Selamat Hari Raya Idulfitri

selamat hari raya idulfitri.jpg

Selamat Hari Raya Idulfitri – maaf zahir dan batin

Aku sekarang masih di Kuala Lumpur. Tatkala ramai yang sudah menuju ke kampung halaman, aku masih di sini menunggu kereta dibasuh. Petang ni aku rancang untuk pulang ke kampung aku di Kuala Terengganu.

Perasaan untuk beraya di kampung sekarang tidak seperti dulu lagi. Dulu masa masih muda remaja, masa ini adalah masa yang dinanti-nanti. Hati akan melonjak untuk balik ke kampung.

Waktu itu aku masih punya ayah dan emak. Waktu itu aku masih belajar di salah sebuah Universiti di Kuala Lumpur. Waktu itu senang. Segalanya ditanggung. Di universiti aku mendapat biasiswa MARA. Ditambah pula dengan biasiswa FAMA (father & mother). Memang banyak duit untuk seorang pelajar seperti aku.

Sekarang mereka sudah pergi buat selamanya. Entri ini ditulis pun kerana teringatkan mereka. Puncanya ada seorang kakak depan aku ni. Kitorang sedang sama-sama menunggu kereta siap dicuci di bilik menunggu di kedai basuh kereta ni.

Kejap tadi kakak tu ada buat satu panggilan telefon kepada maknya di kampung. Alahai… lembutnya bahasa dan nada suara yang dia gunakan semasa bercakap dengan emaknya. Tiba-tiba pulak aku rasa jeles dan terharu.

Aku semasa hayat emak dan ayah ada, tidaklah sampai bercakap selembut itu dengan emak dan ayah. Menyesal pun ada. Aku dulu banyak jugak buat emak aku menangis sebab nakal. Ya Allah. Moga mereka sempat ampuni aku sebelum mereka meninggal dunia. Moga mereka redha keatas aku. Aku cukup sedar bahawa redha Allah tertakluk kepada redha ibubapa.

Ya Allah. Kau ampunilah dosa kedua ibubapa ku. Kau kasihanilah dia sebagaimana mereka mengasihani ku sewaktu mereka masih di dunia ini. Kau masukkanlah mereka berdua di dalam golongan yang Engkau redhai dengan jannah Mu. Ameen.

Kau jadikanlah anak-anakku berakhlak mulia dengan ibubapanya. Sekurang-kurangnya seperti kakak tadi. Ameen Ya Rabbal ‘Alameen.

Entri ini aku jadualkan untuk diterbitkan besok, 7hb Ogos. Masa itu aku sudah berada di kampung. Di kampung tiada kemudahan unifi seperti sekarang. Kalau nak online pun terpaksa gunakan 3G. Tapi kalau dah sampai di kampung, hampir tiada masa nak beronline ni. Sekurang-kurangnya entri ini menyelamatkan aku dengan sasaran membuat entri setiap hari sekurang-kurang satu entri.

Ramadhan beransur pergi. Sesal pun ada juga kerana terasa amalan di bulan istimewa ini tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Moga amalan yang dibuat tersebut diterima Allah. Moga amalan yang sedikit itu dinilai dengan kualitinya.

Oh ya, di kesempatan ini aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Idulfitri kepada semua kawan-kawan dan para pembaca yang budiman. Sekiranya ada kesilapan secara sengaja atau tidak pohon diampunkan. Kadang-kadang apabila ghairah menulis, tak terperasan ia mungkin menyakitkan seseorang.

Kerana itu ku susun 10 jari memohon keampunan. Semoga ibadat puasa kita selama sebulan ini diterima Allah sebagai bekalan kita di sana nanti. Semoga tarbiah yang kita dapat di bulan Ramadhan ini, memberi kita satu kekuatan untuk terus beristiqamah dengan ibadat-ibadat yang telah kita lazimi dalam masa sebulan ini. Moga ia dapat diteruskan di bulan-bulan yang lain.

Kesalahan kawan-kawan jika ada aku sudah maafkan setiap malam sebelum aku tidur. Moga anda semua ditahmati Allah.

Kepada yang memandu menuju kampung halaman, berhati-hatilah di jalan raya. Jangan jadikan kepulangan anda kepulangan yang ditangisi.

selamat hari raya idulfitri - traffic jam

Kesesakan lalulintas adalah perkara biasa bila pulang ke kampung di musim perayaan seperti ini.

Selamat hari raya idulfitri. Maaf zahir dan batin dari aku dan keluarga.

“kullu ‘aam wa antum bikhaiir!!!”

Show Comments

6 Comments

  1. blackrosehunter August 7, 2013
    • sohoque August 9, 2013
  2. Mohd Shubhi August 10, 2013
  3. Wan Fauzi™ August 11, 2013
    • sohoque August 11, 2013

Leave a Reply

%d bloggers like this: