ramai yang sanggup membiarkan ayah jalani proses perubatan secara sendirian tanpa ditemani anak-anak
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari Jumaat, penghulu segala hari datang lagi. Syukur ke hadhratNya kerana kita masih lagi diberi kemudahan pinjaman untuk terus kekal berada di dunia ini iaitu nyawa. Sekurang-kurangnya dapatlah kita membuat kebaikan untuk mengambus dosa-dosa yang kita pernah lakukan.
Tapi itu bagi yang sedar. Bagi yang alpa ia mungkin menambahkan dosa-dosa yang sedia ada. Minta dijauhkan kita dari tergolong di dalam golongan yang rugi tersebut.
Hari Jumaat… Hati memang terasa kelainannya jika tidak disibukkan dengan urusan duniawi. Terasa sayu untuk dekatkan diri padaNya. Entri blog pun diterbitkan untuk kategori agama.
2-3 hari kebelakangan ini ada satu mesej whatsapp yang berlegar-legar di dalam kebanyakan group whatsapp. Mesej tentang nukilan seorang insan bernama Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad tentang bakti kita kepada ibu bapa.
Sekali dibaca sudah merentap sayu hati. Amat benar apa yang dicoretkan. Sayu kerana aku sudah tiada “anak kunci syurga” tersebut. Tiada lagi ibubapa untuk aku curahkan bakti. Mereka dijemput dahulu menemui penciptaNya.
Alfatihah buat roh mereka…
Kepada yang masih ada ibubapa, berbaktilah. Senang sangat nak buat pahala dengan ibubapa ni. Redha Allah di atas redha mereka. Banyak kelebihan untuk orang yang berbakti kepada ibubapa ni…
Aku sertakan sekali mesej yang cukup membawa keinsafan tersebut. Moga ianya dapat menjadi rujukan kepada aku sendiri dan juga kepada pembaca bukan hanya di masa sekarang malah di masa-masa akan datang. Moga ianya boleh membawa keinsafan dan kesedaran kepada kita.
Ini dia mesej whatsapp tersebut:
Beberapa tahun lepas saya menurunkan Mak di depan hospital dan berjanji supaya Mak talipon bila dah semua urusan selesai, Mak menghadiri pemeriksaan biasa bulanan di Hospital Balik Pulau, saya pulang kerumah dan menunggu Mak talipon bila dah siap nanti.
Dalam perjalanan pulang kerumah, saya tiba tiba terkenang suatu ketika dulu ketika saya demam, Mak menggengam erat tangan saya berjalan dari rumah menunggu bas untuk ke hospital, sesekali saya didukung kerana tak kuat berjalan, diatas bas saya baring di ribaan Mak sambil Mak mengusap kepala dan sesekali mengucup dahi saya, di hospital juga ketika menunggu rawatan saya sentiasa didalam pelukan Mak,selesai rawatan, sekali lagi dalam perjalanan ke stesen bas saya didukung, sempat dibawa ke kedai dan Mak cakap ‘adik nak beli apa apa ke’ sampai dirumah saya dipujuk untuk makan ubat, dipujuk dan disuap makan kerana tak lalu makan akibat demam.
Habis saja kenangan itu berlalu difikiran saya segera terus berpatah balik ke hospital,’ hujan lebat didalam kereta’ sampai di hospital terus saya mendapatkan Mak yang sedang termanggu keseorangan menunggu urusan rawatan, saya sembunyikan airmata saya yang ditahan supaya tidak mengalir dihadapan Mak, saya memegang tangan Mak membawa masuk bilik doktor, mendengar penjelasan doktor berkaitan tahap kesihatan Mak, Mendengar nasihat doktor supaya memantau pemakanan Mak, saya memegang tangan Mak ke farmasi dan menunggu untuk mengambil ubat, selesai semuanya saya memegang tangan Mak menuju ke kereta, membuka pintu kereta untuk Mak dan saya tanya ‘Mak ada nak beli apa apa ke?’
YA ALLAH, ampunilah aku yang sedikit terlalai dari menyantuni pembuka pintu syurga untuk ku ini.
Saya sekarang di IJN Kuala Lumpur, menunggu untuk berjumpa doktor, rawatan susulan. Saya menulis rasa hati ini bila melihat di sini ramai Mak Ayah yang keseorangan terkial kial bertanya arah sambil menunjukkan kad mereka, bayangkan disini ada blok A, blok B dan sangat luas, ada yang bertanya arah cafe untuk makan setelah semalaman berpuasa untuk mengambil darah, beratur ramai untuk mengambil dan membayar harga makanan dan sebagainya, saya juga melihat pasangan Mak Ayah lewat 70 an yang saling membantu berpimpin, berjalan perlahan mengatur langkah dan sesekali berhenti penat, mungkin mereka tidak mempunyai anak TETAPI sangat rugi lah seandainya mereka mempunyai anak anak dan anak anak mereka terlepas pandang ruang kasih sayang yang sepatutnya mereka penuhi ini.
ramai yang sanggup membiarkan ayah jalani proses perubatan secara sendirian tanpa ditemani anak-anak
Alhamdulillah, setakat ini saya gagah kesana sini berjalan laju di hospital, namun seandainya saya berada ditahap Mak saya dan Mak Mak Ayah Ayah yang saya lihat di IJN ini, saya akan rasa selesa, bangga, terharu dan harapkan ada anak bersama saya sekurang kurangnya sebagai ‘SEMANGAT’.
Anak anak sekelian, saya yakin apa yang saya rasa ini dirasai oleh Mak Ayah kita semua.
Hayati lah firman ALLAH ini untuk kebaikan bersama dunia dan akhirat-
Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah satu seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, ‘Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangi aku di waktu kecil’.
Al Isra’ 23 & 24
Syed Mohamad Nazli Bin Syed Ahmad
Institut Jantung Negara IJN,
Kuala Lumpur,
4-5-2016.