Thursday, March 16, 2023
HomeEventsRumah Ronald McDonald di HUSM Bakal Beri Manfaat Kepada Banyak Keluarga Pesakit

Rumah Ronald McDonald di HUSM Bakal Beri Manfaat Kepada Banyak Keluarga Pesakit

Susahnya kalau anak masuk wad..!

Baru-baru ini Ifza terpaksa dimasukkan ke wad lagi sebab ada jangkitan pada mukanya akibat banyak sangat menggaru. Ifza ni pengidap ekzema yang agak teruk. Satu badan dia terkena ekzema yang menyebabkan kerengsaan dan ketidakselesaan kulit. Natijahnya dia tak dapat kawal diri daripada menggaru badannya yang gatal dan tidak selesa walaupun berbuih mulut kitorang larang.

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kitorang tengok pun dah kesian kat dia. Apatah lagi badannya yang merasa siksanya.

Bila dah masuk wad ni terus terang aku cakap, memang susah. Ringkasnya, satu keluarga akan susah. Banyak benda nak kena fikir. Siapa nak jaga dia (sebab kitorang suami isteri berkerja). Siapa yang nak ambil cuti dulu, macamana nak uruskan adik beradik lain yang bersekolah, dan banyak lagi.

Tu belum ambik kira kos pengangkutan ulang-alik daripada rumah ke hospital dan sebaliknya. Bukan sikit kos yang kena tanggung. Tapi demi anak, terpaksalah harungi kan? Nasib baik kitorang ni bukanlah orang susah walaupun bukan juga orang kaya.

So bab kos yang terpaksa dikeluarkan tu, kami mampu jer sediakan. Tak der masalah sangat pun sebenarnya berbanding dengan kesusahan masa yang kena atur sepanjang dia di wad. Nasib baik Ifza dibenarkan keluar wad selepas 2 hari jer dimasukkan ke sana. Lega jugaklah..

Cuma aku terfikir macamanalah agaknya keluarga yang susah kalau anak terpaksa dimasukkan ke hospital. Kena pulak rawatan yang terpaksa dilalui mengambil masa yang lama. Mesti susahkan keluarga tu. Nak berulang-alik terpaksa fikir dua kali. Satu sebab kos ulang-alik yang terpaksa ditanggung. Satu lagi mungkin sebab lokasi antara rumah dan hospital jauh. Habis masa dalam perjalanan jer.

Pening jugak nak fikir kalau macam ni. Nak sewa hotel, kos lagi la tinggi.. Nak tunggu anak kat wad lama-lama memang tak selesa. Apatah lagi jika melibatkan orang perempuan. Itulah yang aku terfikir dan cuba meletakkan diri sebagai mereka.

Majlis Kejohanan Golf Amal Ronald McDonald House Charity (RMHC)

Semalam aku sempat menghadiri satu majlis anjuran McDonald sempena Kejohanan Golf Amal Ronald McDonald House Charity (RMHC). Rupanya kehadiran aku disini menjawab persoalan aku yang aku fikirkan selama ni.

Kat majlis ni lah baru aku tau yang sebenarnya McDonald di bawah rumah kebajikannya Ronald McDonald House Charity ada menyediakan Rumah Ronald McDonald untuk membantu mereka yang mengalami masalah dan dilema diatas. Memang kagum kejap aku. Sebabnya rumah tu bukan sembarangan. Lengkap dengan fasiliti dan terjaga rapi.

Rumah Ronald McDonald PPUKM, cantik kan?

Rumah Ronald McDonald yang pertama dibina di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Bandar Tun Razak KL. Bukan baru dibina tau. Dah 20 tahun Rumah Ronald McDonald wujud disitu membantu menyediakan tempat tinggal buat keluarga yang anaknya dimasukkan di wad lebih-lebih lagi untuk keluarga yang berpendapatan rendah.

Aku rasa bukan aku jer tak tahu, Korang pun tak tahu kan? Yang anak diorang masuk wad di HUKM jer tau aku rasa. Tu pun mungkin dapat info daripada pihak hospital.

Rumah Ronald McDonald HUSM

Kini RMHC sedang mengumpulkan dana untuk membina Rumah Ronald McDonald yang kedua pulak. Kali ni akan dibina di Hospital USM, Kubang Kerian, Kelantan. Rumah Ronald McDonald yang kedua ini dijangka siap dan bersedia menerima kunjungan keluarga mulai suku pertama 2019. Tak lama dah pun…!

Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Pengarah HUSM & Pengarah Kampus Kesihatan USM turut hadir memeriahkan majlis

 

VIP yang hadir: Associate Professor Dr. Ariffin Nasir, USM Lecturer and Hospital USM Paediatric Department Specialist; Professor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Hospital USM Director and USM Health Campus Director; En Mohd Nasri Mohd Nordin, RMHC General Manager; and En Azahari Abd Taharim, RMH-PPUKM Chairman

Pembinaan Rumah Ronald McDonald yang kedua ini dijangka akan dapat menolong meringankan beban sebahagian besar keluarga yang mendapatkan rawatan di HUSM yang kebanyakannya dari golongan yang berpendapatan rendah.

Mereka ini ada yang tinggal jauh daripada hospital sehingga memakan perjalanan selama 2 jam. Ada juga keluarga yang mendapatkan rawatan di HUSM ini datang daripada negeri jiran iaitu Terengganu dan Pahang. Malah ada yang datang daripada Sabah dan Sarawak.

Alhamdulillah, dengan siapnya rumah Ronald McDonald yang kedua tu nanti anak yang sakit dan keluarganya akan sentiasa berada dekat antara satu sama lain. Ini mengurangkan beban bagi proses rawatan yang kadangkala melibatkan jangka masa yang panjang dan boleh memberi tekanan kepada keluarga dan pesakit sendiri. Keluarga boleh tinggal di rumah Ronald McDonald untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses rawatan dan pemulihan anak mereka di hospital.

Rumah Ronald McDonald yang baharu ini turut menyediakan kemudahan yang selesa dan berpatutan untuk keluarga pesakit pediatrik yang mendapatkan rawatan perubatan tempoh masa panjang, bukan sahaja di Hospital USM malah di lain-lain hospital berdekatan juga.

Apa yang lebih penting, Rumah Ronald McDonald yang baharu ini juga mampu memberi manfaat kepada mereka yang datang dari negeri-negeri lain di seluruh negara dengan bayaran yang amat minima untuk membolehkan keluarga menggunakan kemudahan seperti bilik tidur, ruang makan, ruang permainan, dapur, ruang membasuh dan lain-lain lagi.

Kejohanan Golf Amal Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC)

 

Kejohanan Golf Amal Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) yang berlangsung pada hari yang sama telah berjaya meraih RM440,000 untuk pembinaan Rumah Ronald McDonald di Hospital USM. Kejohanan golf tahunan yang diadakan pada tahun ini turut meraikan ulang tahunnya yang ke-25, dan menerima sokongan yang amat memberangsangkan menerusi sumbangan untuk memastikan visi RMHC dalam menjamin kesihatan, pendidikan dan kebajikan kanak-kanak tercapai.

Dalam majlis itu juga diadakan acara lelongan barangan terpilih yang mana duit pembelian tersebut terus disumbangkan kepada tabung RMHC.

Di majlis ini juga turut menjemput 2 keluarga yang pernah mendapat manfaat daripada Rumah Ronald McDonald pertama di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia sejak tahun 2005. Salah seorang daripadanya adalah Puan Mimi Faizah Lee Abdullah yang mana salah seorang keluarganya pesakit pediatrik di HUKM.

2 keluarga yang pernah menimati kemudahan tinggal di Rumah Ronald McDonald PPUKM

Menurut beliau, kemudahan Rumah Ronald McDonald yang disediakan ini merupakan sesuatu yang amat bermakna semasa anak dan cucu beliau manjalani rawatan kanser di hospital.

Jom sama-sama menyumbang

Korang juga boleh turut serta dalam inisiatif yang dilaksanakan ini tau. Korang perasan tak tabung-tabung derma yang terdapat di restoran-restoran McDonald di seluruh negara. Haa masuk jer duit lebihan pembelian meal McDonald korang kat dalam tu.

Terkejut aku bila diberitahu yang duit daripada tabung tu sahaja, yang diletakkan di 270 rangkaian restoran McDonald di seluruh negara mampu menyumbangkan sebanyak RM1 Juta setahun. Haaa jangan memain..!

Selain itu, sumbangan juga boleh dibuat menerusi pindahan bank atau online menerusi PayPal. Maklumat lanjut berhubung perkara ini boleh didapati di: https://rmhc-malaysia.my/get-involved/make-a-donation/.

Loading

RELATED ARTICLES

10 COMMENTS

  1. Baru tahu. Bagusnya…!!
    Sangat membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan.
    Dengan pendedahan usaha McDonald’s ni akan mendorong pihak organisasi lain turut sama menjayakan program ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge

Most Popular

%d bloggers like this:
G-VE91R3DCE1