Malam tadi 13/11/2012, pukul 7.30 malam telah berlangsung siaran Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus di Astro Oasis seperti yang di iklankan sebelum ini.
Alhamdulillah. Sekurangnya Astro berani menerbitkan rancangan agama sebegini. Tambahan pula penceramahnya ialah Ustaz Azhar Idrus yang lantang berkata yang benar tanpa berselindung. Sifat Ustaz Azhar Idrus ini agak digeruni oleh pihak-pihak tertentu yang mungkin ada berbuat salah di sisi agama. Takut kena atas kepala mereka sendiri. Namun Astro adalah rancangan TV pertama yang berani menyiarkannya.
Sebelum ini orang awam yang ingin mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus yang tidak berkesempatan mengikuti kuliahnya secara langsung (live) terpaksa mendapatkan VCD beliau di pasaran. Ataupun mereka boleh melayari laman Youtube untuk mengikuti siri-siri kuliah Ustaz Azhar Idrus yang telah banyak dimuatnaik di situ.
Walaupun siaran Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus Di Astro Oasis ini sebenarnya sudah ada dimuatnaik di Youtube sebelum ini, tapi usaha Astro ini amat dihargai. Sekurang-kurangnya mesej di dalam kuliah Ustaz Azhar Idrus dapat juga sampai kepada golongan-golongan yang tidak melayari Youtube.
Apa yang menariknya di kuliah Ustaz Azhar Idrus ini ialah di samping beliau membicarakan kitab “Anak Kunci Syurga”, beliau juga ada menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh hadirin. Dan yang amat saya kagumi, Ustaz Azhar Idrus dapat menjawab soalan-soalan ini secara spontan tanpa perlu merujuk kepada kitab-kitab sokongan.
Cuma rancangan yang disiarkan ini amat singkat masanya. Jika pihak Astro dapat memanjangkan siaran kuliah Ustaz Azhar Idrus ini selama satu jam misalnya (daripada setengah jam), saya rasa kesannya akan lebih mendalam. Pihak Astro sebenarnya tidak perlu risau untuk menyiarkan rancangan ini dengan lebih lama kerana insyaAllah penonton tidak akan jemu. Ini adalah kerana cara penyampaian Ustaz Azhar Idrus amat bersahaja dan diselang selikan dengan lawak spontan. Inilah yang akan membuatkan penonton tidak bosan.
Seperkara lagi, adalah amat baik jika siaran Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus Di Astro Oasis ini dijadikan sebagai siaran tetap bukannya siaran khas selama 3 hari sempena Ma’al Hijrah sahaja. InsyaAllah akan ada penonton tetap yang akan mengikuti siaran ini.
Waktu siaran juga sebenarnya boleh diubah sedikit kepada waktu yang sesuai, Ini adalah kerana pukul 7.30 malam adalah waktu yang agak sibuk untuk penonton menunaikan solat Maghrib dan mungkin terus menunggu waktu Isyak denan aktiviti baca Qur’an, tazkirah dan sebagainya. Jika waktu siaran dibuat pada pukul 9.00 malam saya rasa lebih sesuai. Namun begitu, pihak Astro ada menyediakan rancangan ulangan iaitu pada pukul 10.00 malam.
Astro juga pada pandangan saya perlu bijak memotong (edit) kuliah Ustaz Azhar Idrus ini kerana dibimbangi akan terjejas isi mesej yang ingin disampaikan. Jika tiada potongan yang dibuat lagi bagus.
Akhirnya, terima kasih dan tahniah kepada pihak Astro amnya dan Astro Oasis khasnya kerana menyiarkan rancangan ini. Jika usaha sebegini diteruskan mungkin akan dapat menaikkan lagi imej Astro seterusnya meningkatkan lagi langganan siaran Astro.
Untuk yang tidak berkesempatan menonton siaran ini, ataupun yang tidak mempunyai langganan Astro, anda bolehlah menonton di saluran Youtube di link dibawah:
Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus Di Astro Oasis Episod 1.
Moga mendapat pengajaran daripada Kuliah Ustaz Azhar Idrus tersebut.
Napi Wan Ali liked this on Facebook.
Ishak Ismail liked this on Facebook.