Syarat ketat amah Indonesia

JAKARTA: Indonesia mula melatih pembantu rumah ke Malaysia yang akan melakukan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700.

Jika seorang pembantu rumah itu diambil menjadi tukang masak, ia hanya menjalankan tugas memasak dan tugas berkaitan sebagai tukang masak dan tidak menjalankan tugas lain seperti mengasuh bayi.

Inilah antara hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia di sini, semalam. Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Dr Reyna Usman berkata, JTF semalam mencapai kesepakatan terhadap empat jawatan khusus pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah.

Menurutnya, 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih 200 jam atau 21 hari mulai semalam dengan kemahiran khusus masing-masing.

Majikan memerlukan pembantu rumah Indonesia menjalankan kesemua empat tugas itu, harus mengambil empat pembantu rumah yang khusus terlatih dalam kemahiran masing-masing.

Dr Reyna berkata, kesepakatan dalam soal jawatan khusus itu diharap dapat mengelakkan masalah seperti yang berlaku di masa lalu.

Katanya, pada masa ini 12 daripada 176 agensi pekerjaan Indonesia bersedia melatih pembantu rumah berkenaan manakala di Malaysia lima daripada 221 agensi pekerjaan pula bersedia untuk menguruskan penempatan mereka dengan majikan di Malaysia.

“Pada masa ini sebahagian besar daripada calon pembantu rumah berkenaan dilatih di Surabaya, Jawa Timur dan di Bekasi, Jawa Barat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu di Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia di sini.

Beliau berkata, selepas pengiriman kumpulan pertama 106 pembantu rumah itu, ribuan lagi dapat dikirim ke Malaysia, dengan anggaran antara 4,000 hingga 5,000 orang sebulan.

Setakat ini belum ada seorangpun pembantu rumah Indonesia dikirim secara rasmi ke Malaysia sejak Indonesia menarik balik moratorium pengiriman pembantu rumahnya ke Malaysia pada 1 Disember tahun lalu.

Pembekuan sementara itu ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan pekerja dan majikan.

Antara persetujuan yang dicapai, kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dulu.- Bernama

Show Comments

No Responses Yet

Leave a Reply

%d bloggers like this: