Kenangan Bas Mini
Abam Hoq masih ingat tahun 90-an dulu. Masa tu Abam masih belajar di salah satu university tempatan di Petaling Jaya. Masa tu bas yang paling glamer ialah Bas Mini. Siap ada kartun BMW (Bas Mini Wilayah) lagi dalam surat khabar masa tu.
Bas Mini yang paling banyak Abam naik ialah Bas Mini No 12. Bas ni pergi ke Kotaraya hingga ke Sungai Wang. Abam dulu suka lepak kat Sungai Wang. Nak-nak pada hari Sabtu. Kadang-kadang layan 2 wayang opening pada hari yang sama. Satu pukul 10 pagi. Satu lagi pukul 4.30 petang.

Hahaha. Hidup masa tu enjoy. Tak der masalah besar nak fikir. Duit loan dapat. Duit biasiswa FaMa (Father & Mother) pun dapat. Hehehe. So berjoli jer lah kerjanya.
Gambaran Bas Mini yang mula diperkenalkan pada 1975 sehingga 1998 ini ialah ianya sebuah bas yang bersaiz lebih kecil, yang hanya boleh muatkan sehingga 31 orang penumpang. Tapi maaflah. Angka muatannya ni tak pernah dikira. Selagi boleh sumbat, boleh naik.
“Masuk dalam…!!! Dalam lagi..!!! Dalam lagi..!, Laungan ni memang biasa kedengaran setiap kali bas berhenti di perhentian untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Gaya pemanduannya agak brutal. Cilok adalah perkara biasa. Brek mengejut, memecut laju di jalan bandaraya, terjun lopak.. Itu semua perkara biasa. Bunyi enjin menderum bising, asap hitam tebal dikeluarkan dari ekzos juga fenomena yang biasa pada masa tu.
Bau badan penumpang, gesel-gesel dan raba-raba juga memang tak dapat dielakkan. Ada saja yang ambil kesempatan. Tapi masa tu jarang yang buat aduan sebab masa tu penguatkuasaan untuk bebenda macam ni mungkin agak longgar.
Fuuuh kenangan sungguh Bas Mini ni…
Bas Mini akan diperkenalkan semula
Kini, setelah 21 tahun dihentikan perkhidmatannya Bas Mini akan diwujudkan semula oleh Rapid KL. Katanya akan dimulakan perkhidmatannya pada bulan depan.
Perghh biar betul.. Ya. Memang betul. Pihak Rapid KL sudah pun umumkan dalam suratkhabar: Bas mini kembali ke Kuala Lumpur selepas 21 tahun
Perkhidmatan bas mini secara percubaan akan dibuat dari dari 1 September hingga 29 November daripada hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi. Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima.
Setiap bas akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5.30 pagi hingga 11.40 malam.
Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, pihak Rapid Bus akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain.
Pandangan Abam Hoq
Untuk menampung penumpang yang yang semakin ramai menggunakan perkhidmatan awam, usaha ini Abam setuju. Lagipun kerajaan kan tengah menggalakkan warga kota menggunakan perkhidmatan awam untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.
Cuma, beberapa perkara mesti diambil perhatian.
Keselamatan penumpang
Keadaan bas perlulah dalam keadaan terbaik. Pihak yang berwajib mesti selalu buat pemeriksaan tentang perkara ini. Asap hitam dan bunyi enjin yang kuat tak boleh diterima di masa sekarang untuk selarikan dengan slogan bandaraya bebas karbon. Ini harus diambil berat.
Saringan pemandu
Pemandu juga harus memastikan muatan penumpang tidak melebihi had yang telah ditetapkan. Pemandu juga mestilah seorang yang berhemah dalam pemanduan. Tak nak lagi cilok merata dan memandu laju dan menggila di jalanan.
Hadkan lokasi perkhidmatan
Bas mini ini hanyalah boleh beroperasi di jalan-jalan yang bukan jalan utama. Tidak boleh sama sekali beroperasi di dalam bandar.
Jika perkara-perkara ini dijaga dan diambil kira, mewujudkan kembali bas mini adalah satu inisiatif yang baik untuk memantapkan lagi perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia.
Perkhidmatan bas mini diwujudkan kembali.. Korang setuju atau tidak..? Boleh komen pandangan korang kat ruangan komen.