21

Pengalaman Pertama Mencandat Sotong

Jumaat – 08/06/2012

Lepas solat Jumaat aku terus bersiap-siap sebab aku tumpang kereta member untuk ke Jeti. Jeti yang dituju adalah jeti Pulau Kambing di Kuala Terengganu. Dari jeti ni jelas terlihat Masjid Kristal yang terkenal di Pulau Wan Man.

Pemandangan Masjid Kristal dari Jeti Pulau Kambing

Pada mulanya 6 orang member satu sekolah rancang nak ikuti aktiviti ini. Tapi 3 orang daripada kami terpaksa membatalkan hasrat itu di saat akhir. Nasib ada lg 7 orang geng professional dan berpengalaman mengisi slot yang kosong. Kalau tak letih jugak kita orang nak membayar sewa sebuah bot tu.

Tekong dan Otai sedang berbincang

Bot mula bertolak ke tengah laut pada pukul 5 petang. Lebih kurang pukul 6 petang kitorang sampai ke lubuk sotong. Mengikut kata juragan bot tu, sehari sebelum itu dia mendapat lebih kurang 35 Kg sotong di lubuk itu. Kitorang pun mulalah memasang alatan untuk mencandat.

Inilah mata kail dan umpan tiruan untuk mencandat sotong

Masa nak pasang alatan mencandat ni pun aku dah rasa pening semacam. Sebenarnya aku lebih kepada tengok jer si Dino mengikat mata candat. Aku tak tau pun sebab ni adalah kali pertama aku turun mencandat.

My fren Dino

Sebenarnya hari tu laut bergelombang agak tinggi. Orang Terengganu panggil “kucoh”. Disebabkan kucoh yang agak kuat daripada biasa, kami semua mengalami pening. Hasha dan Dino bukanlah kali pertama mengikuti aktiviti mencandat ni, tapi diorang pon pening apatah lagi aku yang pertama kali ni. Tapi demi untuk memenuhi hajat di hati, aku gagahi untuk melemparkan mata candat ke laut dan belajar cara-cara menaikkan sotong. Tapi semangat ini tidaklah lama apabila aku tewas dek kepeningan yang semakin menghuni kepala ku.

Masa tu aku lihat dah banyak bot-bot mula melemparkan sauh masing-masing di lubuk yang sama. Keadaan dah jadi macam pesta pulak.

Untuk mengelakkan muntah yang akan menyebabkan keadaan semakin teruk, aku memilih untuk melelapkan mata. Sedar tak sedar, waktu dah pun tengah malam. Hasha dan Dino juga rupanya seperti aku. Pening dan tidur.

Hasha (kiri) bergaya manja sesuai dengan namanya yang manja.. huhuhu

Hasil tangkapan sotong pada malam itu tidaklah lumayan. Keseluruhan tangkapan hanyalah 2-3 kilogram seorang sahaja (jika dibahagikan sama rata).

Aku dan hasil tangkapan sotong kami

MenurutTekong bot, antara faktor-faktor yang menyebabkan hasil tangkapan kurang pada malam itu ialah:

  • Terlalu banyak umpai laut. Benda ni mengganggu aktiviti mencandat dengan menyelimuti mata candat. Jadi sotong payah untuk melekat.
  • Terlalu banyak bot-bot mencandat di lubuk tersebut. Mungkin sotong konfius umpan mana yang harus ia pergi 😆
  • Kucoh dan arus yang agak kuat pada malam tersebut

Aku mulai sedikit pulih selepas pukul 4 pagi. waktu itu bot telah mulai bergerak ke tempat lain. Kali ini ke tempat yang sesuai untuk memancing. Di sini lah geng pro tadi menunjukkan skill dan kemahiran masing-masing. 3 ekor Haruan Tasik (orang ganu panggil dengan nama ni, nama sebenar aku tak tau la) berjaya dinaikkan. Ikan ni namanya haruan tasik tapi bukan ikan haruan pun dan bukan tinggal di tasik pun. Rasanya macam ikan tenggiri walaupun harganya lebih murah. Dengar cerita harga semasa ialah RM3.50 – 4.00 sekilogram. Berat purata seekor Haruan Tasik tersebut aku rasa tidak kurang daripada 7 kilogram. Selain itu daripada itu ada ikan Kacang, kerisi dan kerapu yang berjaya dinaikkan. Aku juga berjaya menaikkan seekor kerapu (lupa lak nak snap gambar kerapu aku tu). Rupa-rupanya ikan Kerapu ini menyambar umpan dengan tidak ganas seperti ikan lain. aku hampir tak sedar ia memakan umpan sotong aku.

Haruan Tasik yang baru ditewaskan oleh otai

Aku bersama haruan tasik

Otai yang berjaya menjinakkan Haruan Tasik

Selepas itu kami bergerak pula ke satu lagi kawasan untuk memancing. Hari sudah pun pagi pada masa itu. Matahari pun sudah keluar.

Kami sampai ke darat lebih kurang pukul 12.00 tengahari pada hari Sabtu 09/06/2012. Walaupun sampai di darat, masalah pening tidak habis di situ sahaja. Kali ni aku diserang “mabuk darat”. Walaupun kaki dah menjejak ke bumi tapi perasaan terasa masih lagi terbuai-buai dek kucoh di laut. Fenomena ini mengganggu aku sehingga ke malam hari. Nasib baik besoknya aku dah pulih. Ada aku dengar orang mabuk laut sampai seminggu. :mrgreen:

Tetiber jer gambar ni menyelit kan? Aku kena letak gak gambar ni sebab inilah jamban yang paling unik pernah aku gunakan.. hehehe

Aku agak berpuashati dengan pengalaman pertama ini. Walaupun aktiviti kitorang lumpuh akibat pening. Tahun depan aku mesti datang lagi. Dan dah ada beberapa orang member yang dah book untuk datang sekali tahun depan.
Sedikit info tentang aktiviti mencandat sotong (sumber):

  • Mencandat sotong adalah satu kaedah tradisi menangkap sotong tanpa menggunakan umpan dan hanya menggunakan sejenis peralatan dinamakan candat.
  • Acara candat sotong biasanya bermula pada April hingga Julai setiap tahun, manakala perairan Terengganu adalah lokasi tumpuan di mana beberapa lokasi seperti Cendering, Marang, Setiu, Besut, Dungun dan Kemaman dan Kuala Terengganu banyak dipenuhi spesies sotong.
  • Waktu terbaik untuk candat sotong ketika mula terbenamnya matahari sehingga fajar menyinsing dan jangan terkejut jika dikatakan seseorang nelayan mampu membawa balik antara sehingga 50 kilogram hingga beratus kilogram sotong semalam jika kena lubuknya.
  • Sejenis alat yang dipanggil candat diperbuat daripada timah untuk menjadi tiruan seperti udang. Jenis lain umpan candat diperbuat daripada plastik yang berkilat, bercahaya serta berwarna-warni untuk menarik perhatian sotong yang sifatnya memang tertarik pada cahaya.
  • Kebiasaannya, candat diikat dengan lapan hingga 10 mata pancing. Antara nama candat yang biasa digunakan ialah candat buntal, twist, udang, umpan dan candat Siam.
  • Perbezaan bagi setiap candat ini ialah dari segi bentuk dan penggunaannya bergantung kepada kesesuaian. Setiap jenis candat mampu menaikkan pelbagai spesies sotong seperti sotong torok, sotong telur, sotong jarum, sotong mengabang, sotong katak dan sebagainya.
  • Setiap kali mencandat, lampu akan dihalakan ke arah laut bagi menarik perhatian sotong, manakala candat pula akan dicampak ke dalam air.
  • Bagi menarik perhatian sotong, umpan candat perlu digerakkan serta ditarik bagi menarik perhatian sotong seolah-olah umpan itu adalah sumber makanan.

Show Comments

Leave a Reply

%d bloggers like this: