More

    3 Waktu Berdoa Dalam Solat

    gambar orang sembahyang
    Solat adalah tiang agama

    السلام عليكم ورحمة الله….

    Salam Jumaat kepada semua.

    Antara sedar tak sedar banyak juga aku dah kongsikan tentang tips dan petua berdoa supaya cepat makbul. Antaranya ialah entri Kelebihan berdoa selepas waktu asar di hari Jumaat dan bagaimana selawat menjadikan kita seorang yang hebat. Anda juga boleh mencari banyak lagi entri tentang ini di bawah tag DOA.

    Ni ada lagi satu info tentang waktu yang sesuai untuk kita berdoa di dalam solat. Berdoa hendaklah di dalam hati sahaja kerana ditakuti akan terbatal solat bila doa yang bukan daripada bacaan dalam solat di baca dengan kuat.

    Antara 3 waktu yang mustajab menyerahkan harapan dengan berdoa kepada Allah di dalam solat ialah:

    1. Ketika membaca surah Al-Fatihah

    makna surah alfatihah

    Hadith Qudsi:

    Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan satu solat tanpa Ummul Quran (Al-Fatihah) maka beliau seorang penipu (diulang tiga kali), (iaitu) tidak sempurna.”

    Lalu ditanya (oleh orang) kepada Abu Hurairah : “Sesungguhnya (jika) kami bersolat di belakang imam?”

    Kata Abu Hurairah r.a : “Bacalah untuk diri mu kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda” : “Allah Ta’ala berfirman : Aku membahagikan solat itu antara-Ku dengan hamba-Ku kepada dua bahagian dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya (permintaannya dikabulkan).

    Apabila si hamba membaca : Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam,
    Allah Ta’ala berfirman : Hamba-Ku memuji-Ku.

    Apabila si hamba membaca : Yang Maha Pemurah dan Pengasih,
    Allah Ta’ala berfirman : Hamba-Ku memuja-Ku.

    Apabila si hamba membaca : Penguasa hari pembalasan,
    Allah berfirman : Hamba-Ku mengagungkan Daku, hamba-Ku menyerahkan (urusannya kepada-Ku).

    Apabila si hamba membaca : Kepada-Mu kami menyembah dan kepada-Mu kami memohon pertolongan,
    Allah Ta’ala berfirman : Ini adalah antara-Ku dan hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya.

    Apabila si hamba membaca : Tunjukilah kami ke jalan yang lurus, jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat dan bukannya jalan orang-orang yang Engkau murkai dan orang-orang yang sesat,
    Allah berfirman : Ini adalah untuk hamba-Ku dan untuk hamba-Ku apa yang dipintanya.”

    (Sahih. Dikeluarkan oleh Muslim, Imam Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Baihaqi dll)

    Semasa ataupun selepas membaca “iyyaaka na’budu wa iyyaha nasta’in” niatkan dalam hati akan hajat kita. Begitu juga semasa ataupun selepas membaca ayat seterusnya hingga akhir surah Al Fatihah.

    Sesungguh waktu solat adalah waktu kita paling dekat dengan Allah. Pasti doa kita lebih mudah diperkenankan.

    2. Ketika sujud

    gambar orang sujud

    Sabda Nabi:

    “Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.”
    (Riwayat Muslim).

    Ketika sujud boleh niatkan di dalam hati doa kita.

    3. Selepas bacaan tasyahud (tahiyyat) sebelum beri salam

    gambar duduk tasyahud

    Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

    “Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.”
    (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

    Demikian antara waktu berdoa dalam solat yang paling mustajab. Sebenarnya banyak doa-doa yang kita baca di dalam solat. Cuma kena perlu tau maknanya.

    Belajarlah dan hafal makna-makna bacaan dalam solat. Ia akan menjadikan solat kita lebih bermakna. Ia juga pasti akan mendatangkan rasa khusyuk kita di dalam solat dan pastinya akan menjadikan solat kita lebih berkualiti.

    Apa yang penting dalam berdoa adalah yakin Allah akan makbulkan, bersungguh-sungguh dalam berdoa dan beristiqamah.

    Benarlah sabda Rasulullah:

    “Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.”
    (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

    Semoga kita semua mendapat nikmat khusyuk dalam solat dan semua doa kita cepat dimakbulkan oleh Allah.

    Moga sama-sama mendapat manfaat dan tolong sebarkan supaya semua mendapat manfaat. Selamat beramal.

    Latest articles

    Related articles

    24 Comments

    Leave a Reply to Hazmin Hamudin Cancel reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    CommentLuv badge