Belasungkawa Abah, Moga Tenang Di Sana…!

6
694

Innalillahi wainna ilaihi raajiuun..

Allahummaghfirlahu warhamhu waafihi wakfu anhu. Moga roh Abah ditempatkan dikalangan para hambaNya yang soleh..

Dah berapa kali nukilan ini terhenti. Tak mampu nak teruskan. Taip jer genangan air mata mula hadir. Ni pun dah berapa kali air mata Abam Hoq seka.

Orang meja sebelah di restoran RnR Bistro ni semacam menjeling ke arah Abam. Mungkin beliau perasan Abam berulangkali menyapu sesuatu di mata. Ahhh pedulikan lah..

Semalam kami menerima berita pemergian Abah di Kuantan. Beliau bukanlah ayah Abam. Ayah Abam dah lama dijemput ilahi. Abah ni ialah insan yang banyak membantu menjaga anak-anak Abam sewaktu bermastautin di Kuantan dulu.

Insan yang bernama Idrus bin Abd Majid ini sangat merendah diri dan tawadhuk orangnya. Tidak pernah membesar diri. Hanya bercakap bila perlu sahaja. Mulutnya sering menguntum senyuman. Tutur katanya berlapik dan tidak pernah meninggi suara.

Solat 5 waktu beliau adalah berjemaah di surau berhampiran dengan rumahnya jika beliau tidak masuk hutan. Beliau berkerja di Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang memerlukan beliau masuk hutan pada setiap bulan.

Kami diperkenalkan dengan keluarga ini juga oleh seorang yang baik, Allahyarham Ustaz Rafli, jiran depan rumah kami ketika itu. (Allahyarham Ustaz Rafli, pegawai Jabatan Agama Negeri Pahang yang meninggal akibat ditembak oleh ahli ajaran sesat yang sedang disiasat oleh almarhum). Masih Abam ingat, masa ni Abam terlibat dalam satu kemalangan yang agak teruk. (Ada Abam ceritakan di status yang lepas)

Dengan persetujuan Abah dan Mak (isteri Allahyarham), urusan penjagaan anak sewaktu kami berkerja dipermudahkan. Keluarga ini tak pernah berkira. Kadang-kadang kami ambil anak lambat kerana sesuatu urusan. Tapi mereka tidak pernah berkira.

Iqbal dan Iffah yang dilahirkan di Kuantan sempat dijaga oleh Abah dan Mak. Iqbal la yang paling lama. Daripada kecil sehingga berumur 7 tahun. Iffah sempat juga dijaga beliau sehingga umur 4 tahun sebelum kami berpindah ke Selangor ni.

Argggghhh.. airmata mengalir lagi..!!! (Tarik nafas dalam-dalam.. hembuuusss..)

Tadi Iqbal telefon. Abam ada bagitau dia yang Abah dah meninggal. Terdiam Iqbal beberapa detik. Terdengar halus dihujung smartphone dia menuturkan “innalillahi wainna ilaihi raajiuun”.

Kenangan dengan Abah, iqbal yang paling banyak rasa. Petang-petang macam ni Abah akan membawa naik motor pusing sekeliling Kawasan perumahan. Kenangan itu masih dia ingat dan cerita sampai sekarang.

Paling kami terkilan, kami ada niat nak ziarahi Abah dan Mak sekeluarga daripada hari raya puasa dulu lagi. Tapi biasanya hari raya mereka akan pulang ke kampung mereka di Pekan Pahang. Jadi tertangguh sampai sekarang. Minggu lepas anak kedua mereka melangsungkan perkahwinan, kami tak dapat turut serta kerana Iffah tengah UPSR. Memang tiada jodoh kami nak melihat Abah buat kali terakhir.

Jujur Abam katakan, pemergian Abah ni sangat menyentuh hati kami. Keluarga ini kami dah anggap seperti saudara rapat kami sendiri. Sungguh.. Hubungan kami lebih daripada seorang jiran dan penjaga anak kami. Malah ianya seperti keluarga sendiri.

Tadi Mak telefon zaujah Abam. Abah meninggal tiba-tiba katanya. Tengah sihat-sihat sahaja. Walaupun sebelum ini Abah pernah dimasukkan ke wad kerana masalah jantung. Rupanya Pakcik Pa, jiran sebelah rumah Abah juga baru meninggal dunia. Jasad Abah dikebumikan sebelah pusara Pakcik Pa.

Sabtu ni kami akan ke Kuantan melawat keluarga ini. Kebetulan Iqbal pulang bermalam daripada asrama.

Moga Abah tenang di sana. Mohon sahabat sedeqahkan Alfatihah untuk Abah…!

Arrgghhh basah 3 helai tisu.. Terpaksa tawaqquf dulu. Terpaksa ambil Iffah dan Ifza daripada sekolah..

Mohon sedekahkan al-fatihah untuk arwah Idrus bin Abd Majid..

6 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here