Sekitar tahun 2009 hingga 2011 Abam Hoq agak aktif dalam bisnes Perancangan kewangan. 3 perkhidmatan teras yang Abam cuba beri kesedaran kepada ramai ialah Perancangan Pelaburan, Perancangan Perlindungan dan Perancangan Pusaka, iaitu memberi kesedaran akan kepentingan merancangan pewarisan harta.
Perancangan Pelaburan ialah macamana kita nak wujudkan dana dengan pelaburan jangka panjang. Instrumen pelaburan yang Abam gunakan untuk mencapai objektif pelaburan ini ialah Unit Trust.
Biasanya dana-dana yang biasa dirancang adalah Dana Persaraan, Dana Pendidikan Anak, Dana Bayaran Permulaan (Down Payment) Pembelian Rumah dan lain-lain dana yang bersifat jangka masa yang panjang.
Perancangan Perlindungan pula ialah macamana nak melindungi keluarga tersayang dari segi kewangan bilamana kita sudah dipanggil ilahi. Perlindungan pendapatan, Perlindungan Sakit Kritikal, dan Perlindungan Penyelesaian Hutang adalah antara yang dirancang. Ini semua dibuat dengan instrumen Takaful.
Manakala Perancangan Pewarisan Harta (Pusaka) ialah bagaimana nak menguruskan harta kita selepas kematian. Antara instrumen yang dicadangkan adalah Hibah, waqaf, wasiat dan beberapa instrumen yang lain. Ini dirancang rapi supaya ia dapat diagihkan kepada waris dan bukan waris mengikut hasrat kita semasa hidup. Ramai yang ambil mudah akan kepentingan merancang pewarisan harta ni.

Perkhidmatan perancangan ini semua adalah bertepatan dengan segitiga Perancangan Kewangan (Total Financial Planning) yang merangkumi semua perancangan di atas.
Kepentingan Merancang Pewarisan Harta (Pusaka) dan Wanita
Bila berbicara tentang perancangan Pewarisan Harta ni, kaum wanita tampak lebih sukar sekiranya tidak merancang pewarisan harta.
Pertamanya, bahagian faraidh wanita secara umumnya adalah lebih kecil daripada apa yang kaum lelaki dapat. Mengikut hukum faraidh, secara dasarnya lelaki mendapat 2 bahagian, manakala kalian kaum wanita hanya 1 bahagian. Ini nisbah jika dikira kalian sebagai anak.

Jika diambil kira kalian sebagai isteri pula, nisbahnya lebih kecil. Lagi kecil nisbah jika kalian ada madu (suami berpoligami) di mana bahagian tersebut perlu dibahagikan samarata dengan madu kalian.
Jadi, perancangan pewarisan harta amat penting bagi kalian, insan bernama wanita ini. Kalian kena fikir jauh ke hadapan, apa yang bakal kalian dapat jika berlaku kematian dalam keluarga. Malah bukan itu sahaja, kalian juga perlu fikir jauh kepada siapakah harta yang kalian kumpul selama ini akan mengalir selepas kematian kalian nanti.
3 perkara yang perlu wanita lakukan sebelum berlaku kematian
1. Sentiasa beringat
Jika kalian sudah berkahwin, kalian kena bijak untuk yakinkan suami supaya suami merancang pewarisan harta ini. Bagitahu suami supaya jika dia sayangkan kalian, dia mesti membahagikan harta mengikut perancangan yang dirangka.
Bayangkan kalian yang terpaksa hidup tanpa suami nanti. Pemergian suami bukan sekadar pemergian jasad dan roh suami. Malah pendapatan dan harta suami juga turut pergi bersama.
Jadi bagaimana kalian nak menjalani kehidupan bersama anak-anak nanti tanpa suami di sisi?. Di mana kalian nak terus menetap nanti? Itu adalah antara persoalan yang kalian bersama suami kena fikir dan cari jawapannya.
Beban yang terpaksa kalian pikul nanti akan menjadi ringan jika suami tanpa berlengah membuat perancangan pewarisan harta. Tak kiralah kalian berkerja ataupun suri rumah kalian berhak mendapat bahagian kalian untuk meneruskan kehidupan seperti biasa setelah ketiadaan suami nanti.
Jika kalian ibu tunggal pula ataupun belum berkahwin, merancang pewarisan harta ini tidak kurang pentingnya kepada kalian. Kalian boleh pastikan harta yang kalian miliki dapat dibahagikan dalam bentuk jariah manakala yang selebihnya mengalir kepada insan-insan tersayang yang kalian ingin berikan.
Bagi yang mempunyai anak angkat dan anak tiri, perancangan ini juga amat perlu dibuat kerana mereka tidak punya hak di atas harta kalian. Sedangkan mereka adalah insan yang selalu berdampingan dengan kalian yang kalian sayangi. Jadi dengan merancang pewarisan harta, ia boleh menyempurnakan impian kalian untuk mereka bila kalian sudah tiada.
2. Simpan rekod dokumen harta dan hutang
Ini biasanya ramai orang yang tak ambil berat. Nak buat perancangan pewarisan harta, perkara paling penting yang perlu kalian ambil perhatian ialah memastikan kalian dan suami menyimpan semua geran dan perjanjian yang ada. Ia bukan sahaja rekod berkenaan harta, malah rekod hutang juga amat penting.

Ini termasuklah hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang sesama manusia atau dengan bank/institusi kewangan.
Ini akan memudahkan hutang kalian dapat dibayar oleh wasi atau waris dengan menggunakan harta peninggalan kalian jika hutang tak sempat dilunaskan semasa masih hidup.
Begitu juga dengan polisi takaful dan juga dokumen harta mudah alih yang lain seperti buku akaun bank dan penyata pelaburan.
Jika ada nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang senang dihubungi, catatkan untuk kemudahan membuat sebarang tuntutan atau urusan nanti.
Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, kalian perlu menyenaraikan semua waris yang ada. Waris-waris yang perlu disenaraikan adalah anak-anak, isteri, ibu dan bapa. Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut.
Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari, walaupun mereka tinggal berjauhan, mereka masih mempunyai hak ke atas harta pusaka yang akan ditinggalkan. Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia).
Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera supaya tidak berlaku pertikaian selepas kematian nanti. Begitu juga dengan anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan. Setiap waris adalah berhak ke atas harta pusaka yang ditinggalkan.
Nampak macam susah kan? Tapi percayalah.. jika kalian tidak merancang ini semua semasa kalian atau suami masih hidup, ianya akan menjadi berkali ganda susah lagi apabila berlaku kematian nanti.
3. Kenali tentang Instrumen Perancangan Pewarisan Harta
Langkah yang paling penting ialah bagaimana kalian sebagai wanita menasihati suami atau melakukan untuk diri sendiri menggunakan instrumen-instrumen perancangan pewarisan harta. Antara instrumen-instrumen yang boleh digunakan untuk perancangan ini adalah:
Wasi / Penama / Pentadbir
Wasi adalah pentadbir harta yang bertanggungjawab ntuk menguruskan pembahagian harta pusaka kepada benefisiari dan waris-waris yang berhak selepas kematian nanti. Kalian membuat perlantikan wasi semasa kalian masih hidup dengan pengetahuannya.
Hibah
Memindahmilikkan ataupun menghadiahkan harta semasa hidup kepada mana-mana waris atau bukan waris atau mana-mana orang yang disayangi.

Wasiat
Mengikrarkan untuk mewasiatkan harta semasa hidup untuk dibahagikan selepas mati pada kadar 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti.
Amanah
Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka anda.
Wakaf
Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta bersih yang ditinggalkan.
Faraid
Pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada.
Faraidh hanya digunapakai selepas menyelesaikan semua hutang si mati dan melaksanakan hasrat si mati seperti hibah, wasiat, dan waqaf. Selepas itu jika ada lagi harta yang berbaki, barulah ianya dibahagikan mengikut nisbah yang sepatutnya.
Apa yang perlu dibuat seterusnya
Dapatkan khidmat dan nasihat daripada pakar
Seterusnya kalian perlu berjumpa pakar yang profesional untuk berbincang berdasarkan rekod harta, hutang dan waris yang kalian telah senaraikan tadi. Mereka akan mencadangkan kepada kalian instrumen apa yang sesuai digunapakai sebelum menyediakan satu draf.
Draf ini kemudiannya akan didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah. Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang.
Kalian boleh melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka.
Hubungi MAIS di talian 03-55143773 atau 3772 atau layari www.mais.gov.my.
Sediakan peruntukan kewangan
Semua ini sudah pasti akan melibatkan kos kerana ia melibatkan khidmat profesional. Jadi kalian perlu menyediakan kos yang mencukupi untuk ini.
Percayalah, kos yang kalian keluarkan ini adalah jauh lebih murah berbanding dengan kos yang pewaris kalian bakal keluarkan untuk penyelesaian pusaka selepas kematian nanti jika tiada instrumen perancangan pewarisan harta.
Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai
Langkah ini amatlah penting. Kalin perlu memberitahu waris, ataupun orang yang kalian percaya akan perancangan ini. Jadi bila berlaku kematian nanti, mereka boleh terus menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta yang telah dilantik untuk segera melaksanakan hasrat kalian seperti yang telah didokumenkan.
Jangan berlengah.. Lakukan segera!
Alhamdulillah.. Berbanding dengan 10 tahun yang lalu, kesedaran tentang perlunya membuat dokumen perancangan pewarisan harta semakin meningkat terutama di kalangan wanita. Ini satu perkembangan yang baik. Sekurang-kurangnya wanita semakin bijak dan sedar akan kepentingan merancang pewarisan harta.
Moga kesedaran ini akan bertambah lagi dari masa ke semasa..!