Kopi Tahi Musang/Luwak

2
2906

 

Tadi terbelek pulak Utusan Malaysia. Biasanya aku baca suratkhabar kat smartphone aku jer. Baca tajuk-tajuk penting jer. Sampai muka surat 33 bahagian Dalam Negeri terpandang satu tajuk: “Kopi Tahi Musang difatwa halal”. Berita ini tentang Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah bermuzakarah dan menfatwakan bahawa Kopi Luwak adalah halal diminum. Sila rujuk sini untuk teks penuh fatwa tersebut. Lalu aku terus terpanggil untuk menulis tentang Kopi Luwak atau Kopi Tahi Musang ini.

Kopi Luwak ialah sejenis kopi yang diproses menggunakan biji kopi yang diambil daripada sisa tahi musang. Biji kopi ini dikatakan mempunyai rasa yang berbeza setelah dimakan dan melalui proses pencernaan di dalam badan musang. Kopi ini telah lama masyhur di kawasan Asia Tenggara terutama di Kepulauan Sumatera dan sekitarnya, namun hanya menjadi terkenal setelah diperkenalkan secara meluas pada sekitar tahun 1980-an. Kopi luwak adalah yang termahal di dunia. Harganya boleh mencecah $160 per pound. Sila lihat link untuk senarai 10 kopi yang termahal di dunia.

 

Asal Usul

Bermula dari awal abad ke-18 lagi. Pada masa itu Belanda memperkenalkan penanaman kopi di Kepulauan Jawa dan Sumatera. Salah satunya adalah kopi arabika yang didatangkan dari Yaman. Pada era “Tanam Paksa” atau Cultuurstelsel (1830—1870), Belanda melarang pekerja di ladang kopi memetik buah kopi untuk kegunaan peribadi tetapi pekerja ladang teringin untuk mencuba minuman kopi yang terkenal itu.

Kemudian pekerja ladang tersebut akhirnya mendapat tahu bahawa ada sejenis musang yang gemar memakan buah kopi.Musang ini hanya mencernakan isi buah kopi sahaja manakala bijinya masih elok dan tidak tercerna. Biji kopi dalam tahi musang ini kemudian dipungut, dicuci, dilerai, ditumbuk, dan kemudian dibancuh dengan air panas. Maka terciptalah kopi tahi musang ataupun dipanggil kopi luwak di Indonesia. Berita tentang kenikmatan kopi aromatik ini akhirnya deketahui oleh orang Belanda pemilik ladang kopi. Lantas kemudiannya menjadi minuman kegemaran orang kaya Belanda. Oleh kerana keistimewaannya serta proses pembuatannya yang tidak seperti kopi biasa, kopi luwak menjadi kopi yang mahal sejak zaman kolonial.

Musang, ataupun luwak,  (dalam bahasa Indonesia) sangat handal dalam mencari buah kopi yang cukup baik dan masak sebagai makanannya. Luwak akan memilih buah kopi yang betul-betul masak sebagai makanannya. Setelah dimakan hanya isi kopi yang dicerna. Biji kopi yang dilindungi kulit keras tidak tercerna dan akan keluar bersama tahi luwak. Biji kopi yang keluar sebagai tahi luwak ini tidak terjejas dan amat baik kualitinya sehinggakan boleh digunakan sebagai benih untuk ditanam semula. Jadi, luwak ini seperti QC (pengawal kualiti) semula jadi yang hanya memilih buah kopi yang terbaik. Dan hasilnya juga adalah kopi yang terbaik. Menurut penggemar kopi, rasa kopi luwak ini memang benar-benar berbeza dan istimewa di kalangan mereka.

Berbalik kepada Fatwa tadi, ia ada menyebut di antaranya:

“Muzakarah berpandangan bahawa kaedah fiqhiyyah (fekah) menetapkan bahawa hukum asal mengenai sesuatu adalah harus selagi mana tidak ada dalil muktabar (dalil kuat) yang mengharamkannya”

“Ulama-ulama fekah yang muktabar menjelaskan bahawa mana-mana bijian yang dimuntahkan oleh haiwan atau yang keluar bersama najis haiwan tersebut selagi mana ia tidak rosak dan masih kekal dalam rupa bentuknya yang asal atau jika ditanam ia mampu tumbuh, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis dan bukan najis.”

Maka ia Harus untuk diminum tetapi dengan syarat:

  1. biji kopi tersebut masih dalam keadaan baik, tidak berlubang, tidak pecah dan dapat tumbuh jika ditanam; dan
  2. biji kopi tersebut hendaklah disucikan terlebih dahulu daripada najis.

Muzakarah juga memutuskan supaya Kopi Luwak yang dihasilkan hendaklah mendapatkan sijil pengesahan halal daripada JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebelum dipasarkan kepada masyarakat Islam.

Jadi macamana kawan-kawan? Ada berani minum kopi TAHI musang ini??? 😆

Loading

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge