya. Lalu beliau memerintahkan untuk menuangkan air itu pada Sahl.”

(HR. Ibnu Majah no. 3500, dishahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Shahihul Jami’ no. 3908/4020 dan Al-Misykah no. 4562)

`Ain adalah pandangan mata. Berdasarkan hadith-hadith yang disebut di atas, ternyata benar adanya pengaruh daripada pandangan mata. Sama ada seseorang itu memandang dengan hasad dalam hatinya, ataupun sekadar takjub, ia boleh membahayakan.

Penyakit ini walaupun benar tetapi amat sukar untuk dijelaskan oleh dunia perubatan moden. Jadi jika disyaki pesakit terkena penyakit ini rawatan yang sesuai adalah perubatan Islam yang menggunakan ruqyah sambil dibantu oleh perubatan moden.

Tentu pembaca agak samar-samar tentang penyakit ini. InsyaAllah jika diberikan ruang waktu, saya akan buat posting khas untuk penyakit ini nanti.

Kesimpulannya, kita memang tidak mampu menjaga anak-anak kita terutamanya yang masih kecil ini secara total. Jadi, sebagai ikhtiar kita amalkanlah doa di atas. Selain daripada ianya ikhtiar dan penyerahan kita terhadap Allah, kita juga mengamalkan sunnah nabi SAW.

Moga anak-anak kita mendapat perlindungan daripada Allah. Amiin.

Apr 03

Berjanggutlah Wahai Lelaki…

berjanggutlah 230x300 Berjanggutlah Wahai Lelaki...

gambar ihsan dari www.muzir.wordpress.com

Adakah anda simpan/memelihara janggut?

Sebenarnya berjanggut ini juga adalah salah satu sunnah nabi saw. Orang lelaki (Ar-rijaal) ni kalau disebut sunnah nabi selalunya bab kahwin lebih dari satu yang akan terbayang dahulu. Orang lelaki tempat lain maksud saya.. bukan yang baca posting saya ni icon lol Berjanggutlah Wahai Lelaki...

Oleh kerana ianya sunnah nabi, jika kita ikuti dengan niat mengikut sunnah nabi yang kita cintai, maka sesungguhnya kita akan mendapat pahala, insyaAllah. Macam saya ni, untuk ikuti sunnah yang berat-berat mungkin saya tidak mampu lagi.  Ikut sunnah kahwin lebih pun saya tak mampu. Jadi saya ambil keputusan untuk ikut sunnah yang ringan seperti ini dahulu.

Berjanggut sebenarnya bukanlah bermaksud mesti menyimpan janggut tanpa dijaga. Janggut jika kena caranya, dijaga, dan dirapi akan menambahkan seri pada kaum lelaki. Nampak macho sedikit mungkin.. icon wink Berjanggutlah Wahai Lelaki...

Ada beberapa hadith daripada Rasulullah saw tentang memelihara janggut ini. Antaranya:

“Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari)

“Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang Majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memanjangkan (memelihara) misai (kumis) mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja Baginda Rasulullah SAW menyuruh kita agar berjanggut, tetapi melarang kita dari menyerupai orang kafir iaitu dengan memelihara misai dan mencukur janggut mereka.

Saya ada terbaca di sebuah laman web yang mengatakan Rasulullah tidak pernah mencukur janggutnya.

Berjanggut ini walaupun pada pandangan anda atau orang lain ianya nampak tidak cantik namun di sisi Allah SWT ianya sudahpun kelihatan elok dan sempurna. Kalau tidak, masakan ada hadith tentang janggut. Kata-kata Rasulullah kan daripada Allah. Yang paling penting niat. Niatkan kerana Allah dan mengikut sunnah Rasulullah kekasih Allah.

Apabila niat itu betul nescaya anda akan melihat kelebihan dan merasai kebaikan berjanggut. Walaupun pada pandangan anda atau orang lain ianya nampak tidak cantik namun di sisi Allah SWT ianya sudahpun kelihatan elok dan sempurna.

Wahai lelaki, berjanggutlah.

 

ustaz azhar Berjanggutlah Wahai Lelaki...

Pendakwah bebas Ustaz Azhar Idrus yang berjanggut

Sumber