126

Waktu-Waktu Mustajab Doa

gambar orang sedang berdoaBerdoa amat digalakkan dalam Islam. Allah berfirman dalam surah Al Ghafir, ayat 60:

Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenan doa permohonan kamu.”

Doa adalah ibadat yang boleh mengeratkan lagi hubungan kita dengan Pencipta kita.Ia juga tanda penyerahan kita kepada Pencipta.

Berdoa juga ada adab-adabnya yang tertentu dan waktu-waktu mustajab doa. Berikut adalah waktu-waktu mustajab doa yang amat digalakkan kita melakukannya yang disebutkan di dalam Al-Quran dan Hadith:

1. Sewaktu hujan turun

Hadith nabi:

“Berdo’alah pada waktu mustajab do’a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun”

(Hadis Riwayat Abu Daud).

2. Ketika hendak bersolat

  • berdasarkan hadith daripada Abu Daud di atas

3. Sesudah selesai membaca al-Fatihah dalam solat

  • doa di dalam hati sahaja.Jika tidak akan membatalkan solat.

4. Selepas mengucapkan “Aamiin” apabila membaca surah Al-Fatihah

“Apabila imam mengatakan ‘Amin’, maka ucapkanlah ‘Amin’. Sesiapa yang mengucapkan ‘Amin’ bersama dengan para malaikat, diampunkan dosa yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Di tengah keheningan malam terutama di sepertiga malam

“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Waktu di antara azan dan iqamah.

Hadith:

“Tidaklah ditolak do’a di antara azan dan iqamah.”

(Hadis Riwayat Tirmizi).

7. Waktu sujud di dalam solat

Hadith:

“Sehampir-hampir hamba kepada Tuhannya ialah pada waktu sujud, maka perbanyakkanlah berdo’a.”

(Hadis Riwayat Muslim).

8. Sesudah selesai solat fardhu

Hadith:

“Ditanya kepada Rasulullah s.a.w., ‘Do’a manakah yang didengar (Allah)’ Sabda baginda, “Do’a itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardu.”

(Hadis Riwayat Tirmizi).

9. Sewaktu bermusafir

Hadith:

“Tiga bentuk do’a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu ; do’a orang yang teraniaya, do’a orang yang bermusafir dan do’a ibu bapa terhadap anaknya.”

(Hadis Riwayat Abu Daud).

 

10. Ketika melaksanakan ibadah Haji dan umrah dan juga sewaktu berjihad

Hadith:

“Orang yang berjihad pada jalan Allah dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu Allah, Dia menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya) mereka berdo’a kepada Allah lalu Allah terimanya.”

(Hadis Riwayat Ibn Majah)

 

11. Pada 9 Zulhijjah (Hari ‘Arafah)

Hadith:

“sebaik-baik do’a adalah pada hari ‘Arafah, dan sebaik-baik do’a yang aku dan para nabi yang lain ucapkan ialah (maksudnya) : ‘Tiada Tuhan yang sebenarnya yang layak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’.

(Hadis Riwayat Tirmizi)

 

12. Sepanjang waktu berpuasa.

Hadith:

“Tiga bentuk do’a yang dimustajabkan Allah; do’a ibu bapa terhadap anak, do’a orang yang berpuasa dan do’a orang yang bermusafir.” (Hadis Riwayat Baihaqi)

 

13. Malam Lailatul Qadar

 

14.  Sepanjang Hari Jumaat.

Hadith:

“Pada hari Jumaat itu, ada satu waktu yang apabila seseorang hamba memohon kepada Allah sesuatu, maka akan diberikan-Nya”.

(Hadis Riwayat Bukhari).

15. Doa ketika berperang kerana Allah

Hadith:

“Dua jenis do’a yang tidak akan ditolak oleh Allah s.w.t. atau jarang-jarang sekali ditolak; do’a sewaktu azan dan ketika berlakunya peperangan.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

 

16. Ketika Khatam 30 Juzuk Al-Quran

17. Sewaktu iman kita sedang meningkat naik kerana mentaati Allah

Hadith:

“…dan adalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan ibadah yang sunat hingga Aku mencintainya, jika Aku sudah mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan penglihatannya yang dengannya dia melihat dan tangannya yang dengannya dia menyentuh dan kakinya yang dengannya dia melangkah, dan jika dia meminta akan Kuberikan dan jika dia meminta perlindungan nescaya akan Kulindungi.”

 

18. Waktu diuji dengan ujian

Firman Allah:

“Atau siapakah yang memperkenankan do’a orang yang menderita apabila ia berdo’a kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit antara kamu yang mengingati  nikmat Allah itu

(Surah al-Naml ayat 62)

19. Ketika menghadiri penyelenggaraan jenazah.

Hadith:

Ummu Salamah r.ha. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

 

20. Selepas saat kematian seseorang

Hadith:

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. menziarahi jenazah Abu Salamah r.a lalu menutup matanya. Baginda bersabda maksudnya, “Sesungguhnya roh seseorang yang keluar dari jasadnya akan diekori oleh mata.” lalu baginda bersabda lagi yang bermaksud : “Janganlah kalian berdo’a untuk diri kalian melainkan perkara yang baik sahaja kerana malaikat mendo’akan untuk kalian.” Baginda kemudiannya mendo’akan untuk Abu Salamah r.a”.

21. Ketika mendengar ayam berkokok

Hadith:

“Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-Nya, kerana ayam itu melihat malaikat.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

22. Selepas berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dalam tahiyat akhir.

Di samping itu juga jika kita masih lagi mempunyai ibu, suruhlah ibu selalu mendoakan kita mengikut apa hajat kita.

Mengikut Haji Fadhilah Kamsah, sedeqahkan Al-Fatihah kepada ibu pada setiap hari tidak kira ibu masih bernyawa ataupun sudah meninggal dunia.

Semoga artikel waktu-waktu mustajab doa ini dapat memberi gambaran kepada pembaca bilakah masa yang amat sesuai untuk berdoa. Ayuh…! Marilah kita memperbanyakkan doa di waktu-waktu mustajab doa seperti yang disenaraikan di atas.

Wallahua’lam.

Sumber:
101 Do’a daripada Hadis-hadis Sahih oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Leave a Reply

%d bloggers like this: