Dah Bayar Zakat Perniagaan Ke Tu? Jangan terlepas Info ni..!

3
536

Zakat amat penting dalam Islam sehinggakan ia diletakkan sebagai rukun Islam ke 4. Ia adalah salah satu “tiang” daripada 5 tiang yang mendokong agama Islam. Tiada tiang satu ini tidak lengkap diri seseorang sebagai seorang muslim.

Selepas kewafatan nabi Muhammad SAW, saidina Abu Bakar dilantik dengan sebulat suara menjadi khalifah. Antara usaha-usaha utama saidina Abu Bakar untuk mengembalikan kegemilangan Islam ialah memerangi golongan yang ingkar dan menolak untuk membayar zakat.

Ini menunjukkan betapa pentingnya zakat di dalam Islam. Ia bukannya ciptaan pemerintah, malah ia adalah perintah Allah yang banyak kali disebut dan diperintahkan secara jelas di dalam al quran. Perintah berzakat yang disebut di dalam Al-quran adalah sebanyak 35 kali dan 32 diantaranya digandingkan dengan kata “solat”. Contohnya Firman Allah S.W.T;

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk”.
(Surah Al-Baqarah 2:43)

Kepentingan zakat dalam Islam

1. Kekuatan Ekonomi

Kewajipan berzakat ini memberikan impak dan implikasi yang amat besar kepada masyarakat. Melalui zakat, ekonomi ummat Islam akan bertambah teguh dengan proses pengagihan harta yang sangat adil daripada yang berkemampuan kepada 8 golongan asnaf yang kurang berkemampuan.

2. Pembersihan Harta

Zakat merupakan alat untuk membersihkan harta yang kadangkala kita perolehi daripada sumber yang kita tidak ketahui kebersihannya. Jadi dengan berzakat ianya dapat membersihkan harta dengan menginfaqkan sebahagiannya kepada yang memerlukan. Sesungguhnya dalam harta kita ada harta orang lain.

Firman ALLAH SWT:
“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan menyucikan mereka.”
(Surah al-Taubah, ayat 103).

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya ALLAH SWT mewajibkan zakat sebagai penyucian harta.” (Riwayat al-Bukhari)

Jenis-jenis zakat

Ada 2 jenis kategori zakat dalam Islam:

  1. Zakat Fitrah
  2. Zakat Harta

Zakat harta ini pula diperincikan lagi dengan membahagikannya kepada beberapa kategori harta:

  1. Zakat Pendapatan
  2. Zakat Perniagaan
  3. Zakat Pelaburan
  4. Zakat Emas dan Perak
  5. Zakat Wang Simpanan
  6. Zakat KWSP
  7. Zakat Takaful

Untuk perkongsian kali ini Abam Hoq akan perincikan kepada zakat perniagaan.

Apa itu Zakat Perniagaan

Zaman sekarang, ramai yang terlibat dengan perniagaan. Ditambah pula dengan kemudahan Internet, semakin ramai yang menceburi bidang perniagaan terutama perniagaan di dalam talian.

peniaga online pun diwajibkan zakat perniagaan jika cukup syarat

Namun, jumlah peniaga yang membayar cukai perniagaan tidak selari dengan jumlah yang memiliki perniagaan. Jadi Abam Hoq terpanggil untuk berkongsi tentang Zakat ini.

Zakat Perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan.

Ia sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.

Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
(Surah Al-Baqarah : Ayat 267)

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap Muslim bersedekah (zakat)”. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.” Mereka bertanya, ” Kalau tidak mempunyai pekerjaan?”. Baginda bersabda, “Tolonglah mereka yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Bagaimana pula jika tidak berkuasa?”. Baginda menjawab, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah”.
(Hadis riwayat Muslim)

Syarat Wajib Zakat Perniagaan

Bukanlah asal kita ada perniagan saja, semuanya diwajibkan zakat. Islam itu adil. Ada syarat-syarat bagi perniagaan yang dikenakan zakat. Ini adalah syarat-syaratnya:

1. Muslim

Perniagaan yang mempunyai pemilikan bercampur antara Muslim dengan bukan Muslim, hanya bahagian pemilikan dan kepentingan orang islam sahaja yang dikenakan zakat.

2. Sempurna Milik

Harta yang dikenakan zakat mestilah ada kesempurnaan dari segi pemilikan (hak milik aset) dan keupayaan mengurus (tasarruf) iaitu mempunyai kuasa penuh ke atas harta.

3. Cukup Nisab

Paras minima yang menentukan sama ada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan zakat. Nisab adalah bersamaan dengan nilai 85 gram emas semasa.

4. Cukup Haul

Genap setahun perniagaan. Penilaian harta perniagaan adalah dengan mengambil kira keadaan perniagaan pada akhir haul.

5. Niat Berniaga

Berniat untuk mendapatkan perolehan dan keuntungan. Ia juga perlu dibuktikan dengan amalan. Niat adalah untuk mendapat keuntungan, manakala amalan ialah menjalankan perniagaan. Kedua-dua unsur ini hendaklah wujud bersama secara berterusan.

6. Barang Perniagaan dan Perkhidmatan yang Halal

Perniagaan yang halal sahaja yang diwajibkan zakat. Semua bentuk perniagaan yang haram, sama ada dari segi zatnya seperti arak dan khinzir ataupun perniagaan perjudian dan riba adalah tidak diwajibkan zakat.

7. Harta Berkembang

Harta yang berkembang adalah harta pemilikan yang boleh berkembang secara hakiki atau boleh diusahakan.

8. Bukan Kegunaan Sendiri

Harta tersebut bukanlah untuk kegunaan sendiri

Kaedah pengiraan Zakat Perniagaan

Kaedah pengiraan zakat perniagaan ada dua cara, iaitu:

1. Kaedah Model Berkembang (Growth Model)

Ianya mengambil kira ekuiti pemilik entiti perniagaan tersebut, sumber² pembiayaan kewangan dan dibuat pelarasan sama ada dicampur atau sebaliknya. Di dalam istilah yang lebih mudah difahami ialah modal dicampur dengan keuntungan.

Ekuiti Pemilik + Liabiliti Jangka Panjang – Aset Tetap – Aset Bukan Semasa +/- Pelarasan = Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

2. Kaedah Model Modal Kerja (Working Capital)

Ia mengambil kira kedudukan harta semasa perniagaan ditolak dengan tanggungan semasa perniagaan dan dibuat pelarasan dengan beberapa perkara yang berkaitan dengan zakat yang perlu diambil kira. Pelarasan ini dibuat sama ada dengan mencampurkan item² yang telah dikenalpasti perlu ditambah atau membuat tolakan.

Aset Semasa – Liabiliti Semasa +/- Pelarasan = Harta Perniagaan Yang Tertakluk Kepada Pengiraan Zakat

Bab pengiraan ni mesti ramai yang “blur-blur” dan kurang faham jika hanya membaca penerangan ringkas. Jangan risau, kalian boleh terus klik link >> kalkulator zakat << ni.

Di sana nanti kalian boleh masukkan angka sebenar dan terus kira zakat perniagaan kalian.

Pelepasan Cukai

Ramai yang tertanya-tanya, kalau syarikat bayar cukai, boleh dapat rebet cukai pendapatan atau tidak?

Pembayaran Zakat Niaga bagi syarikat Sdn Bhd, Bhd, Koperasi, badan amanah, GLC dan sebagainya mendapat tolakan terhad 2.5% daripada Pendapatan agregat.

Pelepasan cukai yang diberikan mesti ikut tarikh dan tahun bayar seperti yang tertulis dalam resit. Jika kalian bayar Zakat pada tahun 2020, maka kalian layak dapat pelepasan cukai syarikat untuk tahun 2020.

Tapi jika kalian niat bayar Zakat 2018, bayar di LZS pula tahun 2020, maka takkan dapat pelepasan cukai 2018. Bab niat tu insyaAllah dah terlaksana. Tapi bab cukai tu, ia akan ikut tahun bayaran dibuat. Maka pelepasan cukai/rebet adalah untuk tahun 2020.

Media Sosial Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Kalian boleh “follow” LZS di Media Sosial dan layari laman sesawang untuk dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai zakat.

Website: www.zakatselangor.com.my
Facebook: Zakat Selangor
Instagram: zakatselangor
Twitter: Zakat Selangor
Youtube: Zakat Selangor TV

Semoga dengan perkongsian ini, kalian dapat sedikit sebanyak ilmu serta pencerahan tentang zakat perniagaan. Sama-sama kita menjaga kewajipan berzakat ini tak kiralah kita peniaga kecil mahupun syarikat besar.

Moga dengan kepatuhan dan kesedaran kita dalam membayar zakat ini, ia dapat memberi banyaknya manfaat kepada ummat Islam sejagat dari segi kekuatan ekonomi. Moga ia juga dapat membersihkan harta yang kita perolehi daripada perniagaan kita seterusnya menjadikan ianya lebih berkat.

Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah jua..!

3 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge