More

    Amalan Bulan Ramadhan | Ikut Senarai Ni Untuk Dapat Mendapat Lailatul Qadar

    Alhamdulillah. Kita masih diberi kesempatan oleh Allah swt untuk bertemu lagi dengan bulan Ramadhan kali ini. Bulan yang penuh keberkatan ini adalah waktu yang dinantikan oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Banyak kelebihan bulan Ramadhan yang merupakan bulan suci yang penuh dengan rahmah dan berkah. Bulan ini adalah merupakan kesempatan untuk kita memperbaiki diri serta mempereratkan hubungan dengan Allah SWT. Namun, dalam keterujaan kita untuk merebut pahala yang banyak di dalam bulan ini, ada di antara kita yang tidak tahu, terlupa ataupun keliru apakah amalan bulan Ramadhan yang perlu dilakukan untuk merebut pahala dan keredhaan Allah. 

    Dalam artikel ini, kita akan membahas beberapa amalan penting yang harus dilakukan di bulan Ramadhan untuk meningkatkan keimanan kita. Kalian boleh jadikan ini sebagai checklist ataupun senarai amalan bulan Ramadhan yang boleh kalian ikuti sebagai panduan harian. Amalan ini boleh dikatakan yang paling asas. Jika kalian mampu tambahkan lagi amalan kalian, ianya adalah lebih baik. Apa-apa pun lakukanlah mengikut kemampuan kita dengan Ikhlas mengharapkan keredhaan dari Allah.

    Senarai amalan bulan Ramadhan 

    1. Solat Tahajjud

    Kalau boleh jangan tinggalkan Solat Tahajjud ini di bulan Ramadhan. Ini adalah kerana solat ini bukan mudah untuk dilakukan kepada yang tidak biasa melakukannya kerana solat tahajjud ini ada syaratnya. Syarat untuk melakukan solat Tahajjud ialah, kita kena tidur dahulu. Dan waktu yang terbaik untuk melakukan solat tahajjud ini adalah di waktu sepertiga malam. Jadi jika malam-malam biasa yang bukan di malam bulan Ramadhan, waktu ini ialah waktu yang kita enak diulit mimpi. Jadi ia mungkin sedikit sukar untuk kita bangun malam untuk mengerjakannya. Ia memerlukan keazaman dan semangat yang tinggi dan jitu daripada kita.

    Namun di bulan Ramadan ini, ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk kita bangkit di sepertiga malam untuk mengerjakan solat tahajjud. Sebabnya memang kita akan bangkit dari tidur juga untuk kita bersahur. Jadi kita bangkit awal sedikit untuk melakukan solat tahajjud sebelum kita makan sahur. Contohnya, jika kita biasa makan sahur pukul 5 pagi, kita bangun awal setengah jam untuk kita lakukan solat tahajjud dahulu.

    Lakukanlah sekurang-kurangnya 2 rakat. Jika boleh tambah, lebih elok. Orang yang biasa dengan solat tahajjud ini, hatinya akan lebih kuat berpegang dengan tali Allah. Dia tidak akan mudah berputus asa. Dia tidak mudah bersedih pilu. Doa orang yang biasa bersolat tahajjud juga mudah dimakbulkan oleh Allah.

    Solat Tahajjud adalah solat sunat yang dilakukan setelah tidur malam (wajib tidur walauoun sekejap), namun sebelum masuk waktu Subuh. Waktu paling terbaik adalah di sepertiga malam. Amalan ini sangat dianjurkan dalam Islam, terutama pada bulan Ramadhan, kerana membantu menguatkan iman dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

    “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. (Al-Isra’: 79)

    2. Bersahur

    Bersahur adalah amalan penting yang harus dilakukan oleh setiap orang yang berpuasa. Ia adalah persediaan untuk kita sebelum memulai puasa seharian penuh. 

    Bersahur ini adalah sunnah. Nabi kita menggalakkan ummatnya untuk bangun bersahur.

    Sabda nabi:
    “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

    Jadi bersahurlah. Selain daripada ia membantu badan kita terus segar dan kuat menempuh seharian tanpa makan dan minum, ia juga dijanjikan keberkatan padanya

    3. Solat Qabliyah Subuh – 2 rakaat

    Seperti namanya, Solat Qabliyah Subuh adalah solat sunat yang dilakukan sebelum solat Subuh. Ia juga dipanggil Solat Sunat Fajr. Solat dua rakat ini adalah solat rawatib yang paling utama berbanding solat rawatib yang lain.

    Nabi sendiri tidak pernah meninggalkan solat sunat Subuh ini. Pahalanya Amat besar sepertimana hadith baginda:

    “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. [Riwayat Muslim (725)]

    4. Solat Subuh berjamaah

    Selesai solat sunat Subuh, maka tunaikanlah pula Solat Subuh secara berjemaah. Jika pahala solat sunat subuh sudah sebegitu besar, apatah lagi solat fardhu subuh. Digandakan lagi kerana dilakukan secara berjemaah. Digandakan lagi kerana dilakukan di bulan Ramadan. Subhanallah. Banyaknya pahala..!

    5. Baca Quran – 4 mukasurat

    Bulan Ramadan adalah bulan diturunkan Al Quran. Jadi antara amalan bulan Ramadhan yg amat disarankan ialah banyakkan membaca Al Quran. Jika boleh, khatamkan satu Quran di bulan Ramadan ini.

    Nampak seperti sukar. Tapi ada caranya untuk khatam satu Quran semasa bulan Ramadan. Caranya ialah kena ada perancangan dan kena ikut perancangan dengan disiplin yang tinggi. Ia boleh dicapai dengan memaksa diri membaca 4 mukasurat Al Quran setiap kali selepas solat Fardhu.

    Boleh baca penerangan lanjut: https://sohoque.com/tips-khatam-al-quran-di-bulan-ramadhan/

    6. Solat Dhuha (minima 2 rakaat)

    Solat Dhuha adalah solat sunat yang dilakukan setelah matahari terbit dan sebelum masuk waktu Zohor. Solat sunat ini juga antara solat sunat yang utama dan disarankan untuk dijadikan amalan.

    Dikatakan solat sunat Dhuha ini adalah amalan untuk menjemput rezeki. Apa-apa pun, niat yang paling utama adalah untuk mengikut sunnah nabi dan mendapatkan keredhaan Allah.

    Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

    أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

    Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]

    7. Solat Qabliyah Zohor – 4 rakaat

    Solat Qabliyah Zohor adalah solat sunat yang dilakukan sebelum solat fardhu Zohor. Solat ini boleh dilakukan sebanyak 2 dan 4 rakaat. Nabi saw melakukan solat sunat sebelum solat fardhu Zohor ini sebanyak 2 dan 4 rakaat. Buatlah 4 rakaat jika mampu, moga Allah lipat gandakan pahala sempena bulan Ramadan.

    8. Solat Zohor berjamaah

    Solat Zohor berjamaah. Lebih baik jika dapat dilakukan di masjid.

    9. Solat Ba’diyah Zohor – 4 rakaat

    Sepertimana solat sunat sebelum zohor, solat sunat selepas zohor ini juga boleh dilakukan sebanyak 4 rakaat walaupun boleh sahaja dilakukan sebanyak 2 rakaat. 2 rakaat pertama solat sunat ba’diyah Zohor adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut.

    10. Baca Quran – 4 muka surat

    Selesai solat sunat selepas Zohor, luangkan masa sejenak untuk membaca Al Quran sebanyak 4 muka surat seperti dalam perancangan.

    11. Solat Qabliyah Asar – 2 rakaat

    Solat Qabliyah Asar dilakukan sebelum menunaikan Solat fardhu Asar. Ia dilakukan sebanyak dua rakaat dan sangat dianjurkan untuk dilakukan pada waktu ini.

    12. Solat Asar berjamaah

    Selepas menunaikan Solat Qabliyah Asar, sambungkan terus dengan Solat Fardhu Asar sebanyak 4 rakaat secara berjemaah.

    13. Baca Quran 4 muksurat @ 8 muksurat

    Selepas menunaikan Solat Fardhu Asar, sambung lagi baca Quran empat muka surat. Jika ada kesempatan masa, teruskan pembacaan sehingga 8 muka surat. Ini kerana dibimangi tiada kesempatan masa untuk membaca Quran selepas solat Maghrib nanti.

    Jarak masa antara maghrib dan Isyak agak singkat. Masa mungkin banyak dihabiskan dengan menjamu selera berbuka puasa. Jadi tidak banyak masa yang tinggal untuk membaca Quran selepas Maghrib.

    14. Buka puasa tepat pada masanya.

    Nabi SAW pernah bersabda:

    لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

    Maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

    amalan bulan ramadhan - sunat berbuka dengan kurma

    Berbuka puasalah pada waktu yang ditetapkan. Melewatkan berbuka adalah makruh hukumnya.

    Baca: https://explorasa.my/2019/03/buffet-ramadhan-2019-best-western-i-city-shah-alam/

    15. Solat Fardhu Maghrib berjamaah

    Setelah berbuka puasa, teruskan dengan menunaikan Solat Maghrib secara berjemaah. Kalau boleh berjemaah di masjid lebih afdhal. Kalau tak sempat buatlah di rumah bersama-sama keluarga.

    16. Solat Ba’diyah Maghrib – 2 rakaat

    Selepas menunaikan Solat Fardhu Maghrib berjemaah, lakukanlah pula Solat Ba’diyah Maghrib sebanyak dua rakaat. Ini untuk menampung kekurangan kesempurnaan solat maghrib tadi, InsyaAllah.

    17. Solat Qabliyah Isyak – 2 rakaat

    Solat Qabliyah Isyak dilakukan sebelum menunaikan Solat Isyak. Selepas azan, bersegeralah bangun untuk selesaikan dua rakaat solat sunat ini.

    18. Solat Isyak berjamaah

    Waktu ini kita biasanya sudah berada di masjid. Sebabnya selepas solat sunat Ba’diyah Isyak nanti, kita akan mulakan bersolat sunat Terawih beramai-ramai.

    19. Solat Ba’diyah Isyak – 2 rakaat

    Setelah menunaikan solat Isyak berjamaah, disarankan untuk mengerjakan 2 rakaat solat sunat Ba’diyah Isyak sebelum memulakan Solat Sunat Terawih.

    20. Solat Terawih

    Solat Terawih adalah solat sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan selepas solat Isyak. Kalau boleh, kita jangan tinggal solat Terawih ini. Walaupun ianya adalah sunat sahaja, tetapi solat ini amat sinonim dengan bulan Ramadhan. Ia tiada di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Ia salah satu aktiviti menghidupkan malam di bulan Ramadhan.

    amalan bulan ramadhan - solat terawih

    Solat sunat Terawih ini ada yang dilakukan sebanyak 8 rakaat dan ada yang dilakukan sebanyak 20 rakaat. Yang ni ikutlah keikhlasan kita. Jika rasa nak buat 8 rakat, buat 8 rakaat. Tak perlu persoalkan yang nak buat 20 rakat. Yang mampu buat 20 rakaat, buatlah 20 rakaat. Tak perlu Pandang sinis yang buat 8 rakaat. Biarlah Allah menilai semua amalan kita.

    21. Baca Quran – 4 muka surat

    Lepas solat sunat Terawih, baca lagi Al Quran sebanyak 4 muka surat.

    Jadi dări awal pagi tadi sehingga sesudah solat sunat Terawih, kita sebenarnya sudah membaca 20 muka surat. Ia adalah bersamaan dengan 1 juzuk Al Quran.

    Sehari 1 juzuk. 30 hari kita berpuasa, kita akan membaca 30 juzuk. Maknanya kita akan berjaya khatam satu Quran di dalam bulan Ramadhan. Senang jer kan nak khatam Quran di bulan ramadhan!

    Apa yang penting adalah kemahuan, perancangan dan disiplin kita untuk khatamkan Quran di bulan Ramadhan.

    Amalan Bulan Ramadhan, Buatlah Seikhlas Mungkin

    Inilah beberapa amalan penting yang boleh kita lakukan pada bulan Ramadhan. Buatlah semuanya sekiranya mampu. Jika tidak, jangan tinggalkan semua..!

    Dengan melakukan amalan – amalan bulan Ramadan inii, kita akan dapat memaksimumkan pahala dan mendapatkan keberkatan dari bulan yang mulia ini. Perlu diingat, ini sebenarnya adalah amalan dan checklist yang asas sahaja. Banyak lagi tambahan amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan untuk menambah ibadat kita kepada Allah.

    Oh ya.. satu lagi yang amat penting dan perlu dilakukan sebagai amalan bulan Ramadhan kita. Ia adalat bersedeqah. Bersedeqahlah walaupun sedikit setiap hari di bulan Ramadhan. Pahalanya berlipat kali ganda. Terutama kita bersedeqah memberi orang makan / berbuka puasa. Pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa yang menerima sedeqah kita tadi tania sedikit pun terkurang.

    Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

    مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

    Maksudnya: “Siapa yang member makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”

    MasyaAllah.. untungnya bersendeqah di bulan Ramadhan ini. Rugilah kita kalau tidak merebut peluang ini!

    Marilah kita menambah dan memperbaiki amalan kita pada bulan Ramadhan ini dan memohon agar Allah SWT menerima segala amalan kita seadanya. Semoga dengan amalan puasa kita ini dapat membawa kita ke syurga kelak. Ameen Ya Rabbal ‘Alameen

    Wallahualam

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    CommentLuv badge