Semalam, keputusan UPSR telah diumumkan. Abam Hoq dan isteri sempat meluangkan masa pergi ke sekolah Iffah untuk menemninya mengambil keputusan. Wife ambil cuti.
Memang semalam hari yang sibuk Abam. Dengan dateline entri blognya nak kena kejar, dengan borang investment kliennya nak kena lengkapkan dan buat submission di sebelah pagi, dengan appointment dengan kliennya nak kena pergi dan juga majlis penyampaian hadiah untuk murid cermerlang sekolah agama di sebelah petang yang nak kena hadir ..
Kalut juga..! Tapi keluarga lebih penting. Lagipun Abam kerja sendiri. Banyak benda-benda macam ni boleh dirancang sebaik mungkin. Jadi rugilah kalau tak melalui moment macam ni.
Di dewan besar sekolah Iffah, Abam melabuhkan punggung di kerusi untuk ibubapa yang disediakan mengikut kelas. Tak ada banyak perkara yang Abam boleh lakukan di dalam hiruk pikuk suasana dalam dewan. Abam menguis-nguis skrin handphone Abam dengan jari, mencari berita-berita yang boleh menjadi ilham untuk Abam menulis.
Iffah dan mamanya dah ke depan beratur untuk mengambil keputusan UPSR dari tangan cikgu kelas.

Suasana selepas itu dah bertukar. Daripada hiruk pikuk gelak ketawa murid, momen bertukar menjadi gembir dan sedih. Sebahagian murid sudah mendapat keputusan daripada cikgu kelas memasing. Ada yang melompat kegembiraan, ada yang menangis sambil dipeluk oleh keluarga memasing.
Di satu sudut dewan, tidak berapa jauh dengan Abam, terlihat seorang murid perempuan menangis berseorangan sambil menggenggam slip keputusan. Teresak-esak dia sehingga tergerak bahu. Lama dia situ. Tiada keluarga di sisi.
Saat ini mata Abam dah mula berair. Agaknya keputusan dia tidak seperti yang dia harapkan kot. Tidak juga seperti keluarga dia harapkan kot. Sebab, lama benar dia teresak di situ.
Abam tak sanggup tengok lama-lama. Abam sibukkan diri dengan smartphone Abam semula, cuba untuk lupakan tentang budak tersebut.
Namun dalam kepala masih ada bayangan budak tu. Sedihnya dia. Kenapa keluarganya tak datang agaknya? Sibuk sangatkan ayah dan ibunya? Dia ada ayah dan mak lagi ke? Mak dan ayahnya dah berpisah ke? Ibubapa dia terlalu menekan dia untuk dapat keputusan cermerlang ke? Pelbagai persoalan jahat yang datang menerpa.
Apa-apa pun Abam harapkan beliau tabah dengan apa jua keputusan. Harap keluarganya berlapang dada jika keputusan yang diterima tidak seperti diharapkan. Kita hanya merancang dan mengharapkan yang terbaik. Namun apa yang terjadi semuanya di bawah perancangan Allah belaka. Ada hikmahnya yang kadang-kadang kita cuba untuk menolaknya..
Ini baru permulaan perjuangan awak dik. Tabah.. bangkitlah..! banyak lagi perjuangan yang bakal awak harungi selepas ini. Jadilah insan yang berjaya dunia akhirat. Nanti setinggi mana pun kejayaan yang bakal digenggam, jangan lupa Allah. Jangan lupa ibubapa, jangan lupa agama.
Syukur kita masih punya masa untuk keluarga..!