3

Bazar Ramadhan Atau Bazir Ramadhan

Bulan Ramadhan dikenali sebagai bulan pesta ibadat ataupun bulan pesta mencari pahala. Sebab itu kita dapat lihat di surau-surau atau di masjid-masjid tempat kita, akan ada muka yang selama ini kita macam tidak pernah lihat. Tetapi di bulan Ramadhan muka ini selalu sahaja hadir untuk solat terawih. Tak pe lah. Ini sudah bagus. Sekurang-kurangnya dia mengambil peluang menambahkan ibadat di bulan Ramadhan. Apa yang kita harapkan adalah supaya selepas Ramadhan ini pun muka-muka ini akan terus datang ke surau ataupun masjid.

Selain itu, bulan ini juga terkenal di kalangan rakyat Malaysia sebagai bulan Bazar Ramadhan. Tiba sahaja bulan Ramadhan akan muncullah tapak-tapak bazar Ramadhan di sana sini. Sambutannya amat menggalakkan sekali. Antara faktornya mungkin kita tidak sempat menyediakan makanan untuk berbuka puasa kepada keluarga dek kerana waktu kerja yang habis lewat. Jadi ini adalah alternatif terbaik.

Bazar Ramadhan juga membuka peluang-peluang berniaga kepada orang ramai. Ini akan sedikit sebanyak menolong mereka untuk mendapatkan duit lebih untuk persediaan menyambut Syawal. Wang yang lebih ini juga mungkin membuka ruang untuk mereka bersedeqah dengan kadar yang lebih sedikit dari hari-hari biasa.

Tetapi dalam pada itu ada yang tak bagusnya. Orang ramai yang pergi ke bazar Ramadhan ini ramai (tetapi bukan semua ya…) yang tidak dapat mengawal nafsu melihat makanan yang pada dasarnya enak di mata mereka. Hasilnya mereka membeli lebih daripada yang diperlukan oleh perut mereka. Natijahnya lagi bila waktu berbuka hanya sedikit yang disentuh dan banyak yang dibuang. Ini mengundang kepada tabiat membazir. Dan membazir ini adalah amalan Syaitan. Jadi orang ramai yang pergi ke bazar Ramadhan hendaklah mengawal nafsu membeli mereka. Ini jihad yang pertama.

Oleh kerana ramainya orang di bazar Ramadhan, akan ada berbagai cara berpakaian. Yang menjadi masalahnya apabila mereka yang pergi itu adalah yang tidak menutup aurat. Banyak yang terdedah di sana sini apabila kain atau seluar dan baju yang dikenakan tidak cukup ukurannya. Maka berlakulah pembaziran pahala. Jadi orang yang pergi ke bazar Ramadhan perlu juga melawan nafsu mata ini. Ini jihad yang kedua.

Untuk peniaga bazar Ramadhan pula, makanan yang disediakan terhias indah. Namun bila dijamah semasa berbuka lain pula ceritanya. Kalau terlebih masin atau tawar sedikit mungkin kita boleh bertolak ansur, ini tidak.. Kadang-kadang memang qualitinya hancur! Nasi keras tidak cukup masak adalah perkara biasa. Lauk yang hampir basi (mungkin lauk semalam yang tak habis) juga dijual.Akibatnya sakit perut pula yang datang. Dan yang paling penting ialah, harga lauk pauk dan kuih muih di bazar ini bukan murah! Mahal semacam je! Jadi di sini berlaku pembaziran duit. Peniaga perlu jujur dan memberi yang terbaik untuk pelanggan biar setimpal dengan harga makanan. Ini bukan dilakukan oleh semua peniaga ya. Nanti ada pulak yang marah 🙂 . Ini jihad yang ketiga ditujukan khas buat peniaga.

Bulan Ramadhan ini juga sebenarnya melatih kita supaya berjimat cermat. Berbelanjalah sekadarnya. Lebih baik duit yang lebih itu kita sedeqahkan. Lagi banyak pahala yang kita dapat.

Sedarlah disaat kita bermewah-mewah berbuka puasa ada insan yang masih berpuasa kerana tiada makanan untuk dimakan.

Artikel ini bukanlah mengajak kita memboikot bazar Ramadhan. Tetapi menyeru kita supaya lebih berhati untuk ke bazar Ramadhan. Banyak perkara yang harus dijaga di sana seperti berjimat cermat dalam membeli, menjaga padangan mata dan lain-lain.

Jom sama-sama kita mengelakkan bazar Ramadhan daripada menjadi bazir Ramadhan. Wallahua’lam.

 

Komen sohoque:

Baru sekali menjejaki bazar Ramadhan setakat ini. Itu pun bazar Ramadhan yang kecil jer. Ada lebih kurang 10 gerai jer kot. Beli nasi dagang sebab tengok kuah ikan tongkolnya agak mantap. Tapi bila berbuka nasi dagangnya keras!!! langsung tak boleh makan 👿

Show Comments

2 Comments

  1. Pingback: Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak. July 10, 2013
  2. faizal July 9, 2014

Leave a Reply

%d bloggers like this: