More

    Aku Menulis Bukan Kerna Nama

    Assalamualaikum dan salam sejahtera

    Alhamdulillah. Segalanya berjalan lancar sejak 9 bulan yang lalu apabila saya memulakan hobi baru ini iaitu berkongsi idea dan cerita melalui blog.

    Bermula daripada kosong dengan tidak tahu apa yang hendak dikongsi, bagaimana untuk menambahbaik blog dengan plugin dan bagaimana untuk menarik traffic, saya sedikit sebanyak belajar sendiri dengan pertolongan Pakcik Google, Sifu Mr Jocko dan beberapa orang lagi blogger otai seperti Denaihati, Ariffshah, Daddydee dan lain-lain. Akhirnya hari ini saya sudah tahu sedikit sebanyak berkenaan blogging dan sudah mempunyai imej tersendiri berkenaan dengan ilmu yang hendak dikongsi. Saya juga telah mempunyai 2 blog; satunya lebih bersifat peribadi iaitu sohoque.com ini dan yang satu lagi, cakna wang, lebih kepada perkongsian ilmu perancangan kewangan dan kerjaya sebagai consultant di dalam bidang tersebut. Saya juga telah berjaya mewujudkan satu page di facebook sebagai medan untuk perkongsian ilmu dan alhamdulillah page sohoque.com telah mendapat “LIKE” yang banyak daripada kawan-kawan facebook dan pembaca blog.

    Pernah saya tertanya: “ada ke orang nak baca tulisan aku di blog ni?”.

    Sambil tersengih saya menjawab sendiri: “lantak la orang baca ke tidak janji aku dapat kongsi secebis ilmu yang aku ada. Aku menulis bukan kerna nama pun. Harap-harap ilmu yang baik yang aku kongsi dapat memberi manfaat kepada orang lain dan sekaligus memberi aku manfaat tatkala aku sudah tiada lagi di dunia ini”.

    Berbekalkan “semangat lantaklah” itu saya beristiqamah hingga ke saat ini. Dan sekarang saya sudah mempunyai purata pembaca yang boleh saya banggakan untuk seorang blogger picisan.

    Saya menulis dan berkongsi ilmu dengan IKHLAS. Aku menulis bukan kerna nama. Bukan habuan di dunia sahaja yang saya harapkan. Habuan akhirat yang lebih utama. Ilmu yang baik yang saya kongsikan diharap dapat diperkembangkan dan menyumbangkan kepada “passive income” untuk saya di alam barzakh nanti.

    Hadis Rasulullah s.a.w :

    “Apabila matinya seorang anak Adam, terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang dimanfaatkannya dan doa anak yang soleh kepadanya”

    (Hadis sahih riwayat Abu Daud)

    Kepada para pembaca, jika ilmu yang dikongsikan dirasakan dapat memberi manfaat kepada orang lain maka saya persilakan untuk dikongsikan ataupun share di sebarang medium yang anda sertai,samada di facebook, twitter, forum dan lain-lain lagi.

    Juga amat berbesar hati saya jika tulisan saya yang tuan puan kongsikan itu diberi kredit kepada saya dengan meletakkan link ke blog saya ataupun dengan memberikan penghargaan dengan meletakkan sumber rujukan ke blog saya. Saranan ini bukan untuk riak dan sebagainya kerana aku menulis bukan kerna nama. Tetapi ianya digalakkan begitu untuk menjadikan blog ini semakin bertambah bilangan pengunjungnya. Apabila ramai pembaca, ilmu yang dikongsikan akan sampai ke ramai orang. Pembaca ini pula akan berkongsi dengan kawan-kawan mereka juga. Kesannya masyaAllah, berganda-ganda.

    Jadi tuan puan para pembaca akan dapat juga pahala “ilmu yang dimanfaatkan” dengan usaha tuan puan berkongsi sambil meletakkan sumber rujukan ke blog ini.

    Akhir sekali, saya berharap segala apa yang dizahirkan di dalam blog ini akan dapat memberi manfaat kepada semua. Saya juga berdoa semoga blog ini terhindar daripada perkara-perkara maksiat seperti gambar-gambar seksi dan tidak menutup aurat, fitnah-fitnah, komen-komen buruk dan lain-lain perkara yang tidak baik.

    Wallahua’lam. Segala yang baik itu adalah dariNya. Dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan saya sendiri sebagai manusia yang amat kerdil.

    Aku menulis bukan kerna nama…”

    Posted from WordPress for Android

    Latest articles

    Related articles

    3 Comments

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    CommentLuv badge