More

    Hormati Leader Anda

    Agency team members sedang berbincang bisuness strategy

    Salam.

    Bulan lepas saya diberi kesempatan oleh Allah untuk mengkhatamkan satu buku bertajuk Kisah 4 Imam Mazhab: Imam-imam Yang Benar (Imam Abu Hanifah . Imam Malik. Imam Syafie. Imam Ahmad Bin Hanbal). Susunan: Abdul Latip Talib. Ia berkisar tentang kisah empat imam yang menjadi pendiri empat mazhab Ahli Sunnah Waljamaah. Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal

    Buku ini menceritakan kisah mereka sedari kecil sehingga mereka meninggal dunia. Kisah pembelajaran mereka, kisah keistimewaan mereka, kisah kesengsaraan mereka, dan kisah mereka menentang kebatilan.

    Antara sifat-sifat mereka (selain sifat-sifat istimewa yang dikurniakan Allah seperti ketajaman fikiran dan daya hafalan yang dimiliki oleh Imam Syafie) yang saya amat kagumi ialah mereka amat menghormati insan-insan yang pernah menjadi guru mereka.

    Antaranya yang saya ingat ialah kisah Imam Abu Hanifah dengan seorang lelaki Yahudi. Begini ceritanya:

    seperti biasa pada petang itu orang ramai memenuhi Masjid Kufah bagi mengikuti pengajian ilmu hadith yang disampaikan oleh Imam Abu Hanifah. Sedang beliau mengajar tiba-tiba muncul seorang lelaki dari keturunan Yahudi. Imam Hanafi segera bangun sebagai tanda hormat kepada lelaki itu

    “selamat datang datang wahai guruku. Adakah apa-apa yang dapat saya bantu?” tanya Imam Abu Hanifah sambil menunjukkan rasa hormat.

    “sebentar tadi saya singgah di kedai kamu bagi membeli sehelai baju. Saya tidak cukup duit mahu membelinya kerana harganya di luar kemampuan saya. Pekerja kamu tidak setuju apabila saya minta diturunkan harganya. Kerana itu saya datang dan mengadu kepada kamu,” jawab lelaki itu.

    “selepas habis mengajar nanti saya akan berada di kedai itu. Tuan tunggu saya di sana dan tuan akan mendapat baju itu,” kata Imam Abu Hanifah. Lelaki itu kelihatan gembira lalu beredar dari situ.

    “Tuan guru, bukankah lelaki itu berbangsa yahudi? Mengapa tuan begitu hormat kepadanya hingga berdiri menyambut kedatangannya?” tanya salah seorang anak muridnya.

    “Dia guru saya kerana itu saya menghormatinya,” jawab Imam Hanafi.

    “Apakah tuan pernah berguru dengan lelaki yahudi itu?” tanya seorang lagi dengan rasa kehairanan.

    Menurut Imam Hanafi suatu hari dia hendak mengetahui bilakah masa seekor anjing itu cukup umurnya? Kebetulan lelaki yahudi itu banyak memelihara anjing. Lalu beliau bertanyakannya perkara tersebut.

    “Lelaki itu memberitahu saya seekor anjing itu cukup umurnya apabila ia sudah kencing berdiri. Sesiapa saja yang mengajar saya walau satu ilmu, dia adalah guru saya. Lelaki itu mengajar saya satu ilmu mengenai anjing kerana itu saya menganggap dia juga salah seorang guru saya,” kata Imam Abu Hanifah.

    Selesai mengajar, Imam Abu Hanifah pergi ke kedainya. Dilihatnya lelaki yahudi itu masih berada di situ menunggu kedatangannya. Dengan wajah gembira, dia menunjukkan baju yang hendak dibelinya.

    “Saya berkenan dengan baju ini dan mahu memakainya. Tetapi saya tidak cukup duit untuk membelinya,” kata lelaki Yahudi itu lagi.

    Imam Abu Hanifah mengambil baju itu lalu menyerahkannya kepada lelaki Yahudi itu sambi berkata, “saya hadiahkan baju ini kepada tuan yang pernah mengajar saya satu ilmu.”

    “Saya sendiri sudah lupa apakah ilmu yang pernah saya ajarkan kepada kamu?” tanya lelaki Yahudi itu pula.

    “Mengenai bilakah cukup umur bagi seekor anjing. Tuan mengatakan apabila anak anjing itu pandai kencing berdiri. Bagi saya itu adakah satu ilmu dan tuan adalah guru saya walau mengajar satu ilmu,” jawab Imam Abu Hanifah.

    “Sekiranya begitu, giliran saya pula berguru dengan kamu. Mulai besok bolehkah saya menyertai orang ramai bagi mendengar ajaran kamu?” tanya lelaki Yahudi itu pula.

    “Boleh…,” jawab Imam Abu Hanifah.

    “Cuma saya bimbang dimarahi orang ramai kerana belum Islam,” kata lelaki Yahudi itu.

    “Saya akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai kehadiran kamu. Usah bimbang kerana tiada siapa yang akan mengganggu,” kata Imam Abu Hanifah pula.

    Lelaki Yahudi itu gembira dan berjanji akan datang mendengar majlis ilmu yang disampaikan Imam Abu Hanifah. Imam Abu Hanifah juga gembira sambil berdoa kepada Allah semoga lelaki Yahudi itu mendapat hidayah.

    Begitu juga dengan Imam Malik yang tidak menganggap Khalifah Harun Al-Rashid sebagai seorang khalifah apabila khalifah datang untuk belajar ilmu hadith (kitab Al-Muwatta’) daripadanya. Beliau hanya menganggap khalifah sebagai anak-anak muridnya seperti yang lain. Beliau hanya menyuruh Khalifah Harun duduk di bawah dan beliau duduk di atas sebagai guru.

    Sikap menghormati guru ini sama diamalkan juga oleh Imam Shafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.

    Di sini menunjukkan kita bahawa mulianya darjat seorang guru.

    Sikap dan amalan menghormati guru ini dapat saya hubungkan dengan keadaan kita di dalam bisnes unit trust (UT) ini. Seperti yg semua telah fahami, UT di Malaysia kebanyakannya dipromosikan oleh konsultan-konsultan yang bernaung di Syarikat Pengurus Unit Amanah. Cthnya adalah seperti Public Mutual, CWA, MAAKL, dan sebagainya.

    Syarikat-syarikat ini kebanyakannya mengamalkan system agency di mana apabila seseorang itu ingin mendaftarkan diri sbg Unit Trust Consultant (UTC), beliau haruslah terlebih dahulu memilih agensi mana ataupun leader/upline yang beliau ingin bernaung.

    Dalam sistem agensi sebegini, selain daripada semangat kendiri, konsultan amat memerlukan bimbingan daripada leader/upline untuk berjaya dalam industri ini. Jarang sekali konsultan yang berjaya tanpa bimbingan langsung daripada upline (ada tapi amat jarang). Walaupun lebih separuh faktor kejayaan adalah dari sikap positif UTC sendiri, sumbangan upline tidak dapat dinafikan.

    Ini secara tidak langsung menjadikan upline tersebut sebagai guru dan pembimbing kepada konsultan yang baru tadi. Jadi secara tidak langsung downline tadi kenalah menghormati leader/uplinenya. Kerana dengan bimbingan uplinenyalah (selain dari semangat dalam diri, dan kursus dan latihan daripada pihak syarikat) dia dapat berjaya seperti sekarang.

    Jadi, saya rasa amat tidak patut jika kita “derhaka” kepada upline kita. Cuba kita renungkan, tidak ada langsungkah ilmu yang dia ajarkan kepada kita. Saya cukup yakin jawapannya ADA. Sekurang-kurangnya ilmu tentang industry Unit Trust yang kita ceburi sekarang. Dengan ajakannya lah kita ada dan berjaya di dalam bisnes ini sekarang.

    Jika dia “kurang” cakna kepada kita sebagai downline dia sekalipun, dengan secebis ilmu yang dia telah curahkan kepada kita, cukuplah menjadikan dia sebagai guru kita dan penyebab kita masih berada di dalam bisnes kita ini sekarang.

    Oleh itu, pada pandangan saya ini, amatlah tidak patut kita mengutuk dia. Jika kita tidak puas hati kepadanya sekalipun, lebih baik kita berdiam sahaja. Doakan di dalam hati supaya kita tidak jadi seperti dia bila kita menjadi leader kelak. Jadikan apa yang dibuat kepada kita itu sebagai satu pengajaran yang amat berharga untuk kita belajar supaya tidak kita ulangi sewaktu kita berada di kemuncaknya nanti..

    Dengan terhasilnya artikel ini, saya akan cuba mengubah diri saya yang selama ini sedikit sebanyak menyalahkan “immediate automatic” upline saya. Bila saya renungkan sejenak, saya sebenarnya ada menerima ilmu daripada dia. Walaupun saya kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku tapi saya akan mengambil jalan berdiam diri selepas ini.

    Dengan ini juga saya menyeru kepada kawan Synergy Planner supaya hormati lah guru/upline anda. Janganlah anda bersikap sombong diri apabila sudah berada diatas ataupun sama pangkat dengannya ataupun sudah mendahuluinya. Seboleh-bolehnya jaga kata-kata supaya “guru” kita tidak terasa hati. Elakkan kata-kata seperti : ‘sudah-sudah lah bagi group sales kepada dia, saya pun nak naik AS/AM /GAM jugak ; ataupun menunjukkan sikap di depannya seperti kita tak sabar-sabar nak equalised dengan dia.. Sabar.. akan sampai waktu kita nanti..

    Wallahua’lam.. just my 2 cents..

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    CommentLuv badge