Ustaz Raffli, Pergi Mu Tetap Ku Kenang

kematian ustaz raffli tetap dikenang

Heningnya foto ini sehening hatiku terkenang Ustaz Raffli. Tak sanggup aku letakkan fotonya di sini

Semalam di saat aku menjalani saat-saat bahagia bersama keluarga tercinta aku dikejutkan dengan berita sedih. Aku yang berada di Majlis Ihtifal 2013, Majlis penyampaian hadiah untuk tadika Smart Soleh intergrated Pre-School cawangan Sunway Alam Suria memang sungguh terkejut dengan berita kematian bekas jiran lama dahulu, Allahyarham Ustaz Raffli Bin Abdul Malek, Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Kematiannya amat tragis. Beliau ditembak di depan rumah sendiri oleh 3 orang lelaki yang datang ke rumahnya. Dengan menaiki kereta berwarna putih, seorang penjenayah tersebut yang memakai baju hitam dan berkopiah turun dari kereta dan memberi salam dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Ustaz Raffli. Anak Allahyarham yang menjawab salam terus memberitahu Allahyarham ada orang ingin berjumpa.

Allahyarham yang ketika itu sedang melakukan kerja rumah bersama isteri terus keluar untuk berjumpa tetamunya. Malah mengikut kata isterinya Allahyarham sempat mengajak lelaki berbaju hitam tersebut masuk kerumah dahulu.

Di saat Allahyarham berada di luar untuk melayan tetamu tidak diundang itu, seorang lagi rakan penjenayah telah keluar dan terus menembak sebanyak 3 das tembakan. 2 terkena dada Allahyarham dan satu tersasar. Dua penjenayah tersebut berserta dengan seorang lagi rakannya yang sedang menunggu di dalam kereta terus memecut laju melarikan diri.

Allah lebih menyayangi Allahyarham Ustaz. Beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir di depan rumahnya. Allahyarham, seorang yang baik hati, suka menolong orang, seorang pejuang undang-undang syariah rebah di tangan penjenayah. Jika pembunuh tersebut adalah orang yang sedang melanggar hukum syariah dan Allahyarham sedang membenterasnya, maka kematian Allahyarham amat mulia. Adakah beliau syahid atau tidak biarlah tuhan Rabbul Jalil yang menentukan. Namun mengikut ilmu kita yang sejengkal ini, bahagian Allahyarham sudah ada di sana.

fatihah hadiah kepada ustaz rafli bin abdul malek

Hanya AlFatihah yang mampu ku hadiahkan buat jiran dan sahabat yang amat baik hati

Aku pun kurang arif mengapa Allahyarham diperlakukan sebegitu kejam. Mengikut berita-berita yang aku dengar, Allahyarham yang juga pegawai penguatkuasa JAIP, sedang menyiasat dan membuat penangkapan untuk beberapa kes besar di negeri Pahang. Antaranya melibatkan gerakan Syiah dan ajaran sesat. Wallahua’lam samada itu adalah sebab dia dibunuh.

Allahyarham tiada mempunyai musuh mengikut kata isterinya. Dan aku mengenalinya dengan agak rapat pada sekitar 13 tahun yang lalu. Waktu itu aku menyewa rumah betul-betul di depan rumah Allahyarham. Aku amat yakin dan percaya beliau memang tiada musuh. Mana mungkin orang sebaik dan semulia itu dimusuhi orang.

Aku menyaksikan bahawa Allahyarham adalah seorang jiran yang baik. Aku yang ketika itu bertongkat selama 6 bulan akibat daripada kecederaan teruk yang aku alami dek kerana kemalangan kereta sering ditolong oleh Allahyarham. Masih ku ingat sewaktu anak sulung ku yang masih bayi pada ketika itu tiada penjaga di kala isteri ku ke tempat kerja, Allahyarham lah yang menolong mencarikan pengasuh atau penjaga anak ku.

Melalui Allahyarham lah kami diperkenalkan dengan sebuah keluarga iaitu keluarga Kak Ma yang juga berhati mulia untuk menjaga dan mengasuh anak ku sehingga anakku berumur 5 tahun. Anakku yang nombor 2 juga sempat aku hantar ke rumah pengasuh ini yang tinggal tidak jauh daripada rumah Allahyarham. Walaupun pada ketika anakku yang kedua lahir aku telah berpindah ke rumah sendiri di tempat yang lain.

Allahyarham sentiasa tersenyum dan selalu menegur jiran tetangganya. Ada sahaja yang kami akan bualkan tentang cerita kemasyarakatan. Beliau pernah mengeluh tentang maksiat dan pelanggaran undang-undang syariah yang lain yang berleluasa berlaku di Kuantan.

Badan beliau yang agak kecil langsung tidak mencerminkan jiwa dan ketegasan beliau yang besar. Pernah beliau berkata kepada aku yang beliau memang tak akan bertolak ansur dengan orang yang melanggar hukum syarak. Dan tanggungjawab beliau amat berat untuk membasmi maksiat yang berleluasa setakat termampu.

Beliau pernah menjadi klien aku sewaktu aku bersama Takaful Ikhlas dulu (aku kini aku telah berpindah syarikat takaful). Allahyarham yang merupakan ketua jabatan yang amat prihatin terhadap anak-anak buahnya pernah meminta kepada jabatannya untuk mengambil takaful berkelompok untuk menjaga kebajikan anak buah seliaannya.

Hubungan aku sekeluarga dan Allahyarham terjalin sampai sekarang. Aku akan melawat keluarga Allahyarham di setiap tahun bila tiba hari raya Aidil Fitri. Memang menjadi tradisi aku sekeluarga akan singgah di rumah Allahyarham dalam perjalanan daripada Kuala Terengganu balik ke Kuala Lumpur.

Tahun ini aku singgah lagi tetapi tidak dapat bersua muka dengan Allahyarham dan keluarga beliau. Ini adalah kerana Allahyarham belum pulang daripada bercuti hari raya di kampungnya Temerloh. Hanya ucapan salam sahaja yang sempat aku titipkan melalui jiran sebelah rumah Allahyarham.

Ustaz Raffli, budi mu amat besar kepada ku sekeluarga untuk aku lupakan. Tegas mu amat teguh untuk aku abaikan. Mesra mu amat tinggi untuk aku pinggirkan. Segalanya aku nukilkan di sini dengan linangan air mata.

Moga keluarga Allahyarham dapat meneruskan kekuatan hidup tanpa jasad Allahyarham disisi mereka. Aku tahu jiwa Allahyarham tetap bersama keluarga beliau. Ilmu dan didikan Allahyarham kepada 4 orang anak lelakinya akan terus meresap di jiwa mereka. Yang sulung sedang mendalami pengajian di Mesir. Mengikut cerita jirannya baru minggu lepas anak sulungnya bertolak kembali ke Mesir selepas pulang bercuti bersama keluarga.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh golongan syuhada’ yang dijanjikan syurga. Ustaz Raffli, pergi mu tetap ku kenang. Hanya Alfatihah dan doa yang mampu aku hadiahkan. Moga pahalanya sampai kepada mu di sana. AlFatihah.

30 comments

Leave a reply

CommentLuv badge

This blog is kept spam free by WP-SpamFree.

%d bloggers like this: